Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Festival MyAQSA: Lebih 100 Sarjana Islam Bertemu Untuk Persidangan Di Malaysia


KENYATAAN MEDIA MAJLIS PRA PELANCARAN FESTIVAL MYAQSA 

1. Hasil daripada Resolusi yang diputuskan di dalam Forum Antarabangsa MyAQSA yang telah diadakan pada 11hb Disember 2017, Yayasan MyAQSA (MyAQSA) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Festival MyAQSA di Dataran Putrajaya, Putrajaya bermula pada 26hb sehingga 28hb Januari 2018. Tiga acara utama yang akan diadakan sepanjang Festival MyAQSA adalah Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis (MyAQSA Roundtable Conference For World Islamic Scholars on Baitulmaqdis), Himpunan Munajat Aqsaku dan Ekspo Aqsaku. 


2. Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmaqdis adalah anjuran bersama Yayasan MyAQSA, JAKIM, Kesatuan Ulama Palestin Diaspora dan Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Sheikh Dr Yusuf Al- Qardawi. Program ini dianjurkan setelah mengambil kira masa depan dan suasana semasa kota suci Umat Islam Baitulmaqdis yang sedang berhadapan dengan ancaman dan keadaan yang gawat akibat pengisytiharan haram Presiden Trump untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Persidangan ini akan dihadiri oleh lebih 100 orang ulama dari hampir 30 buah negara. Seramai lebih 50 orang ulama dalam negara juga dijangka akan turut menyertai persidangan ini termasuk mufti-mufti di setiap negeri. 

3. Di antara ulama terkenal dunia yang telah mengesahkan kehadiran ke persidangan ini ialah Syeikh Muhammad Hasan Walid Al-Didu (ulama terkenal daripada Mauritania), Syeikh Dr Ali Al-Qaradaghi (Setiausaha Agong Kesatuan Ulama Islam Sedunia), Sheikh Dr Najeh Bkeerat (Pengarah Harta Wakaf Masjidil Aqsa), Maulana Dr Abdul Razzaq Iskandar (Pengerusi Wifaq Al Madaris Pakistan), Maulana Sayyid Salman al-Husaini al-Nadwi (Madrasah Darul Ulum Nadwatul Ulama, India), Sheikh Dr Abdul Hayy Yusuf (Ketua Kesatuan Ulama Sudan) termasuk YB Dato Seri Tuan Guru Sheikh Abdul Hadi Awang (Naib Ketua Ulama Islam Sedunia). Pihak kami juga menjangkakan beberapa lagi tokoh ulama dunia akan mengesahkan kehadiran mereka dalam masa terdekat termasuk Syeikh Dr Yusuf Al Qardawi, Habib Rizieq Shihab daripada Indonesia dan ramai lagi. 

4. Di antara agenda penting yang akan dibincang bersama nanti ialah mengenai peranan ummah dan Negara-negara Islam dalam berhadapan dengan Zionis Israel serta konco-konconya yang semakin aggresif dan secara oppresif ingin menguasai dan merampas Baitulmaqdis yang merupakan milik mutlak umat Islam. Resolusi yang bakal diputuskan di dalam Persidangan ini akan diserahkan kepada Ketua-ketua Negara Islam dunia. Sebagai inisiatif awal, resolusi tersebut akan di serahkan kepada kerajaan Malaysia melalui YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia sejurus selesai persidangan pada hari Ahad iaitu 28hb Januari 2018. 

5. Selain daripada persidangan ulama ini, sekiranya ada permintaan, pihak kami juga merancang untuk mengadakan aktiviti untuk orang ramai dalam bentuk ekspo bertujuan antara lain untuk mendekatkan masyarakat Malaysia dengan Baitulmaqdis agar kita sama-sama dapat merasai dan menjiwai bahawa Baitulmaqdis adalah milik kita. Acara ini dinamakan sebagai Ekspo Aqsaku. Ekspo Aqsaku dirancang untuk diadakan selama tiga hari iaitu akan bermula daripada hari Jumaat 26hb Januari, 2018 sehinggalah hari Ahad 28hb Januari, 2018. Antara aktiviti yang dirancang untuk diadakan ialah : 

Program Solidariti Selebriti Bersama Aqsaku. 
Pengisian dan perkongsian isu kemanusiaan dan keagamaan. 
Maskot Didi, Ultraman, Upin & Ipin Bersama Perjuangan Aqsa Ku 
Pameran Misi Kemanusiaan oleh pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). 
Jualan amal dan cenderahati. 
“Photo Booth” Replika Sebahagian Masjidil Aqsa. 

6. Acara kemuncak bagi Festival MyAQSA adalah Himpunan Munajat Aqsaku yang akan berlangsung pada hari Sabtu 27hb Januari ,2018 di Dataran Putrajaya. Program akan bermula seawal jam 2.00 petang dengan beberapa siri kuliah dan soal jawab agama oleh ulama selebriti, pidato tokoh-tokoh NGO dan persembahan kesenian. Seterusnya, solat maghrib dan sesi munajat khas Baitulmaqdis yang dijangkakan akan dipimpin oleh Imam Masjidil Aqsa bersama-sama dengan kehadiran seluruh para alim ulama yang menyertai Persidangan Meja Bulat MyAQSA. Selepas itu majlis akan diakhiri dengan pidato perdana yang akan di sampaikan oleh tokoh- tokoh besar ulama dunia termasuk YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B) yang mewakili kerajaan Malaysia dan YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mewakili Kesatuan Ulama Islam Sedunia. 

7. Pihak kami ingin menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk mengambil kesempatan ini turun beramai-ramai bersama dengan para alim ulama seluruh dunia untuk berhimpun memenuhi seluruh Dataran Putrajaya bermunajat kepada Allah SWT agar melindungi Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa daripada terus diceroboh dan dikuasai Zionis Israel. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Festival ini di laman sesawang MyAQSA (www.myaqsa.my) atau di laman sosial MyAQSA. 

DR. HJ. NOORAZMAN BIN MOHD SAMSUDDIN 
Pengarah Sekretariat Festival MyAQSA
11 Januari 2018. 

Laman web : www.myaqsa.my Facebook : MyAQSA
Twitter : MyAQSA_Official