Beza Zero-Rated GST (PH) Dan Mansuh GST (PAS)
1. Ketika satu poster disebarkan, ramai bertanya apa beza cadangan PAS yang mahu GST dihapuskan dengan PH yang mahu menetapkan 0% cukai GST? Saya sendiri termangu untuk menjawab. Saya bukan ahli di bidang ekonomi.
2. Setelah lama mencari, akhirnya bertemu satu jawapan. Walaupun dua solusi ini tampak sama, tapi bezanya sangat besar. Ia adalah isu prinsip. Perbezaanya adalah berkaitan dengan syariat Islam. Solusi PAS adalah patuh syariah manakala apa yang ingin dibawa oleh PH adalah bertentangan dengan syariat malah maqasid syariat.
3. PAS menolak GST kerana konsepnya bersalahan dengan Islam kerana mengambil cukai daripada semua orang termasuk si miskin yang tidak berkemampuan. Sedangkan di dalam ajaran Islam, cukai hanya diambil daripada orang berada bertujuan untuk membantu yang tidak berkemampuan. Oleh itu PAS menolak GST secara total dan tidak boleh dilaksanakan sekali-kali. Akta GST perlu dihapuskan.
4. Cadangan PH pula adalah untuk tidak mengenakan GST buat masa ini. Tetapi mereka mengakui bahawa GST adalah sistem cukai yang berkesan. Ia dikenakan 0% kerana masih mahu mengekalkan akta GST. Cuma kadarnya sahaja direndahkan kepada sifar sehingga masa tertentu. Ia bersifat sementara. Ini bermakna, pada suatu masa nanti GST bakal dikenakan semula.
5. Suka untuk saya katakan idea PH adalah suatu yang sangat bodoh. Mengekalkan sistem cukai tetapi tidak memungutnya hanya akan menambah beban kos kepada peniaga dan kerajaan walaupun dalam tempoh tertentu. Negara akan ditertawakan kerana menjadi satu-satunya negara yang mengenakan GST tetapi 0%. Tetapi lebih malang, jika ada rakyat yang berjaya diperbodohkan oleh mereka.
6. Inilah padah apabila memahami konsep makro-ekonomi melalui neraca barat. Mereka hanya nampak penjanaan ekonomi hanya melalui percukaian semata-mata mengikut kaedah polisi fiskal. Soal mengurus kewangan negara difikirkan seputar naik turun nilai cukai dan kaedah kutipan yang efisyen sahaja. Saidina Uthman pernah menyebut di dalam suratn kepada para gabenornya:
فإن الله أمر الأئمة أن يكونوا رعاة، ولم يتقدم إليهم أن يكونوا جباة، وإن صدر هذه الأمة خلقوا رعاة، ولم يخلقوا جباة، وليوشكن أن يصيروا جباة، ولا يكونوا رعاة، فإذا عادوا كذلك انقطع الحياء والأمانة والوفاء،
"Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada para pemimpin supaya menjadi pemelihara, bukan menjadi pengutip cukai. Sesungguhnya kalangan terdahulu dari umat ini diciptakan sebagai pemelihara, bukan pengutip cukai. Dan akan tiba suatu masa nanti pemerintah menjadi pengutip cukai bukan lagi pemelihara. Apabila berlaku demikian, maka hilanglah sifat malu, amanah dan menepati janji.."
7. Mereka mengenakan cukai secara samarata (equality) dengan menganggap ia bertepatan konsep keadilan (justice). Sedangkan keadilan dan kesamarataan satu perkara yang berbeza. Walaupun tanggungan cukai boleh diperkecilkan kerana dikongsi semua penduduk negara, tetapi kesannya berbeza antara golongan berpendapatan tinggu dan rendah. RM6 mungkin tiada nilai bagi sesetengah pihak, tetapi ia adalah nilai sara hidup untuk sehari bagi sesetengah golongan.
8. Tetapi yang lebih malang, kebanyakan konsep percukaian yang dikenakan lebih bersifat mesra kapitalis. Transaksi dan urusniaga golongan korporat bernilai trillion ringgit langsung tidak diusik bagi menjaga hati golongan 1% ini. Barangkali kerana kapitalis inilah yang membela politikus-politikus ini. Rakyat teramai yang sentiasa bergelut dengan kos hidup pula diperas setiap hari.
9. Kesudahannya, yang kaya semakin kaya dan yang miskin terus miskin. Jumlah miskin semakin bertambah. Kuasa beli rakyat teramai sebagai pengguna pula menurun mendadak, menyebabkan hasil GST turun menurun kerana kelembapan pasaran. Perniagaan kapitalis turut terjejas lalu akhirnya ekonomi bertambah tenat. Inilah yang berlaku di Greece.
10. Malaysia bukan negara yang kekurangan sumber pendapatan. Negara sebenarnya kaya dengan pelbagai galian dan tanah yang subur. Semuanya bernilai tinggi dan bermanfaat untuk kehidupan. Masalah sekarang adalah sistem yang menguruskan hasil negara yang tidak efisyen, menyebabkan kekayaan negara hanya berlegar di kalangan sebilangan kecil sahaja. Ia tidak akan selesai hanya sekadar merubah individu, tetapi sistem masih begitu.
11. Justeru itu PAS menawarkan solusi tuntas melalui Dokumen Hijau agar kitaran ekonomi negara berlaku secara lebih adil mengikut ajaran Islam. Cukai simpanan korporat dan cukai urusniaga saham BSKL adalah alternatif kepada GST dalam menambah pendapatan negara. Bezanya, cukai ini diambil dari golongan kaya yang membentuk kurang 1% daripada keseluruhan 30juta rakyat Malaysia sahaja. Itupun boleh mengutip lebih daripada hasil GST hari ini.
12. Bagi menjayakan perkara ini, PAS mengamalkan salah satu kriteria BPMS iaitu Politik Mengutamakan Rakyat. PAS mengemukakan Dokumen Hijau kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara buat pertama kali sebelum dipaparkan kepada rakyat. Menunjukkan PAS benar-benar ikhlas mahu membantu negara. Dokumen Hijau bukan semata-mata modal politik PAS. Namun hanya sebahagian kecil kandungan Dokumen Hijau yang dipertimbangkan.
13. Sehingga kini PAS masih percaya hanya Islam sahaja yang mampu menyelesaikan masalah negara. PAS memiliki berbagai lagi solusi selain ekonomi. Kesemuanya terkandung di dalam dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051). Membuktikan PAS tidak hanya pandai bercakap tentang hudud sahaja sebagaimana yang digambarkan media. PAS sudah bersedia jika diberi amanah memerintah!
Sejahtera Bersama Islam
2 Jumadal Ula 1439
20 Januari 2018
(Alang Ibn Shukrimun)
Telegram:
telegram.me/AlangIbnShukrimun
Facebook:
fb.com/AlangShukrimun
Post a Comment