Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Perkara yang perlu anda tahu tentang fenomena hujan meteor Geminid!




Heads-up, Earthlings! The annual Geminid meteor shower has arrived, peaking overnight Dec. 13-14. It's a good time to bundle up! Then, go outside and let the universe blow your mind! Get the details: https://t.co/uv9HpEO228 pic.twitter.com/tZOSn0TZjH
— NASA (@NASA) December 13, 2017

Menunggu kemunculan meteor Geminid!

Meteor Geminid kembali lagi menjelang Subuh, 14 Disember 2017. Prospek kali ini amat baik kerana tiada cahaya bulan yang akan mengganggu. Ia berlawanan dengan apa yang berlaku tahun lepas, di mana cahaya bulan purnama telah menenggelamkan sebahagian besar meteor-meteor ini.


Bilakah ia akan berlaku?
Meteor Geminid akan memuncak pada awal Subuh 14 Disember 2017 waktu Malaysia. Ia berdasarkan laporan rasmi daripada International Meteor Organisation (IMO) yang menyatakan kemuncak meteor ini akan berlaku pada 14 Disember jam 06:30 UT.


Berdasarkan maklumat tersebut, puncak juraian ini berlaku jam 2:30 PM waktu Malaysia. Disebabkan ketika itu siang di sini, maka waktu ‘paling hampir’ bagi kita di sini ialah menjelang Subuh 14 Disember 2017.

Jika kita khuatir awal pagi 14hb itu nanti hujan atau berawan, jangan risau. Meteor Geminids ini selalunya sudah boleh dilihat dengan beberapa hari sebelum tarikh puncaknya. 

Maknanya, kita sudah boleh lihat bilangan meteor yang agak banyak bermula waktu tengah malam ke Subuh 12hb dan 13hb. Selalunya, selepas daripada tarikh puncak 14hb, bilangannya akan jatuh mendadak selepas itu.


Bilangan meteor yang akan kelihatan.

Secara amnya, bilangan Zenithal Hourly Rate atau ZHR rasmi untuk Geminid ialah 120 meteor setiap jam.

Tetapi kena ingat, ini merujuk kepada bilangan yang dapat dilihat dari kawasan yang gelap, cuaca baik tiada berawan dan titik muncul meteor (atau dikenali sebagai radiant) ialah tegak di atas kepala.

Jika dari langit Malaysia, titik radiant Geminid hanya akan mencecah ketinggian maksimum 60 darjah. Maka, bilangan 120 mustahil untuk dicapai.

Namun begitu, kita masih berpeluang melihat kemunculan meteor yang lebih banyak dari biasa, mungkin pada kadar 50-60 meteor setiap jam.

Jadi, jangan lepaskan peluang.
Waktu mencerap dan kawasan langit.

Buruj Gemini (di mana terletaknya titik muncul meteor-meteor Geminid) akan terbit sekitar jam 10 malam (11 malam di Sabah) pada 13 Disember 2017.

Menurut sebuah artikel di IMO, meteor-meteor yang muncul ketika ini sudah mula boleh dilihat walaupun bilangan masih sedikit. Disebabkan sudut geometri pergerakkannya yang masih landai, ia akan kelihatan lebih panjang dan bergerak agak perlahan. Meteor jenis ini dipanggil sebagai Earthgrazers.


Meteor Geminid yang muncul sebelum tengah malam, akan kelihatan lebih panjang dan bergerak lebih perlahan berbanding biasa. Jumlahnya pula sedikit sahaja.

Apabila selepas tengah malam, masuk tarikh 14hb, kedudukan buruj Gemini semakin tinggi di langit, dan bilangan meteor akan semakin bertambah banyak. Pada waktu ini, ia akan muncul laju dan pendek pergerakkannya.

Sekitar jam 3 pagi (4 pagi di Sabah), titik radiant Geminid ini akan berada pada kedudukan paling tinggi di sebelah langit utara.



Sekitar jam 3 pagi, bilangan meteor Geminid semakin banyak, dan ia kelihatan muncul dengan pantas dan pendek laluannya.

Bilangannya akan terus bertambah menjelang Subuh. Sebaik sahaja Subuh bermula, ia akan kelihatan semakin berkurang disebabkan langit yang makin cerah menjelang terbitnya matahari.

