China hapus had penggal pemerintahan Presiden
BEIJING: Parti pemerintah Komunis China hari ini membuka ruang bagi membolehkan Presiden Xi Jinping memerintah tanpa had masa menerusi cadangan memansuhkan fasal perlembagaan yang mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan tertinggi itu kepada hanya dua penggal.
Sejak mengambil alih jawatan lebih lima tahun lalu, Jinping melaksanakan perubahan radikal parti itu termasuk memecat dua pemimpin kanan dianggap tidak boleh disentuh sebahagian daripada perang beliau terhadap rasuah.
Pengumuman itu didedahkan agensi berita Xinhua, tidak banyak butiran. Katanya, cadangan itu dikemukakan Jawatankuasa Pusat parti, badan pemerintah elit terbesar. Cadangan itu juga meliputi jawatan Naib Presiden.
Jinping, 64, ketika ini perlu meletak jawatan mengikut syarat perlembagaan China selepas dua penggal lima tahun.
Beliau kini menghampiri tempoh akhir penggal pertamanya dan akan dipilih semula untuk penggal kedua dalam persidangan tahunan Parlimen China 5 Mac depan.
Tiada had penggal bagi jawatan ketua parti dan tentera, namun kebiasaannya jawatan itu dipegang selama 10 tahun.
Beliau memulakan penggal kedua sebagai ketua parti dan tentera pada Oktober lalu, ketika Kongres parti dianjurkan sekali setiap lima tahun.
Ahli sejarah dan pengulas politik, Zhang Lifan berkata, berita itu sudah dijangka dan sukar untuk meramalkan berapa lama Jinping akan kekal berkuasa.
"Secara teorinya beliau boleh berkhidmat lebih lama berbanding Mugabe, namun tiada siapa tahu apa sebenarnya yang akan berlaku," kata Lifan merujuk bekas Presiden Afrika Selatan yang dipaksa meletak jawatan susulan desakan tentera dan bekas sekutunya.
Bagaimanapun, komen positif dapat dilihat dalam laman media utama kerajaan seperti People's Daily, namun tidak semua menyambut baik berita itu di laman seakan Twitter di China, Weibo.
"Jika dua penggal tidak cukup mereka boleh tambah satu penggal, namun had tetap perlu ada. Tindakan memansuhkannya tidak baik!" kata salah seorang pengguna Weibo. - Reuters
Post a Comment