#RUU355: Menanti Sokongan Ahli Parlimen dari Sarawak
BN Sarawak melalui Ketua Menteri seakan senada dengan mereka yang menentang pembentangan usul ini. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan samada dari Ketua Menteri atau beberapa ahli parlimen BN Sarawak seolah-olah menggambarkan penentangan mereka. Adalah menjadi satu kekecewaan apabila seseorang muslim menolak satu usul memartabatkan institusi muslim itu sendiri yang semua telah maklum ianya tidak akan sama sekali melibatkan penganut agama lain mahupun keharmonian kaum yang telah lama terjalin. - Farhan Baharuddin, Ketua Penerangan PAS Kawasan Petra Jaya
Setelah pengumuman seperti yang dijangka oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak berhubung penarikan diri pihak kerajaan dalam pembentangan usul RUU355, maka PAS melalui Presidennya, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang kembali mengambil alih pembentangan sebagai usul persendirian di Parlimen.
Seperti sedia maklum, usul persendirian agak rumit untuk diluluskan berbanding usul kerajaan. Walau bagaimanapun atas dasar perjuangan memartabatkan hukum perundangan Islam kepada satu tahap yang lebih tinggi, PAS tetap dengan matlamat asal meneruskan pembentangan walaupun berhadapan 1001 halangan.
BN Sarawak melalui Ketua Menteri seakan senada dengan mereka yang menentang pembentangan usul ini. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan samada dari Ketua Menteri atau beberapa ahli parlimen BN Sarawak seolah-olah menggambarkan penentangan mereka. Adalah menjadi satu kekecewaan apabila seseorang muslim menolak satu usul memartabatkan institusi muslim itu sendiri yang semua telah maklum ianya tidak akan sama sekali melibatkan penganut agama lain mahupun keharmonian kaum yang telah lama terjalin.
Islam adalah agama rahmat yang memberikan hak secukupkan kepada seluruh manusia bahkan setiap makhluk di muka bumi. Tidak mungkin Islam itu dilihat menindas penganut agama lain melainkan momokan media barat yang menjadi rujukan mereka seterusnya menatijahkan "Islamophobia" dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
Sebagai pemimpin beragama Islam, maka sewajarnya Ketua Menteri menerangkan kebaikan perundangan Islam kepada rakyat pelbagai kaum di sini sebagai menangkis serangan barat terhadap Islam. PAS sangat yakin dengan penerangan jitu daripada kerajaan kepada rakyat, penjernihan pemikiran mereka akan dapat dilakukan seterusnya perundangan Islam tidak dipandang serong oleh masyarakat.
Bagi PAS Kawasan Petra Jaya, kami sangat menyokong usaha PAS diperingkat pusat membawa usul ini di Parlimen.
PAS Kawasan Petra Jaya juga amat berharap kepada sokongan semua ahli parlimen Islam dari Sarawak seterusnya mengundi usul yang akan dibawa nanti. Biarlah kita berlawan di medan politik pilihan raya namun demi Islam kita bersatu untuk melaksanakannya.
Farhan Baharuddin
Ketua Penerangan,
PAS Kawasan Petra Jaya
Post a Comment