Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Tiada Istilah Muflis Dalam Kamus Ekonomi Negara

Tuduhan mengatakan Malaysia akan bankrap amatlah tidak berasas dan dusta semata-mata, malah Malaysia kini berada dalam rating kumpulan A - PM Najib
KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Tiada istilah muflis dalam kamus ekonomi Malaysia dan ini diperkuatkan lagi dengan penarafan kumpulan A kepada negara oleh agensi-agensi antarabangsa, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata tuduhan mengatakan Malaysia akan bankrap adalah tidak berasas dan dusta semata-mata kerana negara telah berjaya menarik pelaburan asing atas inisiatif kerajaan yang dipimpin UMNO.

"Segelintir pihak pembangkang yang sengaja buat-buat tak faham tentang kedudukan sesebuah negara yang dianggap muflis sedangkan penarafan yang dibuat tidak oleh pihak yang sebarangan contohnya bukanlah oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan atau DAP, atau PKR, atau Mat Sabu.

"Tetapi rating atau penarafan rekod kejayaan negara, telah dipersahihkan oleh badan dan serta agensi antarabangsa yang teriktiraf akan kewibawaannya di serata dunia," tegasnya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Najib berkata kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang menonggak kemakmuran ekonomi melalui dua hasil lawatan ke luar negara, termasuk ke Jerman baru-baru ini, di mana satu pelaburan bernilai Euro1 bilion (kira-kira RM5 bilion) berjaya dimeterai melalui syarikat Osram.

Selain itu, kerajaan melalui lawatan ke China, berjaya mencipta sejarah apabila memeterai perjanjian pelaburan bernilai hampir RM144 bilion yang akan memberikan pulangan lumayan kepada negara, tambahnya.

"Namun demikian, ada juga segelintir pihak yang tak suka dengan apa pun yang telah kita lakukan.

"Bila tiada pelaburan, mereka kata kita gagal. Bila kita bawa masuk pelaburan, mereka kata kita gadai negara," bidas Najib.

Menjawab tuduhan segelintir pihak bahawa kerajaan zalim, menjalankan pilihan raya tidak telus dan menindas rakyat, Najib berkata beliau sendiri telah merujuk alim ulama yang menjelaskan berdasarkan hadis, seseorang pemimpin hanya dianggap zalim apabila menyuruh rakyatnya mensyirikkan Allah dan melakukan kemaksiatan serta kebatilan.

"Adakah zalim sebuah kerajaan yang begitu prihatin terhadap kebajikan rakyat, sehingga kita mampu menyediakan Pusat Transfomasi Bandar (UTC) yag beroperasi tujuh hari seminggu, mulai 8 pagi hingga 10 malam?.

"Saya nak tanya, mana ada negara dalam dunia yang kerajaanya mampu menyediakan perkhidmatan sebegitu? Mana ada? Melainkan kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional," katanya.

Dalam ehwal pendidikan, kerajaan turut menyediakan peluang bermula dari peringkat prasekolah, rendah sampai ke menengah semuanya hampir percuma, manakala di universiti awam pula lebih kurang 90 peratus kos pengajian ditanggung oleh kerajaan dengan anggaran belanja keseluruhan lebih RM56 bilion, kata Najib.

-- BERNAMA

Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1307758