Ghouta, Syria; sukarelawan Muslim Care mula sampaikan bantuan makanan
REJIM tentera Presiden Bashar al-Assad yang dibantu Russia bertindak di luar batasan kemanusiaan dengan mengebom dan membedil hospital di wilayah Syria dalam usaha melumpuhkan kumpulan penentang di timur Ghouta.
Dalam keganasan terbaru, empat fasiliti kesihatan iaitu Hospital Baldah Mudira, Hospital Jisrin Al Midani, Hospital Al Yaman Al Tibbi di Duma dan Hospital Hilal Ahmar di Harasta musnah dalam serangan udara.
Pengarah Pendidikan dan Misi Kemanusiaan Syria Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Ustaz Nazmi Abdul Karim berkata, tindakan mengebom hospital itu secara terang-terangan adalah satu bentuk jenayah perang.
“Umum mengetahui hospital adalah tempat orang sakit mendapatkan rawatan, bukan gudang penyimpanan senjata atau markas penentang.
“Ketika serangan berlaku mangsa yang mendapatkan rawatan terpaksa dipindahkan ke ‘hospital’ sementara iaitu ruang di dalam terowong bawah tanah.
“Konflik berkenaan sewajarnya dihentikan segera dengan sokongan dunia termasuk Malaysia kerana melampaui batas sifat kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, serangan udara menggunakan jet pejuang yang menggugurkan bom dan roket bagi membedil jelas bertujuan memusnahkan hospital berkenaan.
Maklumat terkini, katanya, masih tinggal enam hospital yang belum dimusnahkan sepenuhnya di wilayah itu.
Beliau berkata, wakil Muslim Care semalam, sudah menghantar bantuan kecemasan termasuk makanan iaitu 2,500 bungkusan roti untuk 200 keluarga membabitkan kos AS$10,000 (RM42,000).
“Alhamdulillah, Muslim Care mempunyai wakil yang cekap dan amanah menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terselamat dalam serangan udara berkenaan.
“Mereka berada di zon perang untuk memastikan bantuan kecemasan segera disampaikan khususnya makanan bagi mengelakkan mangsa kebuluran,” katanya.
Menurutnya, agihan bantuan dilakukan menggunakan sistem kupon khas bagi memastikan penduduk yang menjadi mangsa konflik berdarah itu mendapat bahagian masing-masing.
Orang ramai boleh menyumbang menerusi Kutipan Dana Kecemasan ke Ghouta, Syria, Muslim Care menggunakan akaun Maybank (564490413882), Bank Islam Malaysia Berhad (1401401014740) atau Bank Muamalat (14010007654717). Mohon maklumkan derma/ infak kepada Ustaz Nazmi Karim di talian +6019 272 6567
Dianggarkan 400,000 tinggal dalam wilayah terkepung di Damsyik sejak 2013 dan mereka berdepan masalah kekurangan makanan serta ubatan.
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Post a Comment