Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

MARGMA Harap Elaun Pelaburan Semula Lebih Besar Dalam Bajet 2017


KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berharap kerajaan akan meneruskan sokongannya terhadap industri sarung tangan getah dengan melanjutkan dan mengembangkan elaun pelaburan semula bagi penggiat industri dalam Bajet 2017.



Presidennya Denis Low Jau Foo berkata pengenalan semula Elaun Pelaburan Semula Khas tahun ini sangat bertepatan dan membantu, kerana kebanyakan penggiat industri sedang bergerak pantas menuju ke generasi ketiga automasi dan robotik supaya kekal kompetitif dari segi kos dan cekap.

MARGMA telah melobi sejak beberapa tahun lepas, meminta ganjaran cukai dan elaun pelaburan semula mewakili anggotanya dalam usaha untuk mengautomasikan dan memodenkan kilang.

"Penggiat industri besar seperti Top Glove, Supermax, Kossan, Hartalega, YTY & WRP melabur dengan banyak dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memenuhi jangkaaan kualiti dan pengeluaran global," kata Low dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata permintaan global bagi sarung tangan dijangka mencapai 212.2 bilion tahun ini dan Malaysia dijangka mengeluarkan 133.6 bilion sarung tangan bagi memenuhi permintaan dunia.

Low berkata tiga cabaran utama yang dihadapi oleh industri sarung tangan getah merangkumi sumber tenaga, tenaga manusia dan bekalan air.

Hari ini, industri tersebut memerlukan 3.7 pekerja untuk mengeluarkan 1.0 juta keping sarung tangan berbanding 9.8 pekerja pada 2009, dan menyasarkan untuk mengurangkannya kepada dua pekerja sahaja setiap sejuta keping dengan proses pemodenan dan automasi.

"Kami semakin cekap selepas membuat pelaburan membeli mesin baru dan automasi, teknologi yang dibuat di Malaysia, dan ini mengurangkan keperluan untuk mendapatkan buruh asing," kata Low.

Beliau berharap kerajaan akan mengurangkan sekatan serta memproses permohonan dan kelulusan dengan pantas bagi mendapatkan pekerja asing kerana indusri pembuatan masih memerlukan buruh asing dalam pekerjaan yang tidak disukai oleh orang tempatan.

"Industri ini menggunakan ramai rakyat Malaysia dalam bahagian pengawalseliaan, pertengahan dan pengurusan kanan. Tetapi, kami masih perlukan pekerja asing dalam bahagian pengeluaran kilang dan pekerjaan lain berkaitan perdagangan, bagi menyokong penyelia dan pengurusan," kata beliau.

Pada 2015, kira-kira 65,000 pekerja diambil bekerja dalam industri sarung tangan getah, dan seramai 42,000 orang adalah pekerja asing.

Industri sarung tangan getah Malaysia menyumbang 1.13 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Pada 2016 perolehan eksport daripada industri ini diunjur kepada RM14.3bilion.

Sebagai pembekal utama sarung tangan pemeriksaan perubatan dan pembedahan, Malaysia menyumbang sebanyak 63 peratus dalam pasaran global. -- BERNAMA