Campur Tangan Asing Rosakkan Perpaduan, Keamanan Negara - Mufti
Adalah pelik dan langsung tidak boleh diterima apabila ada pihak mengajak orang luar merosakkan negara. Ini tali barut, penjajah dan penceroboh negara seperti berlaku sebelum zaman kemerdekaan dahulu.
KUALA LUMPUR -- Campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman Malaysia bakal merosakkan perpaduan dan keamanan negara seperti yang telah berlaku di negara-negara Arab sebelum ini, menurut kalangan mufti tempatan hari ini.
Mereka senada berpendapat, campur tangan luar seperti tindakan sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bukan sahaja merugikan negara malah langsung tidak membawa kebaikan sebaliknya kemusnahan keharmonian yang telah dipupuk selama ini.
Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik adalah 'tali barut' kerana mempunyai niat jahat untuk memutuskan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat negara ini.
"Adalah pelik dan langsung tidak boleh diterima apabila ada pihak mengajak orang luar merosakkan negara. Ini tali barut, penjajah dan penceroboh negara seperti berlaku sebelum zaman kemerdekaan dahulu.
"Mana mungkin dalam sebuah rumahtangga, kita minta orang lain putuskan hubungan suami isteri, porak-perandakan hubungan ahli keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau mengulas surat terbuka Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditujukan kepada semua parti politik hari ini, yang membantah campur tangan asing dalam urusan dalaman negara termasuklah 1MDB.
Antara lain, Abdul Hadi berkata sejarah mengajar bahawa campur tangan asing dalam urusan dalaman negara hanya akan membawa kerugian.
Abdul Rahman berkata malah dalam agama Islam sendiri, orang Islam dituntut untuk membantu dalam membuat kebaikan dan bukannya membantu dalam membuat dosa dan pada masa yang sama mewujudkan persengketaan serta permusuhan.
Dalam pada itu, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil berpendapat kenyataan Abdul Hadi adalah wajar memandangkan tanggungjawab memelihara kedaulatan, keamanan dan kestabilan negara terletak di bahu rakyatnya.
Jelasnya, sistem pentadbiran negara kini sudah cukup kuat untuk memelihara kepentingan Malaysia, justeru tidak memerlukan campur tangan pihak asing.
"Saya juga meminta kepada mana-mana pihak tidak menyebarluaskan...sebab hari ini media asing mengambil kesempatan bila ada perkara-perkara yang melibatkan kepentingan kita dan diperbesarkan di luar negara, sudah pasti banyak pihak akan mengambil kesempatan atas perkara-perkara yang tidak jelas ini," tegasnya.
Abdul Halim juga berkata parti-parti politik serta rakyat Malaysia perlu mengamalkan konsep 'tabayyun' iaitu memeriksa, menganalisis dan mengkaji sesuatu perkara yang berlaku, sebelum memutuskan untuk mengambil tindakan seterusnya.
DoJ memfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB yang didakwa diselewengkan.
Sementara itu, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria membidas pihak yang tidak bertanggungjawab meminta bantuan asing dalam isu 1MDB dan menggelar mereka sebagai 'tidak bermaruah' dan 'tidak patriotik' terhadap negara.
Beliau berkata semua pihak harus mengambil iktibar daripada konflik yang berlaku di rantau lain, kerana menurutnya, beliau bimbang campur tangan asing sebegini akan memberi kemudaratan kepada negara, sama seperti yang berlaku kepada negara lain.
Tindakan yang berbahaya itu harus dihentikan kerana ia tidak menguntungkan sesiapa, katanya.
Harussani berkata pihak yang mengheret pihak asing untuk mencampuri isu dalaman Malaysia mempunyai agenda dan kepentingan peribadi dan menasihati orang ramai tidak terpedaya dengan lakonan mereka.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam menangani pertembungan pendapat berkaitan isu 1MDB, ia sepatutnya diselesaikan di peringkat dalaman atau dalam negara itu sendiri.
"Kami yakin wujud titik persamaan antara pihak yang bersetuju dan tidak bersetuju. Isu seperti ini, sewajibnya diselesaikan di peringkat dalaman atau dalam negara itu sendiri," katanya.
Zulkifli berkata tuduhan umum tanpa fakta yang jelas adalah bercanggah dengan kaedah Islam.
"Kita sama-sama berganding bahu dan berada dalam satu saf untuk mempertahankan negara kerana sifat kasihkan negara adalah lambang keimanan seseorang," katanya.-- BERNAMA

Post a Comment