Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Industri Insurans Dan Takaful Malaysia Kekal Kukuh


KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Industri insurans Malaysia mengekalkan permodalan insurans hayat yang kukuh dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016 dengan nisbah kecukupan modal (CAR) pada 234.9 peratus, menurut Laporan Ekonomi 2016/2017.



CAR mengukur kecukupan modal sedia ada dalam insurans dan dana pemegang saham syarikat insurans untuk menyokong jumlah modal yang diperlukan.

Menurut laporan itu, premium perniagaan baharu bagi sektor insurans hayat terus berkembang 5.9 peratus kepada RM5.5 bilion dalam tempoh Januari hingga Julai 2016 berbanding dua peratus kepada RM5.2 bilion pada tempoh sama tahun lepas.

"Peningkatan ini sebahagian besarnya disokong oleh pertumbuhan polisi hayat tanpa sertaan dan anuiti," menurut laporan itu yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini sempena pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat.

Bagamanapun, laporan itu menyatakan bagi tempoh yang sama, premium perniagaan baharu bagi polisi berkaitan pelaburan merosot 5.1 peratus berikutan peningkatan ketidaktentuan pasaran kewangan domestik sejak 2015.

"Pada masa yang sama, kadar penembusan pasaran insurans hayat berada pada 40.1 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2016 berbanding 40.8 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Bagi sektor insurans am, laporan tersebut berkata premium langsung kasar meningkat hanya sebanyak 0.8 peratus kepada RM10.7 bilion dalam tempoh Januari hingga Julai 2016, disebabkan perniagaan baharu dalam segmen kebakaran yang lebih tinggi.

"Bagaimanapun, pertumbuhan dalam premium langsung kasar bagi segmen motor hampir tidak berubah pada 0.3 peratus dari tahun ke tahun, mencerminkan jualan yang lebih rendah bagi kenderaan penumpang dan komersial," katanya.

Laporan tersebut berkata industri takaful kekal kukuh dalam tempoh yang sama dengan dana aset takaful berkembang teguh 6.4 peratus dari tahun ke tahun kepada RM26.3 bilion.

"Pertumbuhan ini disokong oleh pegangan yang tinggi dalam sukuk korporat bernilai RM14.5 bilion, menyumbangkan 55.1 peratus kepada jumlah dana aset takaful," katanya.

Ia berkata dari Januari hingga Julai 2016, perniagaan baharu takaful keluarga mencatat sumbangan kasar yang lebih tinggi pada 7.4 peratus bernilai RM2.3 bilion, meningkat daripada RM2.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Dalam tempoh yang sama, perniagaan takaful am terus berkembang dengan caruman langsung kasar sebanyak RM1.42 bilion, meningkat daripada RM1.39 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya. -- BERNAMA