Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Henti Manipulasi Orang Asli


Kita harap NGO tidak perlu mencari publisiti murahan yang boleh menyusahkan lagi Orang Asli…sudah-sudahlah kerana apa yang penting kita kena bantu untuk selesaikan masalah ini.

KOTA BHARU: Badan bukan kerajaan (NGO) diminta tidak mencari publisiti murahan dengan memanipulasi masyarakat Orang Asli terutama perkara berkaitan kegiatan pembalakan di Gua Musang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tindakan NGO yang mengapi-apikan masyarakat itu hanya mengeruhkan lagi suasana tanpa memberi jalan penyelesaian kukuh terhadap masalah mereka.

“Kita harap NGO tidak perlu mencari publisiti murahan yang boleh menyusahkan lagi Orang Asli…sudah-sudahlah kerana apa yang penting kita kena bantu untuk selesaikan masalah ini.

“Kita tidak mahu mereka (Orang Asli) susah. NGO patut menjadi badan yang hebat dalam membantu meredakan dan menyelesaikan masalah ini dengan cara yang betul, bukan mempengaruhi atau menghasut mereka untuk kekal membuat sekatan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Semalam, seramai 41 Orang Asli yang membuat sekatan di Simpang Petei dan jalan masuk ke Pos Bihai ditahan polis selepas enggan berganjak dan tidak beredar dari kawasan sekatan ketika operasi dijalankan Jabatan Perhutanan Kelantan.

Operasi merobohkan sekatan laluan keluar balak itu terpaksa dilakukan selepas rundingan antara kerajaan negeri dan Orang Asli menemui jalan buntu, dipercayai disebabkan ada campur tangan daripada pihak luar.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata semua pihak mesti bersetuju dengan peraturan ditetapkan kerana hanya dengan cara itu boleh mendamaikan keadaan.

Beliau berkata segala aktiviti pembalakan di Kelantan yang dilakukan sejak 1978 mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Tidak semua orang boleh puas hati atas semua perkara tetapi kita ada peraturan dan peraturan itulah yang mesti diikuti. Sekiranya ada yang tidak setuju dan sebagainya boleh diketengahkan dengan menggunakan saluran yang betul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah yang juga setiausaha PAS Kelantan berkata pimpinan setiap peringkat disarankan mengadakan solat hajat dan mengumpul dana bagi membantu etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar.

“Pada masa yang sama kita juga memberi maklumat kepada rakyat supaya turut bersama dalam menunjukkan simpati kepada penderitaan dan kezaliman dialami etnik Rohingya,” katanya.