Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

GERAKAN perlu pecat Dominic Lau Hoe Chai, maaf tidak cukup.

Elemen provokasi dan hasutan antara agama tidak boleh kita biarkan. Justeru saya gesa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) memecat Naib Presiden Dominic Lau Hoe Chai, supaya ia jadi pelajaran kepada yang lain.

Dominic Lau Hoe Chai menuduh sekolah agama yang dibiayai kerajaan mengancam perpaduan negara, kemudian sekadar minta maaf dan tarik balik. Adakah ianya cukup?

Dalam sejarah awal kemanusiaan, Nabi Adam a.s. mengajar agama kepada anak cucunya, sebagai pedoman kehidupan. Dan agama bukan ancaman kepada manusia. Melawan agama itulah ancaman kepada manusia. Qabil menjadi manusia ekstremis pertama, kerana melawan agama, dengan membunuh Habil.

Tanah Melayu sekian lama menerima kedatangan kepelbagaian kaum dan agama kerana kemakmuran dan kemasyhurannya sebagai semenanjung emas, tamadun sungai Kelantan dan juga pelabuhan Melaka, dengan penuh harmoni.

Malaysia pula memberi contoh kepada dunia bagaimana keharmonian hubungan antara agama berlainan. Dan Kelantan khususnya menjadi model bagaimana sekolah agama seperti Maahad Muhammadi dan Sekolah Vernakular Chung Hwa, walaupun dilokasi berdekatan, namun saling menghormati dan harmoni.

Sekalipun sejarah ribuan tahun yang kita lalui, ada beberapa ujian terhadap keharmonian antara agama dan sekolah agama di rantau ini. Elemen provokasi dan hasutan antara agama tidak boleh kita biarkan.

Justeru saya gesa Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) memecat Naib Presiden Dominic Lau Hoe Chai, supaya ia jadi pelajaran kepada yang lain. Dan membuktikan kepada semua bahawa tiada parti politik yang boleh menerima pemikiran dan perilaku seumpama ini. Maaf dan tarik balik tidak cukup.

Dalam masa yang sama, saya menjemput Dominic Lau Hoe Chai untuk melawat, menginap di asrama dan mengikuti pengajian selama seminggu, di mana mana sekolah agama di Kelantan, khususnya di Bachok untuk menyelami hakikat sebenar sekolah agama yang sudah sekian lama berjasa kepada negara. Saya bersedia untuk menanggung segala perbelanjaan.


Ahmad Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Bachok
16 R.Akhir 1438/ 14 Jan 2017