Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PH makin gelabah



‘AJAIB’. Dewasa ini pelbagai gelagat dan ‘silap mata’ untuk meraih sokongan po­litik dilakukan o­leh Pakatan Harapan di bawah pimpinan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Meskipun berdepan dengan perbalahan dalam konteks inter dan intra parti namun semuanya dilindungi demi memperlihatkan kepada rakyat bahawa Pakatan Harapan solid sebagai pengganti Barisan Nasional (BN). Namun ‘bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru’ atau pun de­ngan sehelai daun pisang.


Bagi Dr. Mahathir, banyak pi­hak berkata, beliaulah yang menghumban Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara. Tetapi sekarang kaum keluarga Anwar begitu rapat dengannya. Malah yang le­bih pelik bagaimana Dr. Mahathir sanggup menerima Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, wanita dengan ‘kipas ajaib’nya menjadi calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Dalam logik akal dan menelusuri cara berfikir serta bertindak Dr. Mahathir, agak mustahil beliau bersetuju wanita berkipas ini menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dalam kata mudah, kita dapat merungkai bahawa memang ada percaturan di sebalik semua ini.

Percaturan yang lebih menjadi tanda tanya adakah Dr. Mahathir bersetuju untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas Pakatan Harapan berkuasa nanti? Tatkala itu, boleh­kah Perdana Menteri adalah si suami dan Timbalan Perdana Menteri pula sang isteri, manakala anak pula Menteri Kanan. Tidak­kah pelik begitu. Maka negara bukan berada dalam situasi jure de facto lagi, malah dah jadi double de facto - sebuah kerajaan dikuasai oleh anak beranak dan suku sakat.

Kita boleh lihat hubungan antara Dr. Mahathir dan Anwar tak pernah baik sepanjang hayat politik mereka. Sekarang pun kita percaya mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.

Dr. Mahathir beria-ia hendak berjumpa dengan Anwar di hospital. Beliau mungkin bimbang dengan perjumpaan dan lawatan terhadap Anwar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum itu. Di benaknya mungkin Perdana Menteri dan Anwar merancang sesuatu. Jadi mereka saling berprasangka antara satu sama lain.

Pakatan pembangkang me­nggelabah kerana mereka tidak ada de facto yang boleh menggerakkan momentum pakatan me­reka. Sebelum ini ke arah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mereka mempunyai Anwar yang menggerakkan jentera berkempen dengan rally perhimpunan rakyat di seluruh negara.

Sekarang, tiada sebarang perhimpunan besar yang boleh di­banggakan ke arah PRU. Majlis-majlis ceramah Dr. Mahathir dan pemimpin heavyweight Pakatan Harapan pun kehadiran sekitar 500 hingga 800 orang sahaja.

Kita menilai bahawa parti-parti dalam Pakatan Harapan mengharapkan Dr. Mahathir bagi mendapatkan dana untuk mengharungi PRU akan datang. Mereka mungkin beranggapan Dr. Mahathir akan dibiayai oleh kong­lomerat yang kaya-raya untuk menghadapi PRU ini. Jadi mereka boleh menumpang untuk sama berjuang.

PAN, dari mana sumber kewangan yang hendak dikorek? PKR, situasi kedudukan Anwar membantutkan sumbangan yang diharapkan. DAP pula melalui projek terowong da­sar lautnya, harapan untuk meraih komisen, adakah tergendala? Tambah lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula telah kacau. Oleh yang demikian Dr. Mahathirlah tempat untuk mereka bergantung walaupun tidak suka.

Persempadanan semula bahagian pilihan raya yang bakal diwartakan untuk PRU akan datang menimbulkan kebimbangan yang amat sangat kepada Pakatan Harapan. Melalui persempadanan ini, peluang untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah kritikal sama sekali. Tambahan pula 52 kerusi yang diberi kepada PPBM ini adalah tempat UMNO yang telah lama bertapak dan ada yang merupakan kubu kuat UMNO.

PPBM menggelabah bila mendapati daripada 52 kerusi ber­kenaan, kira-kira 10 kerusi sahaja yang UMNO menang dengan situasi kurang selesa. Selebihnya UMNO menang bergaya, malah ada Parlimen dimenangi dengan lebih 5,000 undi. Keadaan ini amat menggusarkan pemimpin utama PPBM bahawa mereka akan kalah teruk. Selepas PRU nanti penyokong dan parti itu akan lesap dan keadaan ini menambahkan lagi tindak-tanduk gelabah mereka.

Pada masa sama, kedatangan Perdana Menteri ke negeri Cik Siti Wan Kembang mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kehadiran ini menggambarkan wujud tali silaturahim antara Perdana Menteri dan Menteri Besar Kelantan. Perkembangan ini amat tidak disukai Pakatan Harapan.

Jika Pas dan UMNO ada coalation untuk menghadapi PRU nanti dan disambut positif oleh semua penyokong kedua-dua parti, maka Pakatan Harapan ‘akan ting­gal kipas’ sahaja. Rakyat akan melihat dua parti Melayu bergabung demi menjaga martabat dan maruah bangsa serta agama. Oleh sebab itulah para pemimpin Pakatan Harapan tidak putus-putus mencerca Pas.

Mereka cuba mengelak per­tandingan tiga penjuru. Jika ini terjadi, maka peluang untuk Pakatan Harapan menang adalah amat tipis sekali terutama di kawasan majoriti Melayu. PPBM contohnya, harapan mereka adalah kepada pengundi yang pernah menyokong UMNO sebelum ini. Pengundi Pas akan tetap bersama Pas.

Jumlah pengundi yang masih menyokong UMNO masih dominan di kawasan majoriti Me­layu khususnya di kawasan luar bandar. Jadi peluang untuk PPBM kalah adalah besar.

Pembangkang membuat tafsiran bahawa banyak isu yang tidak menyebelahi BN sekarang. BN pada tanggapan mereka berada dalam posisi kurang mantap. Situasi ini yang sedang mereka tangisi. Ini kerana Pakatan Harapan sekarang juga berada dalam kedudukan yang sangat lemah untuk bersaing dan merebut peluang. Rakyat melihat mereka seperti sehelai kain yang compang-camping dan berlubang di sana sini.

Cuma yang tinggal bakal calon sahaja. Jika BN meletakkan calon yang sesuai dan disukai rakyat, maka Pakatan Harapan akan tinggal harapan. Bolehlah mereka berterusan mendengar lagu Ahmad Jais, Harapan Kecewa. ‘Harapan ku kecewa dalam manis, merdu kata-kata...’

Oleh yang demikian tak u­sah­lah kita menggelabah lagi. Marilah sama-sama kita meneruskan usaha untuk membina negara ini di bawah naungan BN. Jangan percaya dengan politik cacamarba. Makanan pun tidak sedap jika disediakan ketika menggelabah dan cacamarba.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HA­LIM ialah penganalisis isu-isu semasa.





























































________________ 

Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.