Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Lazimi Istighfar dan taubat



Mulakan hari dengan al-Quran
21 Jamadilawal 1439H

Oleh: Ustaz Imran

Firman Allah SWT:

َأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu bertaubat (rujuk kembali taat) kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu," [Surah Hud: 3]

Istighfar ialah memohon keampunan Allah, manakala taubat ialah kembali mentaaiNya. Dalam ayat ini Allah SWT menjanjikan nikmat dan kehidupan yang baik bagi orang-orang yang melazimi istighfar dan taubat.

Ini dinyatakan dalam satu hadis riwayat Ibn Abbas RA katanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الاِسْتِغْفَارَ جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ

Maksudnya: "Sesiapa yang sentiasa beristighfar, nescaya Allah menjadikan untuknya jalan keluar daripada setiap kesempitan dan menjadikan kelapangan daripada setiap kesusahan, dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangkakan.” [Sunan Abi Daud]

Para ulama tidak mensyaratkan istighfar dan taubat dilakukan hanya ketika melakukan dosa, ini kerana Rasulullah SAW melazimi kedua-duanya setiap hari melebihi 70 kali.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya; Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: "Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar (memohon keampunan) kepada Allah dan aku bertaubat kepadaNya dalam sehari lebih daripada 70 kali." [Sahih Al-Bukhari]

Dalam riwayat yang lain, sabda Rasulullah SAW:

يَا أَيَّهَا النَّاس ، تُوبُوا إِلَى اللهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ ، فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةً

Maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah dan mohonlah keampunanNya. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dalam sehari sebanyak 100 kali." [Sahih Muslim]

Pengajaran: Istighfar dan taubat memerlukan tindakan daripada orang yang melakukannya. Iaitu mengucapkan istighfar dengan lidah dan bertindak menjauhi kemungkaran dan kembali melakukan perkara-perkara ibadat dan ketaatan kepada Allah SWT. Tidak mencukupi sekadar melafazkan istighfar dan taubat di mulut sahaja.

#tadabbur_alquran