PAS: Tak perlu RCI, skandal Felda mudah disiasat - Takiyuddin
PAS berpendapat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu ditubuhkan bagi menyiasat isu pindah milik tanah kepunyaan Felda di Jalan Semarak Kuala Lumpur memandangkan skandal itu mudah diselesaikan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, langkah yang perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dengan melihat dan mengkaji secara teliti kronologi kes itu.
"Antara yang perlu dikaji dengan meneliti keputusan lembaga pengarah Felda, perjanjian yang berkaitan antara Felda dan syarikat berkenaan, transaksi pindah milik kepada syarikat dan kepatuhan obligasi pihak-pihak sebagaimana perjanjian.
"PAS yakin kesediaan pengerusi Felda membuka pintu bagi disiasat dan harus menjadi pemudahcara kepada siasatan yang perlu dijalankan secara telus dengan 'without fear of favour'," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu media tempatan melaporkan Felda berisiko kehilangan pemilikan tanah bernilai RM270 juta di Jalan Semarak ekoran transaksi pada 2015 yang didakwa "meragukan".
Penilai bebas menganggarkan harga pasaran bagi tanah tersebut kini mencecah RM1 bilion.
Tanah itu kini sedang dibangunkan sebagai sebahagian projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) melibatkan tujuh menara - termasuk sebuah menara Felda, bangunan 68 tingkat merangkumi 59 tingkat ruang pejabat dan helipad.
Sementara itu Takiyuddin berkata, siasatan seperti disarankan pihaknya itu boleh dibuat dengan cepat memandangkan isu tersebut berkepentingan awam dan melibatkan pemegang saham besar terutama di kalangan peneroka dan generasi Felda.
"PAS juga mengharapkan siasatan terperinci kes tersebut turut memungkinkan pembongkaran skandal lain yang melibatkan Felda serta anak-anak syarikatnya.
"Dengan ini, Felda sebagai institusi amanah dapat dibersihkan daripada unsur kepentingan peribadi kelompok-kelompok tertentu," jelas anggota parlimen Kota Bharu itu.
Post a Comment