Meteor Geminid ini akan kelihatan muncul dari arah buruj Gemini, tetapi kita jangan fokus kepada kawasan buruj ini sahaja. Ia sebenarnya akan muncul di mana-mana.

Anda hanya perlu tumpukan pemerhatian di kawasan langit yang paling gelap dan jauh daripada silau atau gangguan cahaya. Kawasan pantai mengadap laut lebih baik kerana kurang lampu di sana.

Cuba cerap dari kawasan yang luas pemandangannya, iaitu tidak ada banyak halangan fizikal lain seperti bangunan, pokok atau bukit.

Jika anda mencerap dari kawasan bandar, jangan terlalu berharap dapat lihat meteor yang banyak. Gangguan cahaya yang teruk dari kawasan ini akan menyukarkan kita melihatnya. Mungkin akan nampak sebutir dua yang terang sahaja tetapi kita akan terlepas pandang meteor-meteor yang kecil dan kelam.

Rujuk artikel FalakOnline ini mengenai cara untuk mencerap dan merakam meteor-meteor di langit.
Asal usul meteor Geminid

Meteor Geminid ialah habuk dan debu peninggalan daripada sebuah asteroid bernama 3200 Phaethon. Dipercayai pada suatu ketika dahulu, asteroid ini mengalami suatu perlanggaran yang kuat dan menyebabkan sebahagian daripada permukaannya hancur dan menjadi serpihan debu dan habuk yang bergerak di sepanjang laluan orbitnya.

Setiap kali bulan Disember, orbit Bumi akan membawa kita masuk ke dalam kawasan yang penuh dengan habuk dan debu daripada asteroid 3200 Phaethon ini lalu menghasilkan juraian meteor Geminid.

Dataset laluan habuk dan debu asteroid 3200 Phaethon yang menunjukkan ia melintasi kawasan orbit Bumi dan menghasilkan meteor Geminid.

Tahun ini, asteroid ini akan melintasi hampir dengan Bumi pada jarak hanya 10.3 juta km pada 16 Disember 2017, jam 7 PM waktu Malaysia. Ia akan bersinar pada magnitud 11, dan boleh dilihat dengan teleskop yang sederhana besar. Ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Maklumat lanjut mengenai lintasan ini boleh didapati di sini.

Nama Geminid ini pun merujuk kepada buruj Gemini di mana meteor-meteor ini kelihatan mula muncul.

Kajian menunjukkan akibat kesan graviti planet Musytari, laluan habuk dan debu ini bergerak semakin hampir ke kawasan orbit Bumi saban tahun. Ini mungkin antara sebab meteor Geminid ini merupakan antara juraian meteor yang paling aktif dengan bilangan kemunculan yang banyak.

Apakah sebenarnya meteor?

Meteor atau tahi bintang, merupakan cahaya terang yang kelihatan melintasi langit malam dengan begitu pantas dan secara tiba-tiba.

Ia merupakan habuk dan debu (selalunya sebesar pasir) yang terbakar apabila ia memasuki ke dalam atmosfera bumi kita.

Apa beza meteor dan meteoroid?

Meteor ialah lintasan cahaya yang dapat dilihat dengan mata kasar.

Meteroid ialah nama yang diberikan kepada debu dan habuk, yang telah terbakar tadi ketika ia memasuki atmosfera bumi.
Apa pula meteorit?

Meteorit ialah saki baki habuk dan debu meteoroid tadi, yang tidak sempat hancur di udara, lalu jatuh ke permukaan bumi.

Maksudnya, jika kita boleh jumpa dan pegang ‘ketulan’ debu dan habuk tadi, kita panggilnya sebagai meteorit.


Ini contoh meteorit yang jatuh ke bumi. Sumber


Dari mana asalnya meteoroid?

Meteoroid berasal daripada serpihan Komet.

Komet merupakan sebuah jasad yang terdiri daripada batu,debu dan ais.

Ia mengelilingi matahari di dalam bentuk orbit yang elips.

Pada ketika ia bergerak menghampiri matahari, ia menjadi semakin panas dan sebahagian daripada jasadnya akan hancur dan terpisah ke angkasa lepas.

Bahagian yang terpisah ini akan tertinggal di belakang laluan komet tersebut, seolah-olah membentuk satu ‘jalanraya’ yang penuh dengan habuk dan debu.

