Undian FB Berupaya Pengaruhi Rakyat.
Sejak akhir-akhir ini undian Facebook (FB) menjadi semakin popular di mana terdapat pelbagai undian dari populariti pemimpin kepada pemenang PRU14. Wartawan 1Media.my, Afwan Khalili, sempat bercakap dengan YB Dr Halimah Ali, ADUN Selat Kelang, Selangor tentang perkara tersebut.
1.) Sejak akhir-akhir ini undian FB menjadi semakin popular, adakah undian FB ini boleh dipercayai?
Hasil undian FB ini boleh memberi gambaran kasar terhadap sesuatu isu. Ia mungkin tidak 100% tepat tetapi ia penting kepada mereka yang membuat perancangan.
Oleh itu, tidaklah mereka bekerja "syok sendiri" tetapi berpijak di bumi yang nyata. Bermakna terdapat asas kepada sesuatu perancangan.
2.) Ada yang berkata undian FB ini tidak tepat kerana mereka yang mengundi belum tentu berdaftar dengan SPR. Apa komen YB?
Memang betul ada yang tidak mendaftar sebagai pengundi sebab itu perlu berhati-hati dengan keputusan sesuatu undian. Jangan seronok sangat.
Tetapi kebanyakan dari mereka yang memberi respon kepada undian adalah proaktif dan berupaya mempengaruhi orang lain. Maka pandangan mereka penting.
3.) Ada juga yang berkata undian FB ini boleh dimanipulasi agar memihak kepada pihak-pihak tertentu. Adakah dakwaan ini benar?
Manipulasi memang boleh dilakukan. Soalan-soalan yang diajukan boleh diolah untuk mendorong seseorang memilih jawapan tertentu.
Walau bagaimanapun mereka yang mengendalikan undian ini sudah tentu mahu gambaran yang tepat. Jika berlaku manipulasi maka mereka hanya menipu diri sendiri.
4.) Ada pula yang berkata undian FB ini hanya menarik minat golongan muda dan mereka yang tinggal di bandar-bandar besar maka tidak menggambarkan keadaan yang sebenar. Adakah YB bersetuju dengan pandangan ini?
Ini memang benar tetapi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar mempunyai saudara-mara dan kawan-kawan di luar bandar. Mereka boleh mempengaruhi saudara-mara dan kawan-kawan mereka di luar bandar itu.
Begitu juga golongan muda, mereka juga boleh mempengaruhi orang lain di sekeliling mereka.
5.) Ada yang berkata undian FB ini hanya satu psywar atau perang saraf untuk melemahkan semangat pihak musuh. Apa komen YB?
Undian FB boleh digunakan untuk mendapat gambaran tentang sokongan untuk sesuatu perkara tetapi boleh juga digunakan untuk mempengaruhi masyarakat.
Oleh itu, ia memang boleh digunakan untuk psywar atau perang saraf. Memberi gambaran seolah-olah sesuatu perkara atau isu mendapat sokongan ramai agar dapat mempengaruhi orang untuk turut memberi sokongan. (1Media.my)
Post a Comment