Adab Berhari Raya Dan Kesilapannya
BAYAN LINNAS: ADAB BERHARI RAYA DAN KESILAPANNYA
Mukaddimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Pertamanya, kami ingin mengucapkan selamat Berhari Raya, وَكُلُّ عَامْ وَأَنْتُمْ بِخَيْر تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ dan semoga Allah menatijahkan kita dengan taqwa dan seterusnya kita dapat menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat hidayah yang Allah kurniakan kepada kita sehingga ketika nafas kita masih lagi diberi peluang untuk hidup.
Bersempena dengan hari raya ini, kami kemukakan Bayan Linnas yang bertajuk Adab Berhari Raya dan Kesilapan untuk sama-sama memimpin dan memandu perjalanan kita agar sentiasa diberkati dan diredhai Allah sekalipun dalam masa kita seronok dan bergembira dengan hari raya.
Adab Hari Raya
Antara adab-adab pada hari raya ialah:
• Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
• Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
• Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
• Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.”
Riwayat al-Bukhari (943)
• Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
• Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا
Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”
Riwayat al-Bukhari (945)
Kesilapan Adab Pada Hari Raya
Kami sengaja menyebut beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita rancak menyambut hari raya. Antara adab tersebut ialah:
• Tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.
• Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam kamusnya untuk menziarahi sanak saudara. Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.
• Tidak menutup aurat atau berpakaian yang menjolok mata tanpa mengikut syariat Islam.
• Memasang lagu-lagu dan nyanyian hari raya yang kurang sopan dan berlebih-lebihan dalam berhibur atas nama hari raya. Alangkah baiknya jika digantikan dengan alunan zikir, nasyid dan nyanyian sopan yang tidak keterlaluan.
• Pergi beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh masa yang amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah.
• Mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.
• Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa.
• Bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau berkumpul setempat sehingga timbul perasaan kurang selesa pada golongan yang beragama.
• Pergi beraya di rumah seseorang sehingga lupa untuk menunaikan solat fardu dan melambatkan solat pada waktunya.
• Lupa menziarahi golongan fakir miskin dan anak yatim, tetapi matlamatnya lebih kepada rumah bangsawan dan hartawan.
• Merayakan hari raya sehingga sebulan dan tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa sunat 6 hari dalam bulan Syawal.
• Kurang bersedekah dan memberi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim serta mereka yang berada dalam kedaifan.
• Berlebih-lebihan dalam berpakaian sehingga menampakkan kemewahan yang melampau hingga membawa perasaan takbur, riak dan sombong.
• Berkumpul secara beramai-ramai tanpa faedah dan tidak menghiraukan orang lain.
• Terlupa untuk menziarahi pesakit di hospital atau mereka yang mengharapkan bantuan sebaliknya kita menyibukkan diri dengan kegembiraan yang melampau bersama rakan taulan yang sihat.
Bergembira Pada Hari Raya
Menjadi kelaziman seluruh dunia umat Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat.
Persoalannya di sini, apakah hukum bergembira dan cara yang sepatutnya dilakukan?
Ulama telah membahaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan hiburan dan permainan yang diharuskan oleh syarak. Bermain dan berhibur dengan hiburan yang disyarakkan adalah diharuskan bahkan digalakkan khasnya pada hari raya.
Secara umumnya, selagi mana sesuatu permainan itu tidak melalaikan dari kewajipan tugas yang perlu dilaksanakan ianya diharuskan. Ini adalah syarat umum yang mesti dipatuhi ketika bermain sesuatu permainan atau berhibur.
Syarat yang lain, permainan itu hendaklah tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan.
Jikalau permainan atau hiburan itu tidak menepati syarat-syarat yang dikemukakan, maka hukumnya menjadi haram walaupun asal permainan atau hiburan tersebut hukumnya harus. Pada zaman Nabi SAW, masyarakat pada ketika itu bermain, memukul gendang, menyanyi serta menyambut sesuatu perayaan.
Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan:
“Orang Habsyah bermain di sisi Nabi SAW ketika hari raya. Maka aku pun muncul dari atas bahunya dan melihat mereka sedang bermain sehingga aku merasa puas dan kemudian beredar (dari situ).”
Riwayat Ahmad
Dalam riwayat yang lain Saidatina Aisyah R.Anha berkata: “Abu Bakar telah masuk kepada kami pada hari raya dan ketika itu kami bersama dengan dua orang hamba perempuan yang menyebut tentang hari Bu’ath iaitu hari berlakunya peperangan antara kaum Aus dan Khazraj.”
Lantas Abu Bakar berkata: “Wahai hamba Allah! Mengapakah ada Mizmar Syaitan ini (iaitu alat muzik yang menyerupai seruling)”. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.
Kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum ada hari raya masing-masing dan hari ini hari raya kita.”
Riwayat Ibn Hibban
Dalam riwayat al-Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk kepada kami dan berbaring dengan memalingkan wajahnya, sedangkan di sana ada dua orang hamba perempuan sedang menyanyi sempena hari Bu’ath. Maka ketika itu Abu Bakar masuk dan berkata: “Mengapakah ada mizmar syaitan di sisi Rasulullah?”
