Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PRU14: Masa Untuk Beramal, Bukan Meramal



Oleh: Syahir Sulaiman

Tempoh penantian ‘countdown’ 100 hari menjelang PRU14 kian berakhir.

Semua pihak semakin rancak mengatur strategi untuk menawan hati pengundi, samada di kalangan pengundi teras mahupun pengundi atas pagar, yang telah mencecah 14.8 juta pada suku ketiga 2017.

Hasil dapatan beberapa kajian lapangan memberikan isyarat berbeza terhadap potensi PAS, BN, dan PH dalam persaingan pilihanraya umum kali ini. Antara faktor yang akan mencorak keputusan PRU14 adalah persempadanan semula yang mewujudkan lebih banyak kerusi majoriti Melayu, peningkatan pengundi baru melebihi 2.1 juta, dan senario pertandingan tiga penjuru.

Walau apapun ramalan dan kajian yang dibuat, ianya adalah bersifat unjuran yang disandarkan kepada beberapa andaian (assumptions) dan sampel kajian yang terhad, di samping bergantung kepada motif dan ketelusan pihak yang menjalankan kajian tersebut.

Malah dalam banyak keadaan, hasil tinjauan sokongan yang dijalankan sebelum pilihanraya sering kali tersasar daripada keputusan rasmi pada hari pengundian, sebagaimana yang disaksikan ketika keputusan mengejut referendum Brexit dan pilihanraya Presiden Amerika Syarikat.

Namun dalam keadaan lebih 51% pengundi muda masih belum membuat keputusan untuk menyokong BN ataupun pembangkang dalam pilihanraya yang akan datang, semua kemungkinan boleh terjadi.

Justeru fokus utama yang perlu diberi oleh Pemuda PAS adalah untuk memaksimakan sokongan pengundi atas pagar berusia 21 hingga 35 tahun melalui pendekatan menarik sokongan (to attract the support) dan mengekalkan kepercayaan pengundi (to retain the loyalty) menjelang PRU14 kelak.

Sasaran ini pastinya dapat dicapai dengan memberikan penumpuan terhadap pelaksanaan program berimpak tinggi, bagi melonjakkan sokongan golongan muda terhadap PAS dan Gagasan Sejahtera dalam tempoh kritikal ini, dengan apa yang boleh disimpulkan dengan *SMART*, iaitu:

1. SALAM - Menyebarkan salam dan merancakkan program sentuh pengundi di lokasi tumpuan (hotspot) melalui aktiviti yang diminati anak muda, khususnya dalam aktiviti sukan dan rekreasi, sembang teh tarik dan jamuan BBQ, serta ziarah kebajikan.

Di samping sentuhan berbentuk fizikal, elemen emosi juga wajar diberi perhatian, antaranya melalui SMS ucapan hari lahir, hari raya dan seumpamanya.

2. MAKLUM – Menyalurkan maklumat kepada pengundi muda secara terus dan pantas, dengan kaedah yang lebih interaktif seperti FB Live, klip video dan infografik, yang disebar melalui media sosial yang menjadi rujukan utama golongan muda masa kini.

Elemen interaksi dengan pengunjung wajar dimasukkan dalam program ceramah melalui ruang soal jawab dan dialog yang lebih terbuka, bagi menangkis sebarang fitnah dan meyakinkan pengundi terhadap perjuangan PAS.

3. AGENDA – Menyebarluaskan tawaran PAS ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih sejahtera, melalui pemahaman rakyat terhadap empat dokumen penting yang dikemukakan PAS, iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Dokumen Hijau, Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan Manifesto PRU14.

Ianya disusun dengan penuh teliti oleh para intelek dan teknokrat di dalam PAS, bertujuan untuk memenangi hati rakyat dengan mesej PAS membawa kebaikan dan kebajikan, seterusnya meyakinkan rakyat dengan mesej PAS mampu memerintah negara dalam PRU14 akan datang.

4. RIBAT – Melaksanakan setiap arahan kepimpinan dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap segala tugasan di peringkat JPRU, JPRD, dan JPRK, yang pastinya menuntut kepada pengorbanan masa dan tenaga tanpa mengira siang dan malam.

Ukhuwwah yang terjalin perlu dieratkan dengan merapatkan saf perjuangan, dan sentiasalah bertemu dalam sesi usrah dan ziarah sesama kita.

5. TAWAKKAL – Memperkukuhkan kebergantungan kepada Allah SWT dan meyakini bahawa kemenangan hanya datang dengan pertolongan Allah.

Kesibukan menghadapi pilihanraya perlu disandarkan dengan memperbanyakkan amal ibadah dan berdoa, khususnya dengan solat berjemaah, membaca Al-Quran, bacaan mathurat, berpuasa sunat, qiyamullail, dan bermunajat ke hadrat Allah.

Justeru dalam tempoh kritikal ini, janganlah sibuk meramal, tetapi rebutlah peluang untuk beramal. Janganlah ditangguhkan kerja, dan bekerjalah dengan SMART.

#MalaysiaSejahtera
#UP

Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
9 Februari 2018