Dua NGO buat laporan polis aktivis hina Islam
Kenyataan yang dibuat oleh Kassim jelas membuktikan individu ini tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan di mana Islam itu adalah agama rasmi dan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam di negara ini. Justeru, kami mahu Kassim menarik kenyataan itu dan jangan cuba porak perandakan negara yang harmoni dan bersatu padu ini. - PERIMAU dan MPJ
JOHOR BAHRU: Dua badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kenyataan aktivis, Kassim Ahmad menerusi sebuah portal yang didakwa menghina Islam serta boleh menggugat keharmonian negara.
Laporan itu dibuat Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (PERIMAU) Johor dan Pertubuhan Muafakat Pendidikan Johor (MPJ) pada jam 9 pagi di Balai Polis Central di sini, hari ini.
Presiden PERIMAU yang juga Presiden MPJ, Mohd Ridhwan Othman, berkata kenyataan aktivis terbabit yang mendesak supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan Islam sebagai agama Persekutuan adalah bersifat menghasut dan mencemarkan kesucian Islam.
"Kenyataan yang dibuat oleh Kassim jelas membuktikan individu ini tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan di mana Islam itu adalah agama rasmi dan Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam di negara ini.
"Justeru, kami mahu Kassim menarik kenyataan itu dan jangan cuba porak perandakan negara yang harmoni dan bersatu padu ini, " katanya kepada pemberita.
Katanya, semua NGO diseru untuk membuat laporan polis, serta berjuang bagi menyekat aktivis terbabit daripada terus menggugat keharmonian negara khususnya kesucian Islam.
"Kami juga meminta Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap aktivis itu yang mengeluarkan kenyataan tidak rasional serta menjadi ancaman kepada negara," katanya. PERIMAU Johor mewakili lebih 600 ahli manakala MPJ oleh kira-kira 5,000 ahli terdiri dalam kalangan guru di seluruh negeri.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/273753
Post a Comment