Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Sabah sukar diramal?



Oleh AHMAD FARIS ABDUL HALIM

Kekerapan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tampil di Sabah membuktikan bahawa Sabah merupakan bumi yang disayangi oleh Kerajaan Barisan Nasional. Sabah tidak dilupakan dan menjadi jantung hati yang sentiasa diingati dan dicintai. Negeri Di Bawah Bayu ini pesat membangun dan segala-galanya ada disini. 


Ke arah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), penulis mengupas hasil kolaborasi dengan beberapa pengkaji politik antaranya yang meninjau situasi politik Sabah.


Berdasarkan keputusan PRU-13, BN berjaya memenangi 23 daripada 26 kerusi Parlimen, sementara baki tiga kerusi lagi dimenangi masing-masing dua oleh DAP dan satu PKR. Daripada 23 kerusi yang dimenangi BN, sebanyak tujuh kerusi dimenangi majoriti di bawah 4,000 undi iaitu di Kota Marudu (majoriti 842), Beaufort (673), Ranau (3611), Keningau (3918), Tenom (3,886), Pesiangan (1,744) dan Batu Sapi (3,798). Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, 49 daripada 60 kerusi DUN dimiliki oleh BN. 


Senario ke arah PRU-14 di Sabah berbeza dengan perkembangan semasa PRU-13. Banyak perkembangan baharu yang mewarnai politik Sabah. Penubuhan Parti Warisan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Afdal adalah satu fenomena baharu dalam gerakan politik di Sabah. Antara strategi yang cuba dilaksanakan oleh Parti Warisan ini adalah membentuk pakatan parti pembangkang ‘Sabah Based’ menentang BN dengan membangkitkan sentimen ‘Sabah For Sabahan’ bersama motto ‘Ubah Sabah’.


Berbicara berhubung Sabah Based Party ini, BN perlu memberi perhatian dan berwaspada. Parti Warisan berusaha untuk membentuk pakatan pembangkang ‘Sabah Based Party’ dengan melibatkan pemimpin-pemimpin dalam kalangan Kadazan Dusun dan Murut (KDM) dengan gerakannya perlu dicurigai. Ini kerana pemimpin parti Warisan ini di  peringkat lapisan kedua dan ke bawah kebanyakannya daripada golongan aristokrat KDM.


Beberapa pihak membuat analisis tipikal tentang tindakan pemimpin pembangkang Sabah seperti  Datuk Seri Lajim Ukim dan Darrel Leiking, Ahli Parlimen Penampang yang masing-masing bertindak keluar daripada PKR dan DAP iaitu parti berteraskan ‘Semenanjung Based’. Malah,  Mohd.  Shafie sendiri tidak menyertai parti Bersatu, sebaliknya menubuhkan Warisan yang berteraskan ‘Sabah Based Party’. Kesemua mereka mempunyai hasrat sama untuk mempengaruhi sokongan pengundi dengan mengeksploitasi sentimen ‘Sabah For Sabahan’, Ubah Sabah dan ‘Agenda Borneo’.


Dalam perkembangan sama, gerakan Agenda Borneo dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) yang aktif memperjuangkan ‘Sabah For Sabahan’ dengan turut menyebarkan sentimen ‘Ubah Sabah’. Perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah sebahagian daripada gerakan kumpulan ini. Gerakan ini dikatakan telah sedia wujud melalui aktiviti di gereja-gereja Kristian khususnya di kawasan Parlimen KDM di pedalaman. Gereja-gereja Kristian dikatakan menjadi pemangkin menyebarkan gerakan ini dalam kalangan masyarakat pedalaman Sabah.


Isu sentimen ‘Sabah For Sabahan’ ini berpotensi memberi kesan terhadap BN di Sabah. Ini kerana, gerakan ini berkemampuan untuk mendominasi sentimen pengundi di Sabah memilih parti-parti ‘Sabah Based’ dan menolak parti-parti ‘Semenanjung Based’. Sentimen tersebut boleh mempengaruhi corak pengundi Sabah untuk cenderung menolak  UMNO termasuk lain-lain parti pembangkang dari Semenanjung. 


Satu kajian lapangan juga menunjukkan bahawa di kawasan Parlimen pedalaman, kecenderungan sokongan golongan muda adalah kepada parti-parti  pakatan pembangkang Sabah seperti Parlimen Kota Marudu, Pensiangan, Tambunan, Tenom dan Keningau. Dikatakan juga, kecenderungan terhadap Parti Cinta Sabah (PCM) berpunca atas faktor kepimpinan PBS, PBRS dan UPKO yang tidak bersikap pro-aktif menangani golongan belia di kawasan KDM. 


Bagi kawasan separa bandar pula, rata-rata masih lagi menunjukkan kecenderungan yang tinggi menyokong BN. Bagi kawasan bandar, tahap sokongan adalah marginal kepada BN dan pakatan pembangkang Sabah seperti di Parlimen Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan dan Kudat. 


Sebagai contoh, kajian lapangan telah dibuat baru-baru ini oleh sekumpulan penyelidik di 10 kawasan Parlimen iaitu Semporna, Kalabakan, Sandakan, Silam, Libaran, Beaufort, Persiangan, Kimanis, Kota Marudu dan Sipitang. Seramai 1,034 responden ditemubual terdiri daripada golongan yang faham tentang selok-belok politik serta golongan yang turut menyertai politik Sabah. Beberapa penemuan perlu diberi perhatian.





Beberapa pengkaji yang berpandangan agak radikal menyatakan BN perlu mengamati trend pengundi Sabah secara telus. Ini kerana situasi berikut boleh berlaku.


Parti-parti pembangkang Sabah (The Sabah Based Opposition Parties) bakal membentuk satu kerjasama politik dalam kalangan  mereka di bawah payung “perjuangan Sabah untuk Sabah dalam Malaysia”. Jika senario ini terjadi, maka BN bakal berhadapan dengan situasi kerjasama pembangkang yang bersifat ‘Sabah Based’ yang kuat dan bersepadu. Kuat bukan sahaja dari sudut struktur kerja sama politik, tetapi juga kuat didukung oleh majoriti pengundi Sabah, termasuk kelompok pengundi muda Sabah (21-39 tahun). Berdasarkan statistik terkini, kelompok pengundi muda Sabah masa kini membentuk melebihi 40% daripada keseluruhan jumlah pengundi di Sabah. 


Parti-parti pembangkang Sabah (The Sabah Based Opposition Parties) mewujudkan satu bentuk “understanding” dalam konteks persaingan dengan BN tanpa mewujudkan sebuah “grand-coalition” yang “solid” sesama mereka. Jika senario ini terbentuk, BN bakal berhadapan dengan kelompok pembangkang yang menjalinkan kerja sama secara bersepadu.


Situasi sosio-politik pengundi-pengundi Sabah kini agak cenderung dengan ‘Agenda Borneo’, khususnya di kalangan pengundi muda dan Pengundi Bumiputera-Bukan Islam (KDM non-muslim voters) serta pengundi-pengundi bukan bumiputera, khasnya pengundi Cina. Senario ini bakal menjadikan BN Sabah berhadapan dengan majoriti pengundi yang telah “make-up their mind and political choice” yang mungkin cenderung ke arah pembangkang menjelang PRU akan datang. 


Fenomena lompat parti kesan daripada ‘Gelombang Agenda Borneo’ menjelang saat ‘eleven-hours’ pilihan raya atau saat ‘at the first hours of post election result’ negeri Sabah. Fenomena atau senario lompat parti bukanlah perkara baharu dalam konteks politik Sabah. Bahkan,  ia merupakan satu fenomena yang agak ‘sebati’ dengan situasi politik Sabah itu sendiri. Senario ini perlu diberi perhatian yang serius oleh kepimpinan BN dalam konteks perkembangan  under current politik di Sabah.


Semua sentimen dan gerakan seperti dinyatakan boleh berlaku dalam senyap. Peristiwa Parti Bersatu Sabah (PBS) menewaskan Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh dalam PRN Sabah pada  1985 perlu diambil iktibar. PBS tatkala itu adalah parti baharu yang cuma beberapa bulan  ditubuhkan telah berjaya menumbangkan parti Berjaya yang berada dalam komponen BN dengan tanpa diduga sama sekali. Sokongan terhadap PBS dipandang remeh oleh Berjaya tetapi dengan tiba-tiba ia menjadi gelombang ketika menjelang hari mengundi. 


Sejarah dan analisis semasa perlu dicurigai kerana politik masyarakat Sabah sukar diramal dan tidak sama dengan politik di Semenanjung.  Perlu diingatkan juga, daripada 60 DUN di Sabah ini, sekitar 30 DUN berada di Pantai Timur Sabah - kawasan yang dikatakan mempunyai pengaruh yang agak kuat Parti Warisan.


Walau apa pun perkembangan dan cakap-cakap pelbagai pihak, hakikatnya penyatuan di bawah satu pakatan pembangkang Sabah untuk menentang BN dalam bentuk satu lawan satu masih jauh untuk dicapai. Tambahan pula dalam kedudukan Mohd. Shafie  dan beberapa  pemimpin Parti Warisan menghadapi kes mahkamah.  Walaupun keadaan ini sukar, namun BN tidak boleh ambil mudah kerana sentimen ‘Sabah For Sabahan’ yang menular boleh memecah dominasi pengundi BN. 


Hakikat yang nyata menunjukkan BN sentiasa mempunyai peluang yang besar untuk menguasai pengundi-pengundi di Sabah. BN khususnya UMNO perlu terus  menampilkan parti yang dapat menaungi dan melindungi rakyat Sabah. Hakikatnya, layanan serta keprihatinan BN terhadap negeri Sabah  adalah satu realiti dan perlu dinilai secara mendalam oleh pengundi Sabah. 


Isu yang lebih penting lagi, BN perlu segera menghindari senario ‘ribut dalam cawan’ yang melanda UMNO dan komponen parti BN lain di Sabah. Ini penting bagi menanam keyakinan untuk menawan Sabah dengan lebih bergaya lagi. 

The world suffers a lot. Not because of the violence of bad people, But because of the silence of good people. – Shakespeare


Datuk Ahmad Faris Abdul Halim adalah Penganalisis Isu-isu Semasa