Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

DAP lupa kawan bila ada sokongan

PAS tidak pernah melakukan tindakan mengkritik agama lain di dunia ini sepertimana dilakukan oleh DAP.


SHAH ALAM – Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Mohamad Zawawi Salleh mengganggap DAP sebagai sebuah parti yang lupa kawan apabila memiliki sokongan kuat pelbagai pihak.

Beliau berkata, DAP melakukan pengkhianatan dan tidak menghormati parti Islam ini melalui beberapa tindakan mereka yang dianggap keterlaluan ketika bersama PAS.

“Kita (PAS) hendakkan sebuah parti yang dapat kerjasama dan hormati satu sama lain.

“Ini tidak, bila kuat dia (DAP) lupa kawan, bila lemah baru cari kawan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang memaklumkan bahawa pihaknya akan berbincang dengan peguam berhubung kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang mengaitkannya sebagai anti Islam.

Mengenai perkara itu, Zawawi memaklumkan pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya DAP ingin menyaman presiden PAS tersebut.

“Kalau dia (Kit Siang) nak saman, saman sajalah. Biar dia saman dulu, kita tengok macam mana,” katanya.

Dalam pada itu, Zawawi memaklumkan bahawa DAP sememangnya anti Islam berdasarkan kenyataan dikeluarkan pihak berkenaan sebelum ini yang mengkritik agama suci ini.

Katanya, PAS tidak pernah melakukan tindakan mengkritik agama lain di dunia ini sepertimana dilakukan oleh DAP.

“Disebabkan itulah, kita gelar mereka sebagai anti Islam kerana kritikan yang mereka sendiri keluarkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berkata, ugutan saman oleh Kit Siang tidak memberi kesan kepada PAS sebaliknya masyarakat Islam akan semakin jelas dengan sikap sebenar DAP.

Katanya, DAP mengkhianati PAS dua kali iaitu semasa dalam Barisan Alternatif pada 2001 dan Pakatan Rakyat. -Sinar Harian