Kurangkan mainan politik, fokus kebajikan rakyat
Pemimpin politik sepatutnya mengurangkan politik berlebihan dan perlu fokus kepada pengurusan negara serta memberi keyakinan kepada rakyat untuk berdepan pelbagai cabaran yang mendatang.
Tahun baharu menjadi titik tolak kepada permulaan baharu. Ia memberi peluang untuk kita melihat dan menilai semula segala pencapaian dan kegagalan. Ia juga membuka peluang untuk mengkaji semula dasar kerajaan serta melihat idea dan kaedah baharu untuk melaksanakan sesuatu bagi membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.
Mengambil kira semua ini, saya ingin menggariskan harapan saya sempena tahun baharu yang akan menjelang tiba. Ketika kita bersama-sama menyambut Tahun Baharu 2017, saya dengan penuh harapan memohon kerajaan melihat perkara berikut:
Usaha dan komitmen ampuh oleh pemimpin politik dan setiap lapisan masyarakat untuk bersama-sama membina Malaysia yang bersatu, dengan memberi penekanan terhadap kepelbagaian, kesederhanaan dan menolak segala bentuk ekstremisme yang mampu merosakkan proses pembentukan negara Malaysia yang utuh. Rakyat Malaysia perlu berpegang kepada semangat kemerdekaan 1957 dan bersama-sama memulihkan hubungan dengan jujur serta memupuk keharmonian kaum dan agama.
Lebih banyak perlu dilakukan kerajaan, dengan kerjasama rakyat, untuk melindungi alam sekitar serta membentuk persekitaran mapan bagi generasi akan datang. Kerajaan juga perlu menangani masalah alam sekitar yang boleh menyebabkan banjir buruk dan pelbagai bencana alam. Undang-undang berkaitan perlu dilaksanakan dengan tegas terutama Akta Kualiti Alam Sekitar 1974. Percayalah, tamadun boleh musnah jika kita tidak menghormati alam sekitar;
Sasar hapus rasuah 2020
Menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan berautonomi dan bebas sepenuhnya bagi memerangi rasuah. Usaha serius dan berterusan perlu dibuat untuk menyemai nilai-nilai integriti dan beretika di sektor awam dan swasta, bagi mengatasi masalah rasuah yang ketara di segenap aspek kehidupan. Ini penting kerana SPRM telah menetapkan sasaran untuk menghapuskan rasuah sepenuhnya pada 2020.
Kerajaan juga perlu meningkatkan usaha untuk mempromosi dan membina ‘Budaya Keselamatan Total’ di mana soal keselamatan bukan semata-mata keutamaan, tetapi nilai yang perlu dipegang secara berterusan untuk menghalang kemalangan dan kehilangan nyawa, baik di tempat kerja atau di jalan raya. Undang-undang lapuk juga perlu dipinda supaya memperuntukkan hukuman setimpal untuk pesalah serta menjadi pengajaran kepada yang lain. Perlu berpegang teguh dengan prinsip kebertanggungjawaban di mana hasil siasatan untuk setiap kemalangan perlu didedahkan;
Lebih banyak inisiatif diperlukan untuk membantu rakyat Malaysia, terutama golongan pertengahan dan bawahan, untuk berdepan kenaikan kos kehidupan dan mengurangkan impak yang perlu ditanggung. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengambil untung berlebihan dan pada masa sama, meningkatkan perkhidmatan, kemudahan dan infrastruktur untuk rakyat;
Tingkat keselamatan negara
Memperkukuhkan usaha mengurangkan jenayah dan meningkatkan keselamatan negara terutama di timur Sabah, demi kemaslahatan rakyat. Walaupun kadar indeks jenayah menurun antara 4.2 dan 12.6 peratus dari tahun 2011 hingga 2015, lebih banyak langkah dan inisiatif perlu diambil bagi menangani persepsi negatif oleh masyarakat terhadap usaha polis memerangi jenayah;
Memastikan kewujudan budaya penyelenggaraan yang efisien supaya rakyat sentiasa menikmati kemudahan lebih baik. Ini termasuk penyelenggaraan sistem pengangkutan awam yang merangkumi MRT, LRT, Monorail dan perkhidmatan rel KTMB.
Pemimpin politik sepatutnya mengurangkan politik berlebihan dan perlu fokus kepada pengurusan negara serta memberi keyakinan kepada rakyat untuk berdepan pelbagai cabaran yang mendatang.
Rakyat Malaysia amat mengambil berat mengenai ekonomi negara. Oleh itu, kerajaan perlu meneruskan usaha memperkukuhkan ekonomi negara dan menyediakan peluang lebih adil kepada rakyat untuk mencapai taraf hidup lebih baik, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Tan Sri Lee Lam Thye,
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia
http://www.bharian.com.my/node/228771
Post a Comment