Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Apa itu 'CARBON TRADE MARKET'?



Bahagian 2 siri CARBON CREDIT
Oleh: H. Bakri Jamaluddin

Sewaktu saya menulis artikel “Apa itu Carbon Credit?”, saya belum lagi meneliti dan memahami permasalahan sebenar yang berlaku di dalam DUN Kelantan. Artikel itu ditulis bertujuan sekadar membuka minda pembaca dan rakyat Malaysia mengenai perkara ini.

Alhamdulillah, sambutannya di luar dugaan tatkala saya menerima whatsapp dari anak saya yang mengatakan posting saya telah mencapai 2.3K pembaca, 325 komen dan 506 shares. Ada di kalangan teman rapat dan kenalan mengucapkan tahniah kerana menurut mereka artikel itu 'simple' dan mudah difahami.

Saya sengaja tidak membuat ulasan soal pemberian kontrak kepada syarikat Climate Protector kerana bukan bidang saya dan tidak wajar saya menulis sesuatu yang bukan keahlian (expertise) saya.

Sesuai dengan latar belakang dan profesion saya apalagi pernah terlibat dalam projek menghitung karbon di Kalimantan, Indonesia beberapa tahun yang lalu, saya mengambil kesempatan kali ini untuk berkongsi pengalaman dengan teman dan membuka minda rakyat Malaysia amnya. Semoga artikel kedua ini dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang “Carbon Credit” walaupun artikel kali ini agak sedikit teknikal dibandingkan dengan artikel pertama.

Harapan saya agar pembaca semua benar-benar mengerti dan mempunyai pengetahuan yang betul tentang “Carbon Credit”, mekanismanya dan perdagangannya sebelum kita membuat kesimpulan atau persepsi terhadap isu ini yang hangat diperbincangkan terutama keterlibatan kerajaan Kelantan dalam perdagangan karbon.

1. Pemanasan Global dan Green House Gas (GHG)

Green House Gas (GHG) atau Gas Rumah Kaca adalah gas-gas yang terlepas ke udara disebabkan aktiviti manusia melalui industri pengilangan, pertanian, penternakan, pengangkutan dan sebagainya. Kumpulan Gas GHG ini adalah:-
i. Carbon Dioksida (CO2)
ii. Methan (CH4)
iii. Nitrate Oksida (N2O)
iv. Hydrofluorocarbon (HCFs)
v. Sulfur Hexafluorocarbon (SF6) dan
vi. Perfluorocarbon (PFCs)

Gas GHG di atas yang terbebas ke udara melalui aktiviti yang saya nyatakan sebelum ini akan menyebabkan berlakunya pemanasan global serta perubahan cuaca yang ekstrim yang memungkinkan berlakunya bencana alam.

2. Kyoto Protocol

Oleh itu dalam “Kyoto Protocol” (1997), persetujuan telah dicapai oleh 184 negara yang memberikan komitmen untuk mengurangkan pelepasan GHG terutamanya gas CO2 yang menyumbang lebih daripada lima puluh peratus pemanasan global.

Beberapa mekanisma telah dibentuk untuk menangani permasalah ini. Ada mekanisma yang bersifat kerjasama sesama negara maju, mekanisma yang melibatkan negara maju dan negara membangun dan mekanisma di antara pengusaha (operator) sesama pengusaha yang semuanya bersifat 'voluntary' atau sukarela.

Diantara mekanisma yang dipersetujui di dalam Kyoto Protocol adalah:-

i. Joint Implementation (JI)
Mekanisma ini melibatkan kerjasama sesama negara maju di dalam usaha mengurangkan emisi GHG ke udara.

ii. Clean Development Mechanism (CDM)
Negara maju boleh bekerjasama dengan negara membangun dan membiayai projek mengurangkan emisi GHG ke udara.

iii. International Emission Trading (IET),
Mekanisma ini membenarkan mana-mana negara, individu atau operator untuk melakukan perdagangan 'Carbon Credit'. Negara yang mempunyai kelebihan credit boleh menjualnya kepada mana-mana negara yang mempunyai komitmen untuk mengurangkan emisi GHG.

Perdagangan Carbon Credit ini boleh dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri atau pemerintah negara, atau mana-mana operator/pengusaha yang berada di dalam sesebuah negara. Realitinya, hampir semua 'carbon trading' dilakukan oleh pengusaha-pengusaha persendirian tanpa melalui kerajaan atau pemerintah negara masing-masing.

3. Emission Market
Secara amnya, 1 unit Certificate Emission Reduction (CER) = 1 ton CO2 emission. Buat masa ini terdapat beberapa bursa perdagangan Carbon Credit antaranya:-
i. Chicago Climate Exchange
ii. Europe Climate Exchange
iii. Nordpool
iv. Powernext.
Harga untuk 1 unit CER sangat bergantung kepada tawaran dan permintaan.

Untuk pengetahuan semua, saya paparkan 'estimate' atau anggaran dibawah:-
1 unit CER = 1 Ton C/Ha.
1 unit CER berharga USD6.50 atau (x RM4.20) = RM27.50.

