Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali pertama dalam kenangan


Terlalu banyak isu dan tema Umat Islam yang dibincangkan dalam Ijtimak Alami kali pertama, pemidato dan ilmuan Islam yang memukau pesona. Berselingan dengan laungan takbir yang penuh semangat daripada ratusan ribu peserta, program mega ini menyimpulkan ukhuwwah dan menghantar isyarat jelas ke dalam nurani yang paling tersembunyi iaitu "kita semua bersaudara", wajib bahu membahu membentengi Deenullah ini. Jom kita abnaul harakah beramai-ramai ke Ijtimak Antarabangsa kali ini di Kota Bharu yang sarat dengan pelbagai program,tokoh-tokoh tersohor, memintal tali ukhuwwah serta menjana kesedaran rakyat Kelantan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan Islam ini.


Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Menara masjid Rusila melantunkan laungan suara yang menggema sehingga beberapa kilometer,  berdesakan manusia bertali arus mengunjungi perkampungan ijtimak di Rusila Terengganu. Ijtimak antarabangsa perpaduan ummah kali pertama pada tahun 1988 menjadi kenangan manis semua pendokong gerakan Islam , terutama anak-anak muda yang sedang disemangati dengan kebangkitan Islam. Rusila dengan hamparan pantai yang bersih menjadi lokasi perkhemahan yang sangat meriah. Solat berjemaah dilaksanakan dengan saf yang panjang, bermula di mihrab masjid sehinggalah menganjur ke pantai .

Tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa menjadi tetamu PAS yang saat itu datang dari pelbagai negara, antaranya pimpinan Ikhwanul Muslimin seperti Saiful Islam Hasan al Banna, Sheikh Mehdi Akif, Sheikh Rashid Turabi ( kashmir) dan lain-lain tokoh gerakan Islam dari sub continent, Nusantara, Asia Tengah. Menarik juga apabila dua tokoh  gerakan Islam dari China dan juga Indonesia apabila pulang ke negara masing-masing telah dipenjarakan.

Tahun 1988 adalah tahun yang sangat dramatik apabila Dewan Pemuda Pas Pusat mengadakan pertemuan makan malam Perpaduan Ummah dengan serpihan UMNO yang akhirnya dikenali sebagai Semangat 46. Pertemuan itu merintis jalan ke arah tahaluf siyasi Pas berama Angkatan Perpaduan Ummah. Pada tahun yang sama satu operasi tangkapan ISA telah berlaku yang dikenali sebagai Operasi Kenari, lebih 30 orang aktivis pemuda Pas daripada Perak dan Kedah telah ditahan tanpa bicara termasuk, ustaz Sidek Noor.

Ijtimak Alami berlangsung dalam keadaan regim umat Islam di seluruh dunia sedang menindas gerakan Islam dan tokoh-tokoh mereka. HAMAS ditekan hebat pada tahun tersebut, apabila gerakan perlawanan itu baru sahaja setahun ditubuhkan oleh Sheikh Ahmad Yasin, Muhamad an Najjar, Sheikh Solah Syahadah dan lain-lain para pejuang. Di Tunisia, parti Islam an Nahdah yang dipimpin oleh Rashid Ghanousi diharamkan oleh regim Habib Bourgiba sehingga tiga ribu anggota terasnya mendekam dalam penjara, manakala Ghanousi mendapat suaka politik di Eropah.

Di Algeria pula, anak-anak muda yang mendapat tarbiah Islam telah menubuhkan Barisan Penyelamat Islam (FIS) pada tahun 1988, antara tokoh-tokoh utama gerakan Islam negara yang digelar tanah sejuta syuhada ini ialah Dr Abasi Madani, IR Abdul Kader Hachani, Sheikh Ali Benhaj . FIS dengan pantas menjadi fenomena dengan dokongan kelompok kelas menengah yang mendapat kesedaran Islam dan anak muda, dua tahun selepas ditubuhkan mereka memenangi 90 peratus kerusi majlis perbandaran di seluruh Algeria.

Ikhwanul Muslimin dalam dekad 80an terus menjadi "beg pukul" regim Mesir yang diketuai oleh Presiden keempat negara itu, Hosni Mubarak. Tangkapan massa pasca pembunuhan Anwar Sadat pada Oktober 1981 masih berbekas pada tahun 1988. Namun ramai tokoh-tokoh Ikhwan yang mendapat suaka politik , juga berkhidmat sebagai akademisi di luar Mesir, antaranya Sheikh Said Ramadhan,

Menjadi satu dosa kepada rakyat negara Asia Barat untuk mengganggotai gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, bahkan akan dihukum bunuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara Syria. Bahkan negara berkiblatkan sosialisme Arabisme itu telah menumpahkan darah seramai 42 000 orang di Hamah pada tahun 1982. Libya juga dibawah Muammar Ghadafi mengenakan sekatan kepada perkembangan Ikhwan, pemenjaraan adalah lumrah, bahkan di Iraq yang juga bernuansa Baath, pembunuhan dan penyiksaan seperti mesin darah yang sentiasa mengintai para amilin. Sheikh Abdul Aziz al Badri , ilmuan Ikhwan di Iraq antaranya telah dipotong lidah dalam penjara.

Tahun 1988 juga ialah tahun yang sengit di medan peperangan Afghanistan yang dijajah oleh Regim komunis Russia semenjak tahun 1979. Pelbagai kelompok mujahidin berjuang di tanah gersang itu termasuk Hizbul Islami, Ittehad Islami, hizbul mujahidin dan lain-lain lagi. Isu Afghanistan sangat menggugah nurani umat Islam dalam dekad 80an , bahkan gerakan perlawanan di sana mendapat sokongan yang kuat daripada Jamiat Islami Pakistan. Dalam ijtimak yang pertama pada tahun 1988, kehadiran delegasi dari Afghanistan begitu menguja akal para khalayak dan isu kebangkitan Islam menjadi tema besar umat Islam. Antara tokoh-tokoh besar yang hadir daripada Afghanistan ialah Gulbudin Hekmatiyar, Prof . Burhanuddin Rabbani dan pengiring mereka.

Terlalu banyak isu dan tema Umat Islam yang dibincangkan dalam Ijtimak Alami kali pertama, pemidato dan ilmuan Islam yang memukau pesona. Berselingan dengan laungan takbir yang penuh semangat daripada ratusan ribu peserta, program mega ini menyimpulkan ukhuwwah dan menghantar isyarat jelas ke dalam nurani yang paling tersembunyi iaitu "kita semua bersaudara" , wajib bahu membahu membentengi Deenullah ini. Jom kita abnaul harakah beramai-ramai ke Ijtimak Antarabangsa kali ini di Kota Bharu yang sarat dengan pelbagai program,tokoh-tokoh tersohor, memintal tali ukhuwwah serta menjana kesedaran rakyat Kelantan untuk mempertahankan pemerintahan kerajaan Islam ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)