Awie: Tahfiz kecewa ada pihak tidak bertanggungjawab tulis mendakwa keluarga pelajar?
1. Pada awalnya saya tidak berniat untuk respon terhadap surat terbuka tersebut. Namun disebabkan persepsi yang berlegar semakin parah, adalah menjadi kewajipan terhadap saya sebagai sebagai orang yang bertanggungjawab mengurus selia Maahad Tahfiz Daril Ulum Kg. Meranti. Pada permulaannya, saya sedikit musykil tentang si penulis surat tersebut. Setelah diselidiki semua pelajar dan juga penjaga, tidak seorang pun mengakui abang ataupun anak mereka bernama Amirul Habibullah. Mana mungkin seorang yang mengakui bahawa mereka adalah abang kepada pelajar dengan tulisan yang cukup tersusun seakan-akan ada pihak yang lain menulisnya.
2. Cukup pelik bagaimana pula dikatakan pelajar tidak dimaklumkan akan kehadiran peserta konvoi yang diketuai oleh Ayahanda Awie sedangkan kami pihak pengurusan memaklumkan kepada semua pelajar sebulan awal sebelum program berlangsung. Sangkaan ini sebenarnya ingin merobek reputasi tahfiz yang sedang membangun dan semakin dikenali.
3. Untuk pengetahuan semua, kedatangan peserta konvoi adalah melalui surat permohonan daripada Jawatankuasa International Bike Week 2017. Persediaan di Maahad Tahfiz Daril Ulum diuruskan oleh kami sendiri. Manakala para AJK MTD, Pemuda dan Muslimat pula bertindak sebagai pembantu bagi melicinkan lagi program.
4. Saya sangat berduka apabila dalam tulisan tersebut memperlekehkan tujuan kedatangan tetamu yang dihormati sedangkan dalam Islam sangat menuntut agar meraikan tetamu hatta tetamu bukan Islam sekalipun. Manakala tujuan kedatangannya juga adalah tujuan yang baik dan boleh dengar ucapan daripada Ayahanda Awie sendiri, bukan Maahad Tahfiz Daril Ulum sahaja yang beliau ziarahi, malah banyak lagi Pusat Tahfiz seluruh Negara dilawati oleh beliau bersama dengan kelab. Kenapa dipersoalkan kebaikan yang dilakukan?
5. Pertandingan memakai serban bukan untuk dijadikan jenaka, namun kami jadikan sebagai salah satu peluang kepada bikes untuk merasai pengalaman memakai serban yang merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW. Kalian tahukah bahawa, serban yang dihadiahkan kepada mereka dililit kemas dan dipakai sehingga ke perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Bukankah disitu terhadap kebaikan yang didapati walaupun sedikit?
6. Kedatangan Ayahanda Awie bukanlah satu penghinaan kepada kami namun ianya adalah satu penghormatan yang tinggi buat kami di sini. Hal ini kerana keberadaan mereka di sini secara tidak langsung memberikan mereka peluang melakukan kebaikan berterusan. Bak kata Ayahanda Awie, setinggi mana pun kita berada, jangan dilupakan bahawa kita pasti akan ke bawah.
7. Bila disebut tentang pesanan Ustaz beliau berkenaan tanda seorang tetamu itu baik apabila dia meninggalkan satu kawasan, maka kawasan itu akan tenang dan senang. Jawapannya ya! memang kawasan kami di sekitar Kg. Meranti tenang, tiada pula terdengar apa-apa kemusykilan apabila tetamu yang kami hormati meninggalkan majlis. Yang tidak tenteramnya bukan di Kg. Meranti, tetapi di dalam lubuk sanubari kalian yang selaku inginkan suasana tidak tenteram.
8. Lagi memusykilkan saya apabila tiba-tiba dikaitkan dengan salah seorang pimpinan parti sedangkan tiada kaitan langsung beliau dengan tahfiz dan pondok serta isu wahabi. Kalau ya pun nak menulis untuk melebarkan persepsi, janganlah dicampur adukkan semua isu kerana sudah menampakkan siapa sebenarnya yang menulis dan sudah pasti bukan seorang pelajar Tahfiz STAM.
9. Bagi membersihkan kembali nama Maahad Tahfiz Daril Ulum akibat tangan-tangan jahat, saya akan mohon pertolongan daripada sahabat bikers sendiri untuk mencari siapakah dalang disebalik tulisan jahat ini. Dan akhirnya, saya mohon agar sahabat-sahabat semua menjauhi golongan-golongan yang ingin melihat suasana yang tidak tenteram. Apa juga usaha baik yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan pasti dilihat dari sudut negatif oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Moga Allah permudahkan urusan kita semua untuk berkhidmat untuk ummah. Doakan kepada saya agar berjaya mendidik pelajar tahfiz sehingga berjaya dunia dan akhirat. Sekian
“Membina Generasi Al-Quran”
Ustaz Ahmad Syakir bin Mohd Nassuruddin
Mudir Maahad Tahfiz Daril Ulum Kg. Meranti
Pasir Mas Kelantan
Post a Comment