Apabila saya meneliti ucapan YB Dato Haji Anuar Tan bin Abdullah di DUN Kelantan, saya dapati tidak ada kecacatan pada data dan penerangan yang beliau sampaikan berhubung perdagangan karbon.

4. Menghitung Carbon (Carbon Stock)
Kita harus faham bahawa semua tumbuhan akan melakukan proses fotosintesis untuk membuat makan bagi proses tumbesaran. Semasa proses fotosintesis, karbon (CO2) diserap dari udara dan kemudiannya disimpan di dalam tumbuhan yang di panggil “Carbon Stock” di ranting, batang, akar dan daun.

Sekiranya sesebuah pohon itu ditebang, dibakar dan sebagainya, maka simpanan karbon yang ada dalam tumbuhan itu akan terlepas ke udara melalui proses pereputan atau pembakaran.

Sebaliknya, 'Carbon Stock' ini akan kekal sekiranya pohon itu disimpan, dikonservasikan bahkan akan bertambah seiring dengan bertambah besarnya saiz sesuatu pohon itu.

Oleh sebab itu, hutan yang direhabilitasi (reforestry) mempunyai kemampuan menyerap karbon yang lebih tinggi berbanding dengan hutan tua, disebabkan pengaruh tumbesaran pohon yang ditanam dalam proses 'reforestry'.

Pengalaman saya menghitung stock karbon di tanah seluas 1,000 hektar di Kalimantan, Indonesia beberapa tahun yang lalu mengambil masa selama 3 bulan dengan melibatkan GIS Surveyor, Tenaga Pakar Perhutanan, Biologis, Saintis dan beberapa tenaga lagi yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Oleh itu jangka waktu 12 – 24 bulan yang diperlukan untuk melakukan inventory dan survey yang tepat untuk project Carbon Credit Kelantan adalah wajar.

Secara amnya, hutan dapat menyerap sekitar 400 - 500 ton CO2 per ha setahun dan dari jumlah ini, 50 peratus akan disimpan dalam bentuk 'Carbon Stock' seperti yang dihuraikan diatas. Ini bermakna hutan di bawah projek Carbon Credit ini boleh menyimpan sejumlah sekitar 250 ton/ha.

Kiraannya:
i. 200 ton/ ha = 200 unit CER
ii. 1 CER = 1 ton C-Stock/ha @ USD6.50 atau x RM4.20 = RM27.30
iii. 396,000 hektar: 396,000 x 200 ton/Ha x RM27.30 = RM2.16 billion/tahun tanpa mengambil kira pembiayaan konsultan pelaksana projek.

iv. Ini bermakna Kelantan mempunyai khazanah yang tersimpan sebanyak RM2.16 billion tanpa perlu melakukan penebangan hutan, merubah status hutan kepada pertanian atau memberikan tanah hutan atau menjual tanah hutan kepada mana-mana individu atau syarikat untuk tujuan pembangunan dan sebagainya.

v. Walaubagaimanapun, hasil akhir perhitungan C-Stock yang tepat adalah bergantung kepada survey sebenar dan inventory yang akan dilakukan keatas kawasan hutan seluas 396,000 hektar yang digazetkan kepada projek Carbon Credit ini.

5. Kesimpulan

i. Kesanggupan dan kesediaan kerajaan Kelantan untuk turut terlibat dalam perniagaan Carbon Credit ini haruslah diberi pujian. Ini kerana sampai saat ini belum ada mana-mana negeri lain di Malaysia yang sanggup menerokai pasaran ini.

Oleh kerana komitmen ini sesuai serta bertepatan dengan moto Parti "Islam for All”, secara langsung langkah ini menyumbang kepada pemeliharaan bumi untuk kesejahteraan sejagat.

ii. Dalam perdagangan karbon ini, hutan akan di lestarikan dan dilindungi tanpa harus menyerahkan hak milik tanah hutan kepada pihak ketiga. Yang diperdagangkan adalah karbon yang tersimpan dalam pepohonan dan tanah dan bukanya balak dan tanah. Oleh itu setiap rakyat Kelantan harus menyedari dan menyokong penuh projek ini. Paling penting, hak milik tanah tetap terpelihara serta menjadi milik sepenuhnya kerajaan Kelantan.

iii. Khazanah senilai RM2.16 billion (perhitungan kasar saya) yang tersimpan ini dapat digunakan bagi manfaat rakyat Kelantan tanpa perlu mengorbankan hutan yang berkesudahan dengan berlakunya bencana alam seperti banjir dan sebagainya.

iv. Amat wajar kerajaan Kelantan melakukan urusan langsung (direct trading) melalui consultant (3rd Party) tanpa perlu menyerahkan hutan kepada kerajaan pusat dan ini dibenarkan dalam Carbon Trade Market.

Oleh : H. Bakri Jamaluddin
Sr. General Manager, Plantation
Jakarta, Indonesia.

#MembinaMalaysiaSejahtera
#SejahteraBersamaIslam
#MaraMenujuCita