Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Tiga tetamu misteri



Seorang isteri tinggal di rumahnya bersendirian. Suami dan anaknya pergi bekerja di kebun berdekatan.

Sedang dia sibuk menyediakan makanan tengah hari, datang tiga orang tetamu yang begitu tua memberi salam di hadapan rumahnya.

Setelah menjawab salam, dia berkata, "Saya tidak dapat menjemput tuan-tuan datang ke rumah, kerana suami saya tiada. Sudikah tuan-tuan duduk di halaman sementara menunggu suami saya pulang?"

Salah seorang daripada mereka berkata, "Tidak mengapa, biar kami menunggu di luar."

Sejurus si suami pulang, mereka bersalaman dan para tetamu itu memperkenalkan diri.

"Saya kekayaan," kata lelaki pertama.

"Saya kejayaan," kata yang kedua.

"Dan saya kasih sayang," ujar lelaki tua yang terakhir.

Si lelaki menjemput para tetamunya masuk. Namun, yang paling tua antara mereka berkata, "Hanya seorang sahaja daripada kami yang boleh masuk."

"Jadi kami terpaksa memilih antara kamu bertiga?"

"Ya," jawab mereka.

"Tunggu kami berunding dahulu," pinta tuan rumah.

"Kita pilih kekayaan," cadang si isteri. "Semoga rumah kita akan dilimpahi kekayaan. Dengan kekayaan kita boleh mendapat apa sahaja yang kita dambakan selama ini."

"Tidak," kata si ayah. "Apa kata kita pilih kejayaan. Apabila kita berjaya pasti kita akan dapat harta. Bukan itu sahaja, malah banyak lagi."

"Ayah, ibu. Saya cadangkan kita pilih kasih sayang," kata si anak.

"Biarlah kita hidup hari ini. Hidup sederhana tetapi ianya penuh dengan kasih sayang. Saya gembira dan rasa amat bahagia bila ayah dan ibu saling berkasih sayang dan menyayangi saya..."

Kedua-dua suami isteri itu tersentak dengan pandangan si anak yang begitu murni.

"Baiklah, kita jemput kasih sayang masuk ke dalam rumah kita," kata si ayah.

"Tuan-tuan yang dihormati, kami mengambil keputusan untuk menjemput pak cik kasih sayang sebagai tetamu. Kami mohon maaf kerana menolak tuan kejayaan dan kekayaan, kerana itu jualah yang tuan-tuan minta."

Maka tetamu kasih sayang masuk ke dalam rumah mereka, namun diiringi oleh kedua-dua orang tua yang lain. Tuan rumah terkejut melihat ketiga-tiga masuk ke rumah.

"Eh, maafkan saya! Mengapa tuan-tuan semua masuk. Bukankah tadi kami hanya memilih kasih sayang?"

"Anakku, jika kau menjemput kasih sayang bererti kau juga menjemput kejayaan dan kekayaan. Sudah menjadi prinsip kami, kami akan pastikan ke mana sahaja kasih sayang pergi, kami akan mendampinginya."

Mendengar yang demikian, lelaki, isteri dan anaknya tersenyum gembira. Alhamdulillah!

Pengajaran :
Keluarga yang berkasih sayang mempunyai segala kebaikan. Dengan kasih sayang, kejayaan dan kekayaan akan menyusul. Jika bukan kekayaan harta, mereka akan meraih kekayaan jiwa atau lebih daripada itu, mereka akan memperoleh kedua-duanya sekali iaitu kaya harta, kaya jiwa!