Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Hentikan skandal 1MDB dengan maruah dan integriti tinggi

oleh: DR RIDUAN MOHD NOR

Gambar oleh: AFP


1. Isu rampasan kapal mewah The Equanimity di Bali, Jakarta oleh pihak Jabatan Keadilan (DOJ) dan Polis Indonesia adalah fasa terkini berhubung skandal 1MDB. Ia seakan kisah yang tidak berkesudahan, dengan hampir setiap bulan ada sahaja cerita sensasi berhubungn tankapan, pendedahan, atau pembongkaran yan dilakukan oleh negara lain. Pastinya kejadian terbaharu ini amat memeranjatkan dan memalukan seluruh rakyat Malaysia. Kapal yang didakwa milik Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low itu dianggarkan bernilai AS$250 juta itu dibina dan diselenggarakan dengan menggunakan dana yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

2. Isu kapal The Equanimity menyebabkan seluruh dunia membincangkannya dan 1MDB serta Malaysia kembali menjadi tajuk berita penting dalam beberapa minggu ini. Nampaknya pihak DOJ tidak berputus asa dengan pelbagai ikhtiar di luar kotak melalui kerjasama negara-negara lain bagi membanteras korupsi ini. Terdahulu sebelum itu, Kerajaan Switzerland dilaporkan menuntut CHF95 juta (RM400 juta) wang dana berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank. Menteri Kewangan Switzerland, Ueli Maurer menyatakan bahawa dana berkenaan telah pun disalurkan ke perbendaharaan persekutuan memandangkan tidak ada pihak yang menuntutnya.

3. Kita melihat dalam mengurus skandal 1MDB, negara-negara lain begitu serius dan agresif mengambil tindakan. Ini termasuk Singapura yang memenjarakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam penyelewengan kes 1MDB. Tindakan terbaharu oleh kerajaan Republik Indonesia lebih memeningkan kepala dan menambah koleksi beberapa buah negara yang bertindak tegas terhadap skandal terburuk dan terbesar di dunia itu.

4. Hairannya, negara asal terjadinya skandal besar itu, iaitu Malaysia sendiri tidak berbuat apa-apa. Malah, kenyataan beberapa pimpinan UMNO menyalahkan pihak pembangkang kerana membesarkan atau mempolitikkan isu ini, manakala pihak luar juga dipersalahkan kerana ‘seolah-olah’ mengheret isu ini dengan mengaitkan nama Perdana Menteri sendiri dan rakan sekutunya – Jho Low. Bagi agensi penguatkuasa yang terlibat pula, apa yang dilakukan oleh kerajaan negara lain tidak menjejaskan sedikitpun atau memberi impak untuk melakukan tindakan serupa terhadap mereka yang terlibat. Seakan-akan, semua rentetan kejadian yang berlaku tidak ada kena mengena dengan Malaysia kerajaan tidak perlu lakukan apa-apa.

5. Apa lagi bukti dan fakta yang diperlukan bagi melengkapkan pendakwaan skandal memalukan ini. Apakah kita memerlukan banyak lagi rampasan mahupun tangkapan oleh negara luar bagi membuktikan bahawa penyelewengan ini benar-benar berlaku dan kesalahan benar-benar dilakukan oleh individu terlibat? Sampai bila sindrom penafian dan pembohongan terus dilakukan selain menyembunyikan kebenaran yang berlaku. 

6. Malaysia perlu merasa malu dengan tindakan tegas polis Indonesia terhadap kapal tersebut. Walaupun Indonesia mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia yang dianggap serumpun dan satu bangsa, namun dalam soal keadilan mereka mengenepikan segala sentimen dan hubungan akrab itu. Selain itu, kita juga perlu melihat jauh ke depan mengapa negara-negara lain begitu tinggi dalam soal Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berbanding dengan kita. Tidak lain kerana mereka begitu tegas dalam menegakkan kebenaran tidak kira siapa pelakunya. Maka, tidak memeranjatkan apabila Indeks Persepsi Rasuah negara jatuh merudum.

7. Kita mengharapkan drama skandal penyelewengan 1MDB akan menuju ke pengakhirannya. Sebagai rakyat Malaysia, tidak sanggup rasanya melihat beberapa siri tangkapan, rampasan, serbuan mahupun pendedahan yang mengaibkan oleh negara lain berhubung 1MDB. Yang didedahkan atau dikaitkan bukan sahaja nama pelaku salah terbabit tetapi nama negara Malaysia turut dibaca dan diingati sebagai sebuah negara memiliki korupsi terbesar paling memalukan di dunia ketika ini. Biarlah pesalah itu diheret dan didakwa di mahkamah, walaupun dia seorang pemimpin besar negara, daripada nama negara dan rakyat sering menjadi bahan ketawa masyarakat dunia.



DR RIDUAN MOHD NOR adalah Ahli jawatankuasa PAS Pusat



________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.