Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Serpihan UMNO, Parti Melayu Semangat 46 Ditelan Zaman



Agaknya berapakah wang yang telah dibelanjakan oleh Suruhanjaya Pilhanraya (SPR) untuk mengadakan 15 pilihanraya kecil (PRK) selepas Pilihanraya Umum tahun 2008?

Sekarang, rakyat sekitar daerah Labis, Johor sedang dijamukan dengan pelbagai kerenah selepas hari penamaan calon semalam untuk pertandingan satu lawan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang. Dan tidak lama lagi, pilihanraya kecil DUN Merlimau pula akan menjelma.

Dengan mengambil "mood" pilihanraya kecil yang sedang melanda daerah Labis sekarang (walaupun saya berada di Selangor), saya ingin menarik perhatian anda tentang kewujudan satu parti politik yang pernah menggegar tanahair suatu ketika dulu. Saya akan cuba bersifat neutral sepanjang masa ketika menulis post blog kali ini. Bahaya bang! Saya pun takut juga. Periuk nasi perlu dijaga...

Parti Melayu Semangat 46 atau singkatannya S46 (seperti ditunjukkan logo parti di atas) ditubuhkan pada tahun 1988. S46 merupakan sebuah parti serpihan UMNO (macam pinggan pecah pula) yang diterajui oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden parti. Manakala Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Parti S46 ini ditubuhkan sebaik sahaja selepas kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah menentang Tun Dr Mahathir Mohamad dalam merebut jawatan Presiden UMNO ketika pemilihan parti tahun 1988. Dr Mahathir menang dengan majoriti kecil 43 undi. Ekoran dari kejadian ini, Tengku Razaleigh telah membawa kes ini ke mahkamah sehingga menyebabkan parti UMNO diharamkan sebagai parti politik yang sah. Krisis ini juga telah mengakibatkan berlakunya juga persilihan antara Badan Kehakiman dengan Badan Eksekutif Kerajaan Malaysia.

Kenapa dinamakan Parti Semangat 46? Apa yang dimaksudkan dengan angka 46 tersebut? Selepas UMNO diharamkan, Dr Mahathir menubuhkan parti UMNO baru. Tengku Razaleigh mendakwa Parti S46 adalah berasal dari parti UMNO sebenar yang ditubuhkan Dato' Jaafar Onn pada tahun 1946 untuk melawan Gagasan Malayan Union. Angka 46 diambil dari tahun penubuhan parti UMNO ketika tahun 1946 dulu.

Pada Pilhanraya Umun 1990 dan 1995, Parti S46 telah bekerjasama dengan beberapa parti politik lain, antaranya Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam membentuk pakatan Gagasan Rakyat. Hasilnya, di bawah pimpinan PAS, negeri Kelantan telah dapat dikuasai bermula pada pilihanraya tahun 1990 sehinggalah sekarang ini.

Sepanjang penglibatan Parti S46 dalam gelannggang politik tanahair, beberapa kejayaan memenangi hati dan memelihara kebajikan rakyat telah dapat dilaksanakan. Beberapa kawasan Parlimen dan DUN di sekitar negeri Kelantan, N. Sembilan dan juga Johor telah berjaya dikuasai oleh Parti S46. Antara kubu kuat Parti S46 adalah di parlimen Gua Musang, Kelantan yang kerusinya berjaya dikekalkan oleh Tengku Razaleigh sendiri bermula pada tahun 1974 hinggalah ke hari ini.

Entah mengapa atas sebab yang saya kurang pasti (sebab saya bukan orang politik), Parti S46 dibubarkan pada Mei 1996. Beberapa orang tokoh Parti S46 seperti Dr Rais Yatim, Dato' Ahmad Shabery Cheek (bekas Ketua Penerangan dan Ketua Pemuda parti S46) dan Tengku Razaleigh sendiri telah kembali mengganggotai UMNO. Ada juga sebilangan kecil yang kembali menyertai PAS dan Parti Keadilan selepas krisis politik berlaku di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Dr Mahathir.

Dato' Ahmad Shabery Cheek kini memegang portfolio kabinet sebagai Menteri Belia & Sukan. Pernah juga memegang jawatan Menteri Penerangan. Perjalanan karier beliau dan Dr Rais Yatim sebagai ahli politik kini cukup berbeza dengan perjalanan karier Tengku Razaleigh Hamzah. Sumber gambar: theindiestory.blogspot.com

Adegan keluar-masuk parti politik mungkin sudah biasa dilihat dan diperkatakan dalam arena kancah politik tanahair. Tetapi pabila seseorang calon pilihanraya itu mengubah fahaman politiknya dengan cara keluar parti atau lompat parti, tidak kira samada sebelum pihanraya, atau ketika pilihanraya mahupun selepas sudah menang dalam pilihanraya, rakyat yang akan menghadapi dilema. Rakyat akan terkeliru samada mahu memilih calon berdasarkan kredibiliti calon itu sendiri, ataupun kredibiliti parti politik yang diwakilinya. Kerapkali serba-salah dibuatnya...

Buat calon-calon pilihanraya akan datang, kalau sudah merajuk atau "tak ngam" dengan parti politik yang ada sekarang, anda masuk saja bertanding sebagai calon bebas. Kan senang dan bebas. Pilih saja simbol/logo yang anda berkenan di hati. Anda pilih simbol yang mana?

Kepada sesiapa yang berminat untuk bertanding dalam pilihanraya akan datang, persiapkan jentera anda. Pertandingan merebut kerusi menuntut anda melakukan pelbagai pengorbanan merangkumi tenaga, emosi, usaha dan semestinya wang ringgit. Bukan kena fikir 2-3 kali, tetapi kena fikir 20-30 kali sebelum nak masuk bertanding ni...

Calon bebas, Puan Maimon Yusof a.k.a. Tok Mun menggunakan simbol anak kunci dalam pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihanraya Umum 2008. Selepas kematian bekas Ahli Parlimen kawasan tersebut pada 28 November 2008, beliau sekali lagi bertanding untuk merebut kerusi. "Jika pilihan raya lepas, saya menggunakan logo kunci namun kali ini saya akan gunakan lambang istana sebagai tanda penguasaan," tegas Tok Mun.Tok Mun merupakan individu tertua di Malaysia (89 tahun) yang pernah bertanding merebut kerusi parlimen.