Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Tindakan KPK batalkan IMAMS adalah wajar




Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat.

1. Saya telah bangkitkan dalam kenyataan media saya bertarikh 21 Oktober yang lalu yang menjelaskan bagaimana keputusan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) memperkenalkan 'Integrated Manasik Monitoring System' (IMAMS) masih kabur dan perlu dikaji semula.

2. Kewujudan IMAMS bukan sahaja berkait dengan caj tambahan termasuk pembayaran cukai GST, malah keperluan agensi 'one-stop centre' seperti IMAMS seolah-olah menyebabkan berlaku pertindihan jawatankuasa dalam mengurus serta mengawal selia pengurusan umrah di negara ini.

3. Saya ingin tegaskan bahawa sebarang langkah bagi membasmi kes-kes penipuan pakej umrah ketika ini adalah sangat wajar dilaksanakan dan disokong. Cuma kedudukan IMAMS dalam 'big picture' tersebut masih kabur apatah lagi pihak KPK telah memperkenalkan Lesen Khas Umrah (LKU) serta penglibatan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang merangkumi 13 agensi utama termasuklah Tabung Haji (TH), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA dan JAWHAR.

4. Maka, mengoptimumkan peranan MKSU serta LKU dilihat sudah memadai menangani kes-kes penipuan tersebut. Isu ini semakin kuat diperkatakan ramai pihak memandangkan caj tambahan yang turut melibatkan pembayaran GST serta kedudukan mereka yang bukan Islam yang terlibat dengan IMAMS yang mengurus tentang perihal umrah umat Islam.

5. Persoalannya, mengapa pembayaran tersebut dikenakan sedangkan peraturan 6(1A) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 telah menjelaskan tentang Skim Takaful Umrah. Bagi saya, caj tambahan tersebut hanya menyusahkan orang ramai walaupun kementerian pernah menyebut bahawa caj tersebut sewajarnya ditanggung oleh pihak agensi.

6. Saya mengharapkan agar kerajaan terutamanya KPK tidak melakukan 'u-turn' untuk kembali melaksanakan sistem IMAMS tersebut kelak. Pengumuman membatalkan IMAMS diharap bukan gimik politik bagi meleraikan bantahan ramai pihak semata-mata. Malah, pihak KPK wajar mempertimbangkan langkah yang lebih berobjektif dan tidak sewenang-wenangnya membebankan pihak lain dalam mendepani kemelut yang melanda.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.