Guru propembangkang, hentam kerajaan disaran letak jawatan
Biarpun Malaysia adalah negara demokrasi dan menjadi hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik, guru tetap terikat dengan peraturan dalam perkhidmatan awam.
KUALA TERENGGANU: Guru yang menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan secara keterlaluan disaran meninggalkan profesion mereka, kerana ia melanggar peraturan dalam perkhidmatan awam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata biarpun Malaysia adalah negara demokrasi dan menjadi hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik, guru tetap terikat dengan peraturan dalam perkhidmatan awam.
"Jika mereka seorang guru, tetapi sudah naik pentas pembangkang, bersyarah dan hentam kerajaan, ada pula elemen tidak sihat dibangkitkan dan wujud unsur fitnah, saya ingatkan lebih baik tinggalkan profesion itu dan lawanlah (bertanding) betul-betul.
"Ini kerana bagi saya budaya ini tidak begitu sihat. Bukan kita hendak tutup demokrasi itu, tetapi tidak patutlah sampai ke situ," katanya pada sidang media selepas Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Taman Tamadun Islam di sini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.
Terdahulu pada sesi dialog berkenaan, Mahdzir menjelaskan walaupun isu guru menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan adalah kes terpencil, terdapat satu kes guru diambil tindakan kerana menghentam kerajaan secara keterlaluan di pentas politik pembangkang.
Sementara itu Mahdzir berkata, kementerian tidak bercadang untuk memperluaskan pengambilan pembantu guru setakat ini kerana kos yang terlalu tinggi.
"Buat masa ini hanya tiga negeri yang merintis pengambilan pembantu guru iaitu Sabah, Melaka dan Kedah dan ia masih berjalan, cuma kita buat masa ini ia belum dapat diperluaskan ke seluruh negara kerana faktor kos yang tinggi," katanya. ---BHARIAN
Post a Comment