Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Jomo juga percaya BN kekal berkuasa

Mereka tidak mampu bertindak bersama dan tidak bersedia berdepan pilihan raya yang mencabar - Dr Jomo Kwame Sundaram

Seorang lagi tokoh meramalkan BN akan terus menjadi kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 nanti.

Bekas penolong setiausaha agung PBB, Dr Jomo Kwame Sundaram, berkata jika PRU itu dilangsungkan pada April ini, besar kemungkinan pembangkang akan kalah.

Bercakap di sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini Jomo berkata sebahagian daripada faktor ramalannya ialah berdasarkan kegagalan pembangkang menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat.

"Mereka tidak mampu bertindak bersama dan tidak bersedia berdepan pilihan raya yang mencabar," katanya.

Menurut beliau pembangkang juga begitu berpecah-belah dan pemimpin parti lebih bimbangkan sokongan dalam persaingan sesama sendiri berbanding memberi perhatian kepada cabaran lebih besar.

Walaupun pembangkang mendakwa sistem yang diamalkan tidak adil, kata Jomo, sebahagiannya bertanggungjawab atas keadaan itu.

"Ramai orang yang sekarang mengkritik sistem itu mempunyai peranan membina sistem berkenaan.

"Kita perlu berusaha dalam sistem yang kita ada," kata pakar ekonomi veteran yang pernah mengajar di pelbagai universiti di seluruh dunia itu.

Sebelum ini antara penganalisis yang menyatakan keyakinan mereka terhadap dominasi BN ialah Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania, James Chin, yang mengaggap BN akan tetap menang tanpa banyak masalah berdasarkan keadaan semasa pembangkang.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir, juga percaya kerajaan BN akan kekal walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikaitkan dengan pelbagai dakwaan dan isu.