Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

PRU-14: 46 kerusi panas bakal jadi tumpuan


Oleh Nazura Ngah
nazura_ngah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Empat puluh enam kerusi Parlimen, termasuk 29 kerusi yang disandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bakal menyaksikan pertembungan sengit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kerusi panas yang dimenangi dengan majoriti tipis kurang 3,000 undi itu dijangka meningkatkan risiko untuk penyandang mengekalkan kerusi, sekali gus menuntut perhatian serius daripada pucuk kepemimpinan parti.

Sembilan daripada 29 kerusi milik BN itu disandang anggota Kabinet termasuk tiga Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai) dan Tan Sri Joseph Kurup (Pensiangan) dengan masing-masing hanya memperoleh majoriti 1,371, 1,196 dan 1,744 undi.

Anggota Kabinet lain membabitkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kiong (Teluk Intan - kerusi dimenangi pada pilihan raya kecil (PRK)); Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (Bentong); Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera); Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa); Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (Segamat) serta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Kota Marudu).

Berdepan saingan sengit

Tiong Lai yang juga Presiden MCA dan Siew Kiong, Presiden GERAKAN antara pemimpin parti komponen BN yang dijangka berdepan saingan sengit jika kekal di kerusi berkenaan berikutan masing-masing hanya menang dengan majoriti 379 dan 238 undi.

Maximus yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) pula hanya berpuas hati dengan majoriti tipis 842 undi dalam saingan empat penjuru bagi membolehkannya menyandang kerusi berkenaan untuk penggal ketiga.

Baru-baru ini Maximus membayangkan untuk melepaskan kerusi itu bagi membuka laluan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada PRU akan datang.

Kerusi panas turut disandang tujuh timbalan menteri iaitu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (Balik Pulau); Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong (Labis); Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri (Ledang); Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar); Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Anak Gumbek (Mas Gading).

Kerusi lain yang dimenangi calon BN dengan majoriti tipis kurang 3,000 undi ialah Pendang, Sik, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bagan Serai, Cameron Highlands, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Setiawangsa, Tebrau, Pasir Gudang, Saratok dan Baram.

Di pihak pembangkang, lima kerusi panas disandang wakil rakyat PAS termasuk Naib Presidennya, Idris Ahmad yang baru sepenggal di Parlimen Bukit Gantang selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ismail Saffian dengan majoriti 986 undi.


Saingan sengit turut dijangka membabitkan kerusi Kuala Nerus yang disandang Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat merangkap Ahli Majlis Syura Ulama, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 610 undi, menewaskan calon BN, Datuk Mohamed Nasir Ibrahim Fikri yang menangi kerusi itu pada 2008.





Risiko hilang kerusi

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan yang diuar-uarkan bakal berpindah kerusi lebih 'selamat' di Kelantan turut berdepan risiko apabila kerusi Parlimen Temerloh dirampas daripada calon BN, Datuk Saifuddin Abdullah dengan hanya majoriti 1,070 undi. Saifuddin kini Ketua Setiausaha Pakatan Harapan.

Turut berisiko ialah dua kerusi PAN yang dimenangi atas tiket PAS pada PRU-13 iaitu Kuala Krai dan Sepang, manakala PKR (Sungai Siput, Lembah Pantai, Teluk Kemang, Batu Pahat dan Miri) dan DAP (Raub, Sandakan, Sarikei dan Sibu).

Kerusi Lembah Pantai yang dimenangi Naib Presiden PKR merangkap Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar sejak 2008 juga tidak terkecuali daripada risiko apabila kawasan itu dimenangi dengan hanya majoriti 1,847 undi pada PRU lalu.

Majoriti undi yang diperoleh dengan menewaskan calon BN, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin itu menurun berbanding PRU-12 apabila beliau menewaskan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, penyandang kerusi selama tiga penggal dengan majoriti 2,895 undi, juga dalam saingan tiga penjuru.

Media sebelum ini melaporkan Nurul Izzah akan berpindah ke kerusi lebih selamat di Permatang Pauh kerana mendakwa berlakunya manipulasi demografi pengundi yang agresif di kerusi itu.

Kelmarin (Sabtu), Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mengesahkan parti itu bakal mempertaruhkan seorang arkitek landskap, Fauzi Abu Bakar di kerusi yang tidak pernah ditandingi mereka sejak kawasan itu diubah nama daripada Parlimen Damansara.