Pakatan Dengan Geely Akan Bebaskan Proton Daripada Subsidi Kerajaan - Ahli Parlimen
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pakatan strategik antara Proton Holdings Bhd (Proton) bersama Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) dari China, akan membebaskan pengeluar kereta nasional itu daripada subsidi berterusan kerajaan yang turut menggunakan wang pembayar cukai, kata seorang Ahli Parlimen hari ini.
Datuk Ahmad Fauzi Zahari yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata subsidi mencecah berbilion-bilion ringgit sejak penubuhan Proton pada 30 tahun lepas, juga bukanlah sesuatu yang dapat diteruskan untuk selama-lamanya.
Sehubungan itu, pakatan dengan syarikat automotif besar global seperti Geely itu sebenarnya turut disertai pelbagai prospek menarik demi pertumbuhan masa depan Proton.
"Proton kini mampu meningkatkan pengeluarannya sehingga lima kali ganda kepada 500,000 unit kenderaan dalam tempoh tiga tahun menjelang 2020 menerusi penyertaannya dalam ASEAN dan paling penting, pasaran China yang amat besar.
"ASEAN mempunyai 600 juta penduduk manakala angka jualan kereta China pula sebanyak 28 juta setahun. Jika Proton, menerusi Geely mampu memperoleh satu peratus pasaran China, maka ini bermakna Proton dapat mengeluarkan 280,000 unit kereta tambahan," katanya kepada Bernama.
Ahmad Fauzi berkata pengeluaran tahunan Proton ketika ini yang membabitkan kira-kira 74,000 unit kereta hanya mewakili 20 peratus daripada kapasiti sebenar kilang di Tanjung Malim, Perak.
"Bagaimanapun, menerusi pakatan dengan Geely, ini bermakna pengeluaran Proton itu tiada hadnya. Bayangkan juga aspek penawaran ribuan pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia."
Pada Rabu lepas, Proton Holdings Bhd sebagai pemilik Proton memeterai perjanjian dengan Zhejiang Geely Holdings Co Ltd yang menyaksikan Geely memiliki 49.9 peratus pegangan manakala Proton mengekalkan pegangan majoriti sebanyak 50.1 peratus.
Ahmad Fauzi yang mengikuti rapat perkembangan dalam industri automotif turut menyifatkan rekod pencapaian Geely sejak menngambilalih pembuat kereta Volvo dari Sweden pada 2010 sebagai "amat memberangsangkan'' yang dibuktikan menerusi pengeluaran 200,000 unit tambahan daripada apa yang dilakukan Volvo secara sendirian, sebelum ini.
"Pada 2015 misalnya, Volvo berjaya mengeluarkan lebih 500,000 unit kereta -- angka tertinggi dalam tempoh 90 tahun sejak penubuhannya. Saya yakin, perkara sama juga akan dilakukan oleh Geely terhadap Proton," katanya.
Ahli Parlimen itu turut berkongsi keterujaannya terhadap masa depan Proton kerana jalinan pakatan dengan Geely juga menandakan sejumlah 60,000 pekerjaan langsung dan tidak langsung serta kira-kira 200,000 vendor, pengedar dan pembekalnya juga mampu dipertahankan.
Malah, usaha menyelamatkan pekerjaan itu sememangnya menjadi keutamaan kerajaan apabila bertindak menyuntik dana ke dalam Proton sejak bertahun-tahun lamanya dan penjualan kepentingan dalam Proton itu wajar dilihat sebagai satu keputusan perniagaan yang mutlak dan bukannya atas alasan lain.
"Saya menyokong pandangan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Ghani yang berharap demi kemajuan pada masa depan, tiada lagi subsidi seterusnya untuk Proton dan ia mampu berdikari tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.
"Kerajaan tidak sewajarnya menyalurkan wang ke dalam perniagaan yang merugikan. Kita perlu menamatkan sebarang perniagaan yang hanya menyebabkan kerugian," katanya.
Ahmad Fauzi turut membangkitkan senario industri automotif ketika ini jauh berbeza daripada 30 tahun lepas sewaktu Proton mula bertapak.
Ini berikutan berlakunya evolusi dalam industri itu yang menyaksikan pelbagai usaha penggabungan berterusan melibatkan penggiat pasaran automotif global kini menjadi stratregi utama.
Beliau merujuk kereta jenama ikonik Britain, Land Rover yang diambilalih oleh Tata Group dari India, Vauxhall juga dari Britain oleh PSA yang juga firma Perancis, Renault yang dikuasai oleh Nissan serta Volvo dan London Taxi Company oleh Geely.
Menurutnya, kalangan masyarakat Britain tidak pernah merujuk urus niaga sedemikian sebagai 'satu bentuk penjualan' dan menyarankan supaya rakyat Malaysia sewajarnya dapat mencontohi sikap sedemikian.
-- BERNAMA
Post a Comment