PAS bertegas minta pihak berkuasa tangani isu campur daging kambing dan babi
KENYATAAN MEDIA
PARTI ISLAM SE-MALAYSIA
19 Julai 2017 | 25 Syawwal 1438
“TEGAS TANGANI ISU CAMPUR DAGING KAMBING & BABI”
1. Pemeriksaan ketat dan siasatan menyeluruh serta saksama perlu segera dilakukan pihak berkuasa ekoran penemuan daging kambing import yang dipercayai bercampur daging babi dalam kontena dibawa masuk dari Sepanyol melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas baru-baru ini.
2. Tindakan pantas Jabatan Perkhidmatan Kuarantindan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) itu perlu disusuli tindakan lanjut oleh agensi-agensi berkaitan untuk menjejaki kontena selainnya yang mungkin telah sampai kepada pengimport atau pengedar supaya diadakan sekatan agar tidak berlaku penjualan kepada awam.
3. Hukuman tegas mesti diambil terhadap pengeskport dan pengimport jika sekiranya terdapat bukti cuba menipu pengguna. Tindakan undang-undang wajib dihadapkan kepada pelaku menerusi hukuman maksimum dan membatalkan lesen halal yang diberi. Ia juga perlu agar menjadi pengajaran kepada pihak lain.
4. Kerana perbuatan seperti ini adalah kecurangan dan pengkhianatan yang tidak boleh dikompromikan. Hambatan perniagaan untuk mengejar untung ada batasnya tanpa perlu mencampur adukkan sumber makanan halal dan haram, apatah lagi dilakukan dengan sengaja atau sabotaj.
5. Sensitiviti agama dan kepentingan pengguna seperti ini perlu sentiasa terjamin dengan penguatkuasaan yang efektif. Pihak-pihak yang terbabit dalam urusan berkaitan makanan umat Islam dari penternak hingga kepada penjaja juga perlu lebih prihatin terhadap perkara ini.
6. Pencemaran atau percampuran bahan mentah antara halal dan haram wajib dipastikan tidak berlaku sama sekali dan rujukan serta nasihat daripada pihak berautoriti mesti diperolehi. Pengguna Islam juga dinasihat lebih sensitif agar tidak menjadi mangsa akibat dari ketidaktelitian dalam membeli atau menikmati makanan.
“Sejahtera Bersama Islam”
HJ ZAINAL ABIDIN KIDAM
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat
Post a Comment