BN bakal hilang undi popular sekali lagi?
Bekas ketua pengarang kumpulan NSTP, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan menjangkakan bahawa BN akan sekali lagi kehilangan undi popular pada pilihan raya umum akan datang lagi.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu satu forum di Singapura semalam bahawa dirinya tidak menjangkakan bahawa BN akan kehilangan majoriti di Parlimen.
"Walaupun saya yakin bahawa BN akan kehilangan undi popular pada pilihan raya umum akan datang, saya tidak pasti mereka akan kehilangan majoriti di parlimen," katanya, yang dipetik oleh Straits Times Singapura.
Kalimullah adalah antara dua penceramah Malaysia di sebuah forum serantau yang dianjurkan oleh ISEAS - Institut Yusof Ishak.
Kalimullah, seorang bekas wartawan yang kemudian mencebur sektor korporat, pernah dianggap sebagai antara ketua propaganda bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah menerajui BN ketika mereka mencapai prestasi pilihan raya terbaik pada tahun 2004. Tetapi pada tahun 2008, BN yang dipimpin Abdullah kehilangan majoriti dua per tiga di Parlimen, meskipun masih memegang 51 peratus undi popular.
Sementara di bawah teraju Datuk Seri Najib Razak, BN kehilangan undi popular pada tahun 2013. Mereka hanya mendapat 47.4 peratus daripada keseluruhan jumlah undi, tetapi masih memenangi 60 peratus daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Seorang lagi penceramah pada forum itu, iaitu Pengerusi Agensi Berita Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, berkata BN akan berdepan pilihan raya yang sukar susulan rasa tidak puas hati rakyat terhadap skandal kerajaan dan isu kos sara hidup.
Walau bagaimanapun, memandangkan undi Sabah dan Sarawak serta masyarakat Melayu luar bandar dijangka terus memihak kepada BN, katanya, tidak mungkin gabungan itu akan kehilangan kuasa.
"Dengan parti-parti pembangkang yang tidak bersatu, ini akan memberi manfaat kepada BN," katanya.
Post a Comment