Apabila orbit Bumi memasuki ke kawasan ‘jalanraya’ peninggalan komet tadi, debu dan habuk tersebut akan berlanggar dan memasuki ke dalam atmosfera bumi.

Ketika ia memasuki ke dalam atmosfera, ia menghasilkan tenaga dan haba yang amat panas, lalu terbakar dan hancur. Ketika ia terbakar, cahayanya akan kelihatan melintasi langit dalam kadar yang amat cepat. Itulah yang kita panggil sebagai meteor.


Apabila saya merujuk kepada Almanak Astronomi 2015, didapati meteor-meteor ini muncul pada tarikh-tarikh tertentu. Kenapa ye?

Jika kita lihat penerangan sebelum ini, meteoroid-meteoroid di angkasa lepas, majoritinya hanya akan berada di laluan atau ‘jalanraya’ kawasan laluan kometnya.

Ruang angkasa kita ini amat luas dan kosong sekosongnya. Maka, pada waktu biasa di mana Bumi bergerak di kawasan yang ‘kosong’, ketika itu tidak banyak meteor yang kelihatan di langit.

Namun, apabila Bumi masuk sahaja ke kawasan yang penuh dengan habuk dan debu meteoroid tadi, akan kelihatan banyak meteor yang muncul di langit.

Itu sebabkan kemunculan meteor-meteor ini bermusim.


Di manakah meteor ini akan muncul?

Meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana sahaja di langit. Adalah sukar untuk kita mengagak bila dan di mana ia akan muncul.

Maka, kita digalakkan untuk tumpukan ke satu kawasan langit sahaja ketika mencerap meteor.

Tak perlu kelam kabut tengok kiri kanan atas bawah…memang tak jumpanya!

Video dibawah merupakan contoh keadaan sesebuah meteor ketika ia muncul di langit.

Berapa banyak meteor yang boleh dilihat?




Jumlah meteor yang dilihat bergantung kepada faktor-faktor berikut:

Musim juraian meteor yang dilihat ketika itu. Contohnya juraian meteor Perseids akan menghasilkan kadar meteor 100 meteor sejam, berbanding juraian meteor Orionids yang hanya menghasilkan 20 meteor sejam.

Lokasi kita mencerap meteor – dari kawasan gelap kebarangkalian untuk melihat meteor yang banyak, adalah lebih baik berbanding cerapan dari kawasan yang banyak lampu.
Gambar hiasan: Meteor-meteor yang dirakam hasil gabungan berpuluh-puluh frame gambar yang dirakam sepanjang malam.


Apa yang dimaksudkan dengan “kadar meteor”?


Kadar meteor merujuk kepada jumlah purata meteor yang dapat dilihat dalam masa 1 jam DAN titik punca (radiant) meteor tersebut berada tepat di atas kepala.

Sebagai contoh, meteor Perseids yang menghasilkan 100 meteor sejam.

Ini bermakna , dalam kes SEMPURNA seperti di atas, kita boleh lihat 100 meteor dalam satu jam.

Namun, kedudukan titik punca (radiant) meteor Perseids dari langit Malaysia TIDAK AKAN berada di atas kepala. Maka, jumlah 100 itu akan berkurang.

Itu pun belum lagi ambil kira faktor cuaca, langit sekeliling dan lain-lain.

Amnya, kadar meteor ini hanya sebagai panduan asas. Realitinya banyak bergantung kepada faktor-faktor luaran tadi.

Dalam istilah astronomi, kadar meteor ini dipanggil sebagai Zenithal Hourly Rate (ZHR).
Radiant tu amende pulak?



Radiant itu bermasuk titik atau poin di langit, di mana meteor-meteor ini ‘kelihatan’ mula muncul.

Contoh laluan meteor-meteor di langit akan kelihatan bermula atau muncul dari satu titik di langit, yang dipanggil radiant
Apakah cara yang terbaik untuk melihat meteor ini?



Cara terbaik (malah satu-satunya cara) untuk melihat meteor ini ialah dengan menggunakan mata kasar.

Anda hanya perlu baring dan pandang ke kawasan langit.

Disarankan fokus kepada satu kawasan langit sahaja.

Seboleh-bolehnya kawasan langit yang paling gelap jauh daripada silauan cahaya.
Gambar hiasan: Keadaan terbaik untuk mencerap meteor.


Perlukan saya tengok ke arah radiant di mana meteor itu muncul?

Secara peribadi, saya syorkan anda tak perlu fokus sangat ke arah radiant (kawasan titik ia muncul) juraian meteor tersebut.

Adalah lebih baik halakan ke mana-mana kawasan langit yang paling gelap, tak kisahlah sama ada dekat dengan radiant, mahupun berlawan arah jauh daripada titik radiant.

Yang penting, kawasan langit di situ mesti segelap yang mungkin.
Di manakah kawasan terbaik untuk melihat meteor?

Cuba cari kawasan gelap, yang tiada gangguan cahaya sama ada dari lampu persekitaran (lampu jalan, rumah berhampiran dll) dan juga jauh dari kawasan bandar-bandar besar.

Sebarang gangguan cahaya akan menyebabkan meteor-meteor itu susah untuk dilihat dengan mata.

Anda kena cari kawasan lapang yang tiada gangguan penglihatan seperti pokok dan bangunan tinggi. Kawasan tepi pantai mengadap ke laut merupakan antara kawasan yang sesuai.

(Gambar hiasan) Langit di bandar-bandar besar tidak memungkinkan kita melihat meteor. Carilah kawasan yang lebih gelap.
Puas semalam saya tengok dari tepi tingkap rumah dalam bilik gelap , cuba cari meteor tapi tak nampak. FO tipu ke ni?

err….

Nak tengok meteor ini kena ada caranya!

Peruntukkan sekitar 2-3 jam untuk memandang ke arah langit dalam keadaan berbaring di kawasan luar rumah!

Kalau sekadar menjenguk ke langit seminit dua kemudian terus complain tak nampak… itu bukan kaedahnya.

Orang nak makan nasi minyak pun kena tunggu, bersabar dan ada cara untuk memasaknya.
Jika cuaca berjerebu dan berawan?



Meteor-meteor tidak akan dapat dilihat jika langit anda berawan tebal ataupun berjerebu, ataupun hujan!


Bilakah waktu paling sesuai untuk mencerap meteor.

Disebabkan kombinasi laluan orbit Bumi ketika ia menghentam habuk dan debu di angkasa, serta pusingan paksi bumi dari barat ke timur, maka waktu paling sesuai untuk mencerap meteor ini adalah SELEPAS TENGAH MALAM hinggalah ke SUBUH.

Rajah ini menunjukkan mengapa meteor-meteor lebih sesuai dicerap selepas waktu tengah malam hingga ke Subuh. Sumber.

Saya cuba melihat meteor berdampingan dengan Bulan di langit, tapi tak nampaklah. Kenapa ye?

Bulan merupakan ‘musuh utama’ meteor! Cahaya bulan amat terang dan boleh menenggelamkan sebarang cahaya yang muncul dari meteor-meteor ini.

Kena ingat, majoriti meteor yang muncul tidak begitu terang. Hanya satu dua sahaja yang akan muncul dengan begitu terang, itu pun bergantung kepada rezeki kita!

Maka, jika Bulan ada di langit, maka waktu itu tidak sesuai untuk mencerap meteor.


Perlukah saya membeli teleskop atau binokular untuk melihat meteor?

Tak perlu. Meteor hanya boleh dan sesuai dilihat dengan mata kasar sahaja.
Jika hendak ambil gambar, apakah lens yang paling sesuai?


Disebabkan meteor-meteor ini muncul merata di seluruh langit, seeloknya gunalah lens wide-angle dan juga fish-eye, kerana kita cuba merakam sebanyak mungkin kawasan langit dalam satu-satu waktu.

Kit lens yang datang dengan DSLR tidak begitu sesuai, kerana medan penglihatannya terhad.

Ingat! Meteor ini muncul di mana-mana. Maka kita perlu merakam langit seluas yang mungkin.

Meteor dari langit Coonabarabran, Australia. © Shahrin Ahmad



Foto di atas dirakam di Australia ketika saya sedang ber-posing di hadapan sebuah teleskop. Kebetulan ketika sedang menunggu dedahan 30 saat tamat, tiba-tiba muncul sebuah meteor di belakang!

Inilah dinamakan rezeki!

Apakah tetapan (settings) paling sesuai untuk kamera?

Gunalah waktu dedahan yang paling lama, sebagai contoh 30 saat.

Kemudian gunalah ISO yang paling tinggi tetapi tidak menghasilkan terlampau banyak hingar (noise) di dalam imej yag dirakam.

Bab ISO ini bergantung kepada jenis model kamera yang digunakan. Contohnya kamera Canon 1200D menggunakan ISO=1600 akan menghasilkan lebih banyak hingar berbanding Canon 5DMkii pada ISO yang sama.

Setelah mendapat tetapan waktu dedahan dan ISO yang paling sesuai, disarankan untuk merakamnya sebanyak yang mungkin, selagi cukup kapasiti memory card dan juga bateri masih berkuasa.


Contoh sebuah intervalometer

Kalau boleh, belilah intervalometer, alat yang membolehkan kita melakukan tetapan kamera dan mengulang-ulang rakamannya secara automatik.
Sebuah meteor yang secara tidak sengaja dirakam menerusi DSLR dengan waktu dedahan 30 saat. ©ShahrinAhmad


Cameraphone boleh ambil gambar meteor?



hmmm… tak payah sangat!

Bayangkanlah, meteor itu pun muncul secara tiba-tiba dan kelihatan hanya 1-2 saat sahaja. Waktu itu pun dah terlalu singkat untuk kita:
Terjerit nampak meteor
On handphone
Pilih apps Camera
Halakan ke langit.
Tekan screen untuk cari fokus
Tekan butang rakam

!!
Saya pernah nampak sebuah cahaya melintasi langit, terang seperti meteor. Kawan saya pun nampak dan kita sempat ambil gambar selfie bersama meteor itu!



err…. kalau dah senario macam itu, jelaslah itu bukan meteor. Ia mungkin kapal terbang atau Internatioal Space Station sedang melintas.

Kena ingat, meteor ini muncul secara tiba-tiba dan hilang secara tiba-tiba.

Contoh:

Dibawah merupakan gambar lintasan cahaya berhampiran Zuhrah dan Musytari, yang dirakam pada 25 Jun 2015.

Sekali imbas nampak seperti meteor, tetapi ia sebenarnya sebuah kapal terbang, kerana ciri-ciri cahaya kapal terbang dan cahaya meteor berbeza.

Cahaya sebuah meteor
Tajam di salah satu (atau kedua-dua) hujung depan dan belakang dan gemuk di tengah-tengah
Lurus

Cahaya sebuah Kapal Terbang
Ketebalan garisan cahayanya konsisten dari hujung ke hujung.
Mesti ada lampu warna merah yang bercahaya secara berkala di ‘sepanjang’ garisan utamanya.
Tidak lurus (akan bengkok sikit mengikut laluannya di langit)
Lintasan cahaya kapal terbang yang dirakam dalam masa waktu dedahan 10 saat. © Shahrin Ahmad




Foto yang sama, tetapi telah didekatkan ke kawasan garisan kapal terbang. © Shahrin Ahmad


Kenapa nama meteor ini macam pernah dengar je?


Secara amnya, dalam kes musim juraian meteor ini, ia akan kelihatan muncul dari kawasan buruj tertentu di langit. Itu sebabnya nama juraian meteor ini agak mirip dengan nama buruj.

Contoh:

Orionids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Orion

Perseids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Perseus

Leonids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Leo

Geminids = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Gemini

Namun, ada juga nama juraian meteor itu agak pelik dan tidak mengikut pola susunan nama seperti di atas. Contohnya:

Eta Aquarids = meteor-meteor yang muncul dari kawasa berhampiran bintang Eta Aquarids dalam buruj Aquarius

Quadrantid = meteor-meteor yang muncul dari kawasan buruj Quadrantid, sebuah buruj yang sudah pupus dan tidak wujud dalam peta bintang moden. Di langit ia kelihatan muncul dari kawasan buruj bernama Bootes.


Di manakah maklumat rasmi mengenai laporan dan kajian meteor terkini boleh didapati?

International Meteor Organizations (IMO)

Mudah-mudahn Q&A ini dapat sedikit sebanyak memberi panduan.

Wallahua’lam.

Selamat mencerap semua!


Sumber: http://falakonline.net/semesta/2017/12/menunggu-kemunculan-meteor-geminid/
http://falakonline.net/semesta/2015/08/jawapan-kepada-persoalan-mengenai-meteor-yang-anda-perlu-tahu/