Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Isu harian, bukan 1MDB pengaruhi pengundi PRU14


Keputusan pilihan raya umum (PRU) akan datang akan ditentukan oleh isu-isu biasa dan asas, bukannya skandal 1MDB atau pelaburan China di Malaysia, lapor sebuah akhbar Singapura.

Melaporkan forum di negara itu semalam, Straits Times menyatakan skandal mega tidak memadai untuk pembangkang mengetepikan BN pada PRU ke-14 nanti.

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian, berkata isu berkaitan 1MDB secara umumnya sudah "hampir mencapai status sejarah" ketika ini.

"Ramai rakyat Malaysia sebenarnya tidak lagi mengutamakan isu ini dan ia dirangkumkan menjadi tanggapan sebagai kelemahan kepimpinan," katanya di forum PRU Akan Datang Malaysia: Risiko dan Peluang berkenaan.

Sementara itu bekas pesuruhjaya Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong, berkata walaupun skandal 1MDB memberi kesan kepada pendirian Putrajaya, ia tidak begitu menjejaskan Datuk Seri Najib Razak atau Umno.

Selain isu 1MDB, kerajaan Najib turut berdepan kritikan ekoran pelaburan dan pinjaman diberikan Beijing kepada Malaysia.

Lima peratus atau kurang

Ia turut membabitkan penjualan loji janakuasa milik 1MDB, pegangan saham Proton serta projek kereta api bernilai RM55 bilion.

Perdana menteri menafikan keputusan itu akan menyebabkan Malaysia tergadai kepada negara asing, sebaliknya menegaskan projek mega itu mampu membuka peluang pekerjaan serta merangsang ekonomi negara.

Walaupun majoriti pandangan umum menolak Najib, Straits Times melaporkan, kemungkinan rasa tidak puas hati itu dapat disatukan untuk menolak BN adalah kecil.

Kata Ibrahim, generasi muda lebih bimbangkan mengenai isu pekerjaan, manakala pasangan suami isteri muda lebih memikirkan kemampuan memiliki rumah atau kenaikan gaji.

Golongan pesara pula, katanya, tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menyara hidup dalam keadaan semasa.

Walaupun populariti Najib kekal rendah, Ibrahim berkata, BN masih kekal sebagai jenama yang paling diyakini pengundi Melayu Malaysia.

Ketua Unit Penyelidikan Perbendaharaan dan Strategi Bank OCBC, Selena Ling, mengakui walaupun data ekonomi Malaysia nampak sihat, ia bukanlah kebimbangan utama untuk sebahagian besar pengundi.
"Apabila tiba pilihan raya, orang ramai akan mengundi berdasarkan isu-isu asas, bukannya kerana perkembangan ekonomi meningkat lima peratus atau kurang," katanya.

PRU ke-14 perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos tahun depan tetapi pemerhati berpendapat ada kemungkinan Najib akan membubarkan parlimen untuk mengadakan pilihan raya seawam Oktober atau November ini.