Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Marina Berfikiran Sempit Kata Islamisasi Rosakkan Malaysia



BANGI, Selasa – Dakwaan aktivis liberal, Marina Mahathir bahawa Islamisasi menyebabkan Malaysia di ambang kemorosotan adalah pandangan sempit dan tertutup untuk individu berpendidikan sepertinya.

Exco Pertubuhan Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Farzanah Selamat berkata, Marina hanya bercakap ikut mulut tanpa bersandarkan bukti kukuh.

“Garis ukur apa yang dia guna sehingga menjustifikasikan Islamisasi tidak baik sehingga mendakwa negara akan maju dengan liberal?

“Dia fikir bila Islam dijadikan teras negara, sesebuah negara itu akan mundur dan ketinggalan. Adakah berdasarkan pemerhatian dan kajian terhadap masyarat Islam sekarang yang jauh dari penafsiran Islam hakiki?

“Atau mungkin dengan hanya melihat isu kerosakan masyarakat Islam di negara ini yang tidak mengamalkan Islam sebenar?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan pemimpin Sister In Islam (SIS) itu, kononnya Malaysia di ambang kemerosotan jika negara meneruskan agenda Islamisasi yang tidak hanya akan memecahbelahkan masyarakat, tetapi menyuburkan keganasan.

Menyelar dakwaan Marina, Farzanah berkata, tidakkah aktivis itu tahu sejarah telah membuktikan, berpegang teguh kepada Islam adalah teras utama sesebuah negara.

Ia bukan hanya mampu menjadikan negara itu maju, malah mampu melahirkan masyarakat yang berfikiran jauh ke depan dan mempunyai akhlak yang mantap.

Farzanah berkata, tamadun Islam berjaya membuktikan bahawa kemajuan inovasi dan ilmu mampu diringi dengan kemajuan akhlak dan etika, yang mana gagal dilaksanakan mana-mana tamadun sehingga sekarang.

“Contohnya, penggunaan janin bayi bagi ujikaji sains yang dibuat baru-baru ini. Tamadun Islam juga menjadi bukti bahawa wanita mampu dijulang sebagai tokoh cendiakawan ketika dunia hanya memandang mereka sebelah mata, seperti rufaidah binti saad, pengamal perubatan wanita pertama dunia dan Aisyah binti Abu Bakr, rujukan para tabiin.

“Jadi saya kira pandangan Marina seolah sengaja menutup bukti sejarah yang menunjukkan tamadun Islam antara tamadun teragung peradaban manusia,” katanya.--Menara.my