Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Selamat Tahun Baru 2018

Selamat Menyambut Tahun Baru 2018 yang penuh mencabar.

Menyedari situasi inilah, 1Media yang mula menceburi industri ini dan beroperasi sejak 14 bulan yang lalu dalam impian untuk merancakkan lagi pertumbuhan industri media dinegara ini terpaksa akur kerana tidak mampu berkembang pesat sebagaimana yang dirancang.

Terdapat pelbagai kekangan terutama dalam keadaan ekonomi yang suram sekarang ini. Bagi pengendali-pengendali media terutama media cetak, cabaran tahun 2018 mungkin lebih berat berbanding dengan tahun 2017 yang baru berlabuh tirai.

Terdapat keperluan supaya media konvensional tidak hanya bergantung kepada satu platform sahaja kerana audiens datang daripada pelbagai demografi dan tidak tertumpu pada sesuatu media sahaja. Mana-mana media yang mampu bertahan pun terpaksa berhempas pulas untuk terus ‘survive’ dalam  industri  ini.

Cabaran Pengendali Media   

Laporan yang dikeluarkan Audit Bureau of Circulations Malaysia bagi media cetak yang dipaparkan dari tempoh Januari hingga Jun 2017 mendapati akhbar Kumpulan Utusan, Utusan Malaysia mencatat edaran 115,830; Mingguan Malaysia (257,502), Kosmo (160,536) dan Kosmo Ahad (171,946).

Kumpulan Media Prima yang menerbitkan Berita Harian mencatat edaran 91,648; BH Ahad (77,614); Harian Metro (133,003); Metro Ahad (142,795) manakala akhbar bahasa Inggeris, New Straits Times, 44,779 dan New Sunday Times (49,396).

Akhbar terbitan kumpulan The Star Media pula, The Star mencatat edaran 217,082 manakala Sunday Star, 216,355.

Iklan adalah sumber pendapatan yang utama dalam industri ini. Media konvensional misalnya surat khabar, akan terus berdepan cabaran sekiranya tidak melaksanakan sebarang perubahan apatah lagi pengiklanan mudah alih mula mengambil tempat dalam kalangan generasi baharu.

Sektor media dijangka terus berdepan persekitaran mencabar pada tahun ini apatah lagi inisiatif pendigitalan yang dilaksanakan syarikat-syarikat media dalam usaha menangani penurunan perbelanjaan pengiklanan (adex) dilihat kurang berkesan.

Mana-mana akhbar yang dicetak kurang daripada 50,000 naskah akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk terus bertahan kerana tidak menarik minat pengiklan untuk beriklan dengan akhbar berkenaan.

Tidak mudah untuk kendalikan sesebuah media apatah lagi untuk menjadikannya sebagai satu bisnes yang menguntungkan. Pengendali-pengendali media yang gergasi sebelum ini sedang sedang berusaha terus beroperasi  dengan melakukan pelbagai ‘adjustment’ dalam operasi mereka.

Terbaru akhbar The STAR milik pun dilaporkan sedang berusaha untuk mengurangkan 500 kakitangan. Sebelum itu banyak akhbar-akhbar lain milik Kumpulan Utusan, Media Prima, Karangkraf dan lain telah melakukannya. Begitu juga pengendali akhbar-akhbar kecil tabloid yang lain banyak yang sudah terpaksa “angkat kaki” dari industri media ini.

Editorial 1Media, 1 Januari, 2018