Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Adakah Konferen MyAqsa memberi Najib nyawa politik?



ZAMAN 'medsos' (media sosial) digunapakai oleh semua insan bernafas, perang persepsi menjadi senjata penting bagi pemain politik menebar pengaruh dan meremehkan pesaing mereka. Penulis menjenguk alam siber sehari dunia ini di mana ramai politikus PH menghentam dan melecehkan program konferen meja bulat MyAqsa termasuk oleh Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kelompok ini berpandangan konferen bertemakan Palestin ini adalah kaedah Perdana Menteri Malaysia dan parti pemerintah 'menunggang' agamawan untuk memanjangkan hayat politik. "Himpunan nak naikkan kepala penyamun" komen Pegawai Penerangan Lim Guan Eng serta pelbagai komen jelek penyokong PH yang lain. Usaha meremehkan himpunan umat Islam bukanlah kali pertama berlaku terutama selepas munculnya aliansi politik PH yang dikawal oleh DAP.

Antaranya himpunan 4 Disember 2016 di Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur dalam menggalang isu pembantaian Muslim Rohingya. Tuan Guru Abdul Hadi dikecam dengan meluas oleh penyokong PH, kononnya rela sepentas dengan pemimpin yang zalim. Manakala Disember 2017 geger pula apabila program solidariti Palestin di Putrajaya, yang akhirnya juak-juak PH tertampar malu dengan sendirinya, apabila pemimpin PH pula menyua muka di pentas program.

Netizen dengan pelbagai latarbelakang bertanyakan apakah faedah yang didapati dengan penganjuran konferen bertemakan Palestin ini? Pertama kebanyakan peserta-peserta yang diundang merupakan ilmuan Islam, ulama serta tokoh-tokoh gerakan swadaya daripada lebih 30 buah negara. Pastilah mereka mempunyai jaringan pengaruh serta keupayaan untuk mendesak kerajaan masing-masing supaya menyokong perjuangan umat Islam Palestin.

Sosok besar yang hadir juga kebanyakannya mempunyai institusi mereka sendiri, sama ada NGO mahupun institusi pendidikan. Jaringan sivil ini secara konsisten membantu dan mengupayakan bantuan terhadap umat Islam Palestin, terutama di Gaza yang dihimpit oleh penderaan regim Zionis. Konferen yang disoroti oleh media arus perdana dan juga media sosial ini paling kurang akan mengingatkan ummah akan sebuah tanggungjawab yang terpikul pada pundak seluruh ummah tanpa mengira latarbelakang politik, sosio ekonomi dan tendensi.

Lihatkan dengan kacamata positif, usaha membantu Palestin dan penyelamatan al-Aqsa tidak cukup dengan kudrat NGO atau tokoh perseorangan. Setiap kerajaan umat Islam mestilah proaktif membantu, bahkan menyedarkan masyarakat bahawa kezaliman Israel mestilah dihentikan. Penyelamatan Palestin mestilah berada dalam silibus pengajian umat Islam, sama ada pengajian formal atau pun tradisional.

Seminar, konferen, bahkan himpunan umat Islam adalah salah satu mekanisme mengerah akal dan kudrat untuk membantu umat Islam tertindas. Contohnya Himpunan Solidariti Rohingya pada 4 Disember 2016 telah menatijahkan usaha mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengunakan pelbagai cara membantu Muslim Rohingya. Seterusnya pada 2 Februari 2017 berangkatlah misi 'Food Flotilla for Myanmar', gabungan pelbagai NGO membawa bantuan kemanusiaan dengan kaedah 'G to G'. Desakan akhirnya membuka langkah pihak kerajaan untuk membantu termasuk usaha membina hospital medan di kem-kem pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.

Dalam perseteruan politik, janganlah semua perkara kebaikan ditutup untuk memenangkan kelompok kita. PAS yang telah 67 tahun dipersada politik dan dakwah tanahair telah dimatangkan dengan sebanjaran pengalaman, melalui segala liku pahit maung perjuangan dengan tabah. Dengan pendekatan BPMS, harakatul ummah ini telah memecahkan tembok kaca yang telah lama dibina oleh pesaing-pesaing PAS sejak sekian lama. Apa sahaja berkaitan dengan Islam dan kepentingan ummah, maka PAS akan bersama membantu. Maka untuk al-Quds yang mulia, PAS akan menggalang seluruh kekuatan yang ada untuk membantu!


________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.