Sabda Nabi SAW: “Tinggalkanlah (biarkan) mereka wahai Abu Bakar.”
Pada suatu ketika orang Sudan sedang bermain-main dan Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah: “Kamu ingin tengok?”
Aku (Aisyah) berkata: “Ya.”
Lalu Baginda mengangkatku ke belakangnya dengan pipiku bersentuh dengan pipinya, sehinggalah Baginda bersabda: “Sudah cukup.”
Maka Aku berkata: “Ya.”
Sabda Nabi SAW: “(Kalau begitu) Beredarlah.”
Pada hari raya itu, Rasulullah SAW bersabda: “Ini supaya golongan Yahudi mengetahui bahawa agama kita ada kelulusan (keringanan)dan sesungguhnya aku diutuskan dengan penuh toleransi dan keringanan.”
Riwayat al-Bukhari
Oleh itu, marilah kita menyambut hari raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang diperintahkan oleh Islam. Janganlah di hari raya dipenuhi dengan pembaziran dan hiburan yang melampau. Sebenarnya sebarang hiburan adalah dibolehkan tetapi mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Islam.
Ibn Rajab al-Hanbali menyebut di dalam kitabnya Lataif al-Minan: “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”
Kenyataan Mufti Wilayah
Kami dahulukan kenyataan ini dengan doa تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ. Semoga amalan yang kita lakukan diterima Allah. Dalam negara ini, kami hanya nyatakan beberapa perkara, sebagai pelengkap pada adab-adab berhari raya. Antaranya:
• Tunaikanlah zakat fitrah dan pastikannya dilakukan pada malam hari raya ataupun pagi hari raya sebelum solat raya. Inilah sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Zakat fitrah hukumnya adalah wajib.
• Bersihkan hati kita dahulu dari sebarang akhlak dan sifat mazmumah seperti dendam kesumat, hasad dengki dan lain-lain.
• Hiasilah dengan akhlak mahmudah seperti ikhlas, jujur, warak, amanah, rendah diri dan sentiasa berharap kepada-Nya.
• Dengan terbenamnya matahari dan masuknya 1 Syawal, maka mulalah dengan doa, munajat kepada-Nya.
• Begitu juga hiasilah pada malam tersebut dengan gemaan takbir kerana patuh kepada perintah Ilahi.
• Zahirkan rasa syukur atas pelbagai nikmat kurniaan Ilahi sehingga mukhayyam tarbawi yang kita lalui dapat dilaksanakan dengan jayanya.
• Sebelum meminta maaf, maafkanlah semua orang agar kemaafan yang kita pinta dari hati yang benar-benar bersih.
• Hidupkanlah malam hari raya dan paginya dengan zikrullah dan juga acara ibadat untuk menambahkan lagi pahala kita.
• Gunakanlah kesempatan yang ada semasa di kampung atau desa untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dan hubungan ukhuwwah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai.
Saya mengambil kesempatan di sini ingin memohon kemaafan daripada semua pihak dan saya dengan seikhlas hati memaafkan kesilapan terhadap saya. Semoga Allah jernihkan hati kita dan tumbuhan dengan ketekunan dan keikhlasan serta mahabbah kasih sayang sesama kita. Amin.
Akhir kalam, saya berpesan pada diri ini dan juga rakan-rakan supaya kita menyantuni anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, orang-orang sakit dan golongan mustad‘afin agar mereka semua dapat pembelaan dan prihatin daripada kita yang dikurniakan Allah dengan sedikit kelebihan.
Penutup
Berdasarkan kepada syariat Islamiah melalui sunnah Nabawiah, jelas menunjukkan kepada kita betapa umat Islam pada saat kegembiraan dan kemenangan selepas melepasi acara ibadat puasa dan amalan sunat pada bulan Ramadan dengan jayanya. Setelah sebulan segala mujahadah dan kesungguhan ibadah dipamerkan, maka kurniaan Tuhan kepada kita dengan kedatangan Syawal sebagai petanda kemenangan yang benar-benar iltizam dan istiqamah dengan ibadat. Walaupun begitu, kemenangan dan kejayaan hendaklah diisi dengan penuh kesyukuran dan acaranya dengan bertakbir memuji memuja Ilahi di samping mempereratkan tali silaturrahim dengan meneguhkan ukhuwwah Islamiah.
Dalam hal ini, kita diajar untuk melaksanakan dua jalinan yang kukuh iaitu hablum min Allah dan hablum min annas. Apabila tautan ini kukuh, sudah pasti banyak natijah yang baik dan keharmonian masyarakat pasti dapat dikecapi. Natijahnya, dosa para hamba terampun, keluarga menjadi bahagia sehingga layak ditabalkan baiti jannati, masyarakat menjadi harmoni, dan hubungan sesama mereka utuh tanpa sebarang wasangka. Lebih besar daripada itu, negara atau negeri yang didiami layak ditabalkan sebagai Baldatun Toyyibatun wa Robbun Ghafur.
Selamat Hari Raya,
Minal ‘aidin wal faizin,
وَكُلُّ عَامْ وَأَنْتُمْ بِخَيْر
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
1 Syawal 1436H
Post a Comment