Bank Negara Malaysia(BNM) perlu bertindak segera bantu meringankan beban pengguna
Kenyataan terbaharu daripada Bank Negara Malaysia (BNM) melalui buletin suku tahunannya berkenaan kedudukan Rumah Mampu Milik (RMM) adalah amat bercanggah dengan tindakan dan polisi BNM sendiri. Dalam kenyataan tersebut BNM menyatakan bahawa Malaysia sekarang menghadapi kekurangan RMM dan kedudukan bekalan dan harga rumah Malaysia sekarang adalah amat tidak mampu milik.
Antara data-data yang dikemukakan oleh BNM adalah dalam suku pertama 2017 hanya 24% daripada projek rumah baharu yang dilancar adalah pada harga RM250,000, iaitu harga yang mampu dimiliki oleh 35% isi rumah Malaysia. Data itu juga menyatakan bahawa antara tahun 2007 hingga 2016, harga rumah telah meningkat sebanyak 9.8% manakala pendapatan isi rumah Malaysia hanya meningkat 8.3%. Dalam tempoh tersebut, iaitu 2012 hingga 2014, harga rumah meningkat lebih daripada sekali ganda peningkatan pendapatan isi rumah, iaitu 26.4% berbanding 12.4%.
Inilah yang menyebabkan wujud ketidaksetaraan antara bekalan dan permintaan RMM, sepertimana yang berlaku sekarang. Dan kemuncak fenomena ini adalah jumlah rumah yang tidak dapat dijual adalah yang paling tinggi dalam tempoh 10 tahun iaitu 146,497 unit setakat pada suku kedua 2017.
Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (PAS) telah pun menyedari hakikat ini dan dalam banyak kenyataan kami, telah menyaran dan mendesak kerajaan, terutama BNM mengambil langkah proaktif dan mesra pengguna dalam menangani masalah ini. Oleh kerana itulah kami amat tidak bersetuju dengan tindakan BNM menaikan Kadar Faedah Semalaman (OPR) kepada 3.25% yang lalu kerana ianya akan memburukkan lagi keherotan pasaran, termasuk pasaran rumah Malaysia.
Kami menegaskan bahawa pengguna masih amat terbeban dengan suasana ekonomi negara sekarang, jesteru kenaikan OPR akan terus menekan pengguna. Malah dari perspektif pasaran rumah, keupayaan pengguna untuk mendapatkan pinjaman akan lebih terjejas dengan OPR yang lebih tinggi sekarang. Ini secara langsung akan menjejaskan permintaan termasuk memburukkan lagi herotan yang berlaku kepada pasaran rumah Malaysia.
Malah tekanan yang dihadapi oleh pengguna ini bukan saja dapat dibuktikan melalui sektor perumahan yang terjejas teruk, malah melalui sektor peruncitan yang penguncup. Ini terbukti dengan kenyataan dan pemerhatian yang dinyatakan oleh Dato’ Wira Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad melalui temuramah dengan stesen radio BFM, bahawa sektor hypermarket menyaksikan penguncupan disebabkan pengguna tidak berbelanja. BNM seharusnya lebih awal peka dengan semua yang berlaku dalam pasaran kini, lantas sepatutnya lebih tuntas bertindak.
Sekali lagi kami menegaskan bahawa dengan semua tekanan yang dihadapi oleh pengguna sekarang, BNM tidak seharusnya menaikkan OPR, malah tindakan itu adalah bercanggah dengan data suasana ekonomi negara, yang dikeluarkan sendiri oleh BNM. Walaupun tindakan menaikkan OPR itu lebih kepada untuk menormalisasikan pasaran terhadap potensi tekanan inflasi, tindakan itu adalah amat pra-matang. Seperti yang kami hujahkan bahawa keutamaan sekarang sepatutnya ialah untuk memberi lebih ruang kepada pengguna untuk menyerap tekanan seterusnya menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang amat menekan, sepertimana data-data diatas.
Oleh itu, langkah pembetulan yang drastik harus dibuat oleh BNM sekarang bagi menyokong daya saing pengguna yang seterusnya memperkasa permintaan domestik.
MAZLI NOOR adalahTimbalan Pengerusi,
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
Post a Comment