Pengerusi Perhubungan DAP Tapah keluar parti
KAMPAR: Seramai 38 ahli DAP Kampar dan Tapah bertindak keluar parti hari ini kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti dan tidak setuju dengan kerjasama DAP dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Antara yang mengambil tindakan keluar parti itu adalah Pengerusi Perhubungan DAP Tapah, Leong Soon Fatt yang mendakwa mereka sukar menerima kerjasama dengan Dr Mahathir.
Soon Fatt berkata, pihaknya tidak boleh menerima kerjasama itu apatah lagi untuk dipimpin bekas Perdana Menteri berkenaan yang dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
Katanya, tindakan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini kerana kecewa dengan kepimpinan parti yang sudah menyimpang daripada matlamat asal sejak dia menyertai DAP 10 tahun lalu.
"Selama 10 tahun saya mengabdikan diri kepada DAP, namun hari ini selepas pertimbangan wajar, serius dan penuh kesal, saya hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada dalam menangani isu dalaman serta luaran parti.
"Kami juga tidak boleh menerima pendirian diambil dalam penjajaran politik baharu yang dilakukan DAP kebelakangan ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini selepas pembukaan pejabat Parti Cinta Malaysia (PCM) Bahagian Kampar.
Katanya, beliau tidak boleh menerima apabila DAP yang selama ini melihat Dr Mahathir sebagai musuh, namun kini memilih untuk bekerjasama.
Ditanya adakah beliau akan menyertai PCM selepas keluar DAP, katanya, ia masih memikirkan perkara itu dan akan mempertimbangkannya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan berkata, jika bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh masih hidup beliau mungkin tidak menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir seperti pemimpin DAP lakukan ketika ini.
"Saya rasa jika Karpal Singh masih ada, beliau pasti menjadi antara individu yang tak bersetuju dengan kemasukan Dr Mahathir dalam barisan pembangkang kerana beliau orang yang berprinsip," katanya.--BHarian
________________
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
Post a Comment