Ulang Tahun Pertama 1Media

Ulang Tahun Pertama 1Media

Dua aktivis PPIM didakwa kerana bantu 'ambil' kereta ?



Dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yusuf Azmi dan Ali Salimin dibawa ke Mahkamah Kajang pagi ini untuk didakwa atas pertuduhan menceroboh dan perbuatan khianat.


Yusuf dan Ali dibawa menaiki kenderaan polis dengan diiringi tiga kenderaan polis lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 9.35 pagi tadi. 

Bernama memetik Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM Datuk Hishamudin Hashim, sebagai berkata, kedua-dua individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang untuk pertuduhan kes di bawah Seksyen 427 dan 447 Kanun Keseksaan. 

Mereka dituduh menceroboh dan melakukan perbuatan khianat selepas menyerah diri kepada polis di Kuala Lumpur pagi ini. 

"Apa yang berlaku tadi adalah pihak polis mengambil cap jari dan gambar mereka serta teruskan proses pendakwaan. 

"Kedua-duanya dituduh melakukan perbuatan khianat dan menceroboh. Kita akan tengok apa kandungan pertuduhan dan berharap mendapat jaminan yang baik dan dibebaskan hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di IPD Kajang. 

Hishamudin berkata pihaknya juga akan membuat proses mediasi (rundingan) supaya dapat mengurangkan kadar jaminan. 

Terdahulu, Yusuf dan Ali hadir ke IPD Kajang bagi membantu siasatan kes membabitkan kedai pajak kereta di Kuala Lumpur pukul 8 pagi ini. 

Pada 10 Julai lalu, beberapa siri rakaman video Muhammad Yusuf tersebar luas di media sosial selepas aktivis itu membantu mangsa mendapatkan semula kereta daripada sebuah syarikat pajakan kenderaan di Kajang. 

Video tersebut memaparkan aktivis PPIM berdepan dengan kakitangan syarikat terbabit melibatkan insiden perang mulut, dan memecahkan mangga kunci pagar di stor kenderaan syarikat itu serta merobohkan pagar premis untuk mengambil semula kereta milik mangsa. 

PPIM dilaporkan berjaya membantu kira-kira 60 pemilik mendapatkan kenderaan masing-masing, namun berdasarkan aduan masih terdapat kira-kira 1,440 buah kereta dalam simpanan syarikat berkenaan. 

Menurut ketua aktivs PPIM, Datuk Nadzim Johan, persatuan itu akan terus memburu sindiket skim pajakan kereta bagi membela nasib pengguna yang teraniaya. 

Katanya, mengikut maklumat diperolehi masih banyak syarikat yang menjalankan aktiviti itu dengan pelbagai skala perniagaan. 

PPIM juga mendakwa polis tidak mengambil tindakan terhadap aduan mangsa kereta pajak