PAS azam bawa sistem Islam dalam pentadbiran
Oleh: Atirah Hasli
    29 Mei 2017
PAS berazam mahu mengembalikan sistem Islam dalam pentadbiran negara ini.
 Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat  hanya dapat mengecapi kehidupan yang lebih adil dan menikmati perubahan  sistem yang lebih baik dengan sistem Islam.
 “Meskipun sejarah menunjukkan bahawa keagungan tamadun manusia berlaku  di zaman Islam, namun sikap anti-Islam atau Islamphobia yang dicanangkan  oleh Barat yang kini berjaya meresap masuk ke akal fikiran manusia,  telah menjadikan mereka bertindak dan berhujah secara tidak rasional  apabila terdengar sahaja perkataan "Islam."
 “Anehnya, mereka boleh menerima sistem komunisme, kapitalisme,  sosialisme dan pelbagai lagi asalkan ia bukan bernama "Islam,” katanya  dalam kenyataan, hari ini.
 Katanya lagi, sekiranya umat tidak kembali kepada ajaran Islam yang  sebenar, kita hanya akan melakukan perubahan yang separuh masak.
 Menurutnya lagi, umat di negara ini hanya sekadar merubah dari satu  kegagalan sistem ciptaan manusia kepada satu lagi sistem ciptaan manusia  yang lain yang juga akan berhadapan dengan pelbagai kelemahan dan  kepincangan.
 “Di dalam apa-apa perubahan, sepatutnya kita mengambil peluang untuk  meruntuhkan sistem jahiliah dan menegakkan sistem Islam di atas  keruntuhan tersebut.
 “Islam menawarkan pakej lengkap dalam usaha melakukan perubahan.  Gagasan Islam tidak bersifat ancaman, dan jauh lagi bersifat paksaan.  Sebaliknya gagasan ini mengemukakan cadangan dan pilihan,” katanya lagi.

Post a Comment