Selangor: PPBM bertegas tanding 12 kerusi DUN UMNO menang
Pakatan Harapan (PH) Selangor terpaksa mengadakan rundingan semula melibatkan pengagihan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang telah dipersetujui dalam mesyuarat khas minggu lepas.
Menurut sumber rundingan semula tersebut diadakan tengah hari semalam di pejabat PKR Shah Alam.
Sebelum ini, Setiausaha PH negeri, Zuraida Kamarudin berkata, mesyuarat khas yang dijalankan pada Rabu dan Khamis minggu lepas telah berjaya menyelesaikan pengagihan 36 daripada 56 kerusi DUN di negeri ini.
Namun, keputusan tersebut dibantah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sebagai tamak dalam agihan kerusi DUN Selangor.
Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin ketika dihubungi Watan Online hari ini, mengesahkan rundingan semula melibatkan 36 kerusi DUN tersebut, namun enggan mengulas lanjut butiran hasil pertemuan terlibat.
Sebelum ini, PPBM Selangor kecewa kerana agihan kerusi DUN untuk parti itu masih belum dimuktamadkan, sedangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) semakin hampir.
PPBM Selangor turut mendakwa Amiruddin mendakwa kegagalan PH memuktamadkan agihan kerusi DUN Selangor tersebut berpunca daripada sikap tamak PKR dan DAP yang ingin bertanding banyak kerusi.
Katanya, PPBM bertegas dengan pendirian untuk bertanding disemua 12 kerusi DUN yang ketika ini disandang Barisan Nasional (BN).
Pada PRU-13, BN menang 12 kerusi iaitu DUN Sungai Burong, Jeram, Kuang, Semenyih, Permatang, Bukit Malawati, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Kota Damansara dan Dengkil.
Sebelum ini, PKR dikatakan mendominasi parti-parti lain dalam gagasan pakatan DAP, PAN dan DAP di Selangor dalam pembahagian kerusi DUN bagi menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.
PKR dikatakan akan bertanding di 19 daripada 56 kerusi DUN Selangor. Selain 14 kerusi DUN yang disandang PKR ketika ini, parti tersebut juga mahu tambahan kerusi Kuang, Sijangkang, Jeram, Permatang dan Hulu Bernam.
Manakala DAP yang menyandang 15 kerusi DUN pula meminta tambahan tiga kerusi yang menjadikan 18 kerusi keseluruhan.
Menurut sumber, pembahagian kerusi tersebut diminta PKR dan DAP dalam mesyuarat khas PH Selangor.
Sumber: Watan Online
Post a Comment