Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Sesi persekolahan bermula di Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan

Sesi persekolahan bagi tahun 2017 bermula hari ini di empat negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Bagaimanapun, beberapa sekolah di Terengganu, Kelantan dan Johor tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan kerana banjir.

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan bagi tahun 2017 bermula hari ini di empat negeri iaitu Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, beberapa sekolah di Terengganu, Kelantan dan Johor tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan kerana banjir dan fenomena ombak besar di Mersing, Johor.

Di Terengganu, seramai 3,392 pelajar dan 490 guru di daerah Marang, Hulu Terengganu dan Setiu terbabit dengan penangguhan sesi persekolahan manakala di Kelantan, penangguhan membabitkan 13 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.

Di Johor, empat sekolah masing-masing sebuah di pulau dalam daerah Mersing ditangguhkan membabitkan 40 murid dan 36 guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aur, Pemanggil, Tinggi dan Sibu.

Sementara itu, suasana hari pertama persekolahan di empat negeri berkenaan berjalan seperti biasa dengan tumpuan adalah kepada pelajar Tahun Satu.

Di JOHOR BAHRU: Kembar tiga menjadi antara 137 murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling 3 dekat sini, hari ini.

Syarifah Raniya Azzahra, Syed Muhammad Raiyan dan Syarifah Raiyna Azzahra, mencuri tumpuan ramai apabila menyertai murid memulakan persekolahan hari pertama tahun 2017.

Kembar berkenaan adalah anak kepada pasangan Syed Muhammad Ridza Syed Abdullah, 42, yang bertugas sebagai peguam dan isterinya, Norlinda Md Johari, 35, pembantu tadbir kewangan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Norlinda berkata, Raiyan dan Raiyna ditempatkan di kelas Permata, manakala Raniya di kelas Berlian. Tiga beradik itu turut mempunyai seorang adik berusia dua tahun.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Perling 3, Suremin Ithnin, berkata sekolah itu mempunyai 745 murid termasuk 50 murid prasekolah.

Di ALOR SETAR: Tiga pasangan kembar yang memulakan sesi persekolahan Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Abu Bakar, dekat sini, mewarnai suasana apabila mereka hadir dengan ragam tersendiri pagi ini.

Bagi Anis Najihah Anuar dan Anis Syuhadah, masing-masing berusia tujuh tahun, kedua-dua mereka berlinangan air mata apabila ditinggalkan ibu bapa pada hari pertama persekolahan itu.

Berlainan pula dengan Muhammad Akif Darwisy Zurean apabila terpaksa datang tanpa pasangan kembar berikutan abangnya, Muhammad Afif Darwisy demam.

Sepasang kembar lain, Norsyazwana Mat Sukri dan Nursyazwina pula kelihatan agak sedih berikutan terpaksa berpisah antara satu sama lain kerana ditempatkan di kelas berlainan.

Ibu Norsyazwana dan Nursyazwani, Rosnita Mohd Saad, 44, ketika ditemui berkata pasangan kembar itu amat teruja untuk memulakan sesi persekolahan, malah sanggup bangun awal dan menyiapkan sendiri keperluan mereka.

Tiga pasangan kembar itu antara 52 murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan di SK Haji Abu Bakar yang keseluruhannya mempunyai 310 murid.

http://www.bharian.com.my/node/229118