Kelantan: Dakwaan gugur 11 nama ramalan liar
KOTA BHARU: PAS Kelantan menafikan 11 nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen di negeri ini akan digugurkan seperti yang tersebar di laman sosial.
Setiausahanya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata perkara itu adalah ramalan liar yang hanya mahu menghangatkan suasana politik semasa.
"Bagi saya itu semua ramalan liar dan tidak boleh dipercayai. Saya tidak tahu apa matlamat mereka, mungkin untuk memanaskan keadaan kerana PAS kini tidak berdepan sebarang masalah.
"Apa yang kita terima, ...ada ADUN yang tidak mahu bertanding, bukannya parti menggugurkan mereka.
"Apa yang pasti, PAS Kelantan hanya menghantar senarai nama calon berdasarkan kajian yang dibuat dan perkara itu akan diputuskan oleh PAS Pusat siapa yang akan menjadi calon," katanya ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Dua ahli Parlimen, Nik Mazian Nik Mohamed (Pasir Puteh) dan Ahmad Baihaki Athqullah (Kubang Kerian) dikatakan akan digugurkan dalam PRU-14.
Sembilan ADUN pula adalah Zaki Ibrahim (Kelaboran); Abdul Aziz Kadir (Jelawat); Abdul Rasul Mohamad (Bukit Tuku); Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok); Abdul Latif Abdul Rahman (Mengkebang); Muhamad Awang (Gual Periok); Mumtaz Md Nawi (Demit), Wan Ubaidah Wan Omar (Kijang) dan Rohani Ibrahim (Tanjung Mas).
Sementara itu, Zaki ketika dihubungi, berkata beliau menerima keputusan pucuk pimpinan parti sekiranya namanya digugurkan.
"Saya menerima sebarang keputusan dan meminta yang lain-lain juga terima dengan hati terbuka keputusan dibuat parti.
"Kita perlu ingat zaman kita naik disebabkan parti yang memilih kita dan seharusnya terima walaupun nama digugurkan," katanya.
Post a Comment