Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Hadi Pembangkang Yang Baik? - Najib       


Menerusi perutusan sempena Tahun Baru 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuji pendekatan PAS yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang meskipun parti itu datang dari latar belakang politik yang berbeza.

“Tokoh-tokoh pembangkang secara senyap-senyap bersetuju dengan konsep ini untuk mempromosikan penyatuan nasional, begitulah sepatutnya rakyat Malaysia yang patriotik tetapi mereka membantahnya atas tujuan putar belit politik peribadi. Hal ini memalukan.


“Cara yang lebih baik ditunjukkan PAS di bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang.

“Kami daripada parti berbeza, tetapi kami mengatasi perbezaan itu atas maslahah kepentingan umum, seperti menyokong perjuangan Rohingya dan rakyat Palestin,” kata beliau dalam perutusan yang dimuatnaik di blog rasmi beliau.

Najib kemudiannya menyifatkan ia sebagai satu usaha ‘politik matang’ demi terus membangunkan dan memajukan negara.

Berbeza dengan Hadi, Najib berkata walaupun sedar peranan yang dimainkan pihak pembangkang, namun beliau menyifatkan adalah tidak wajar untuk pemimpin politik membangkang tanpa tujuan.

Najib juga menyentuh lawatannya ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kita boleh berbeza pendapat, namun kita juga masih perlu menjaga ketertiban dan kesopanan.

Dalam masa yang sama beliau juga menyasarkan kritikan terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hal yang demikian dapat diterima dan difahami dalam masyarakat yang beradab dan kami tidak percaya atau kembali kepada amalan kejam yang dilakukan bekas pemimpin,” katanya.

Malah Najib juga meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan pembangkang memburukkan fakta berkenaan negara seolah-olah cuba mengkhianati Malaysia.

“Tidak dapat diterima untuk seorang bekas pemimpin cuba untuk menggulingkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik dengan harapan cita-citanya untuk menaikkan anaknya menjadi kenyataan.

“Dalam demokrasi perkara yang penting adalah kehendak rakyat yang disuarakan melalui peti undi bukanlah keinginan dinasti seorang yang mementingkan diri sendiri,” katanya.



Wartawan Watan-Online