Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PRU14 : PAS akan kekal, BN dan PH ‘cedera’ - Subky Latif



PEMERHATI PAS, Subky Latif yakin parti itu akan beruntung apabila Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri Najib Razak bertembung dengan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Dalam tulisan disiarkan laman Harakahdaily, wartawan veteran itu berkata PAS dilihat sebagai parti yang “kerdil” selepas memutuskan kerjasama politik dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Namun beliau yakin bahawa parti itu akan terus kekal, dan menjangka BN serta PH pula yang akan “cedera” dalam pilihan raya umum kali ini.

"Sejak tahaluf siyasi dibatalkan semua melihat PAS terlalu kerdil di tengah dua gergasi BN di kiri dan PH di kanan.

“Apabila Mahathir disebut calon perdana menteri PH, tidak lagi bagi PAS atau BN di kiri dan PH di kanan, tetapi menjelma Najib di kiri dan Mahathir di kanan.

"PAS tetap dikira kancil tersepit di tengah apabila Najib dan BN berlaga dengan Mahathir dan PH. Dalam cerita rakyat Melayu, kancil tidak pernah penyek di tengah dua gajah berlaga. Logiknya gajah-gajah itu yang cedera."

Jelasnya, pertembungan di antara BN dan PH itu akan menyebabkan prestasi kedua-dua gabungan tersebut akan terjejas dalam pilihan raya umum akan datang.

Subky mengumpamakannya pertembungan di antara BN dan PH dalam PRU14 nanti seperti peperangan di antara empayar Rom dan Parsi, kira-kira 1,400 tahun lalu.

"Yang di kiri remuk dan yang di kanan remuk, Islam muncul di tengah. Rom rebah dan Parsi robek, Islam tegak atas kedua-duanya yang roboh.

"Semangat Islam inilah yang PAS yakin meletakkan Najib dan Mahathir di tempat Rom dan Parsi dulu," katanya.

Maka, PAS merupakan "pilihan yang di tengah, pilihan yang betul," bagi pengundi dalam pilihan raya umum akan datang, tegasnya dalam tulisan di lidah parti PAS itu lagi.

Subky yang pernah menulis buku-buku politik popular turut mengagumi kerjasama yang dicapai di antara Mahathir dan Anwar, yang kini sedang dipenjara selepas disabitkan kesalahan liwat pada 2015.

"Dengan redha Anwar PRU14 bertambah rancak. Kedudukan Anwar sebagai perdana menteri ditentukan selepas Najib dan Umno kalah. Biar dia kalah dulu.

“Itulah hebatnya politik Anwar dan Mahathir sejak Tunku Abdul Rahman Putra (Al-Haj) digulingkan," katanya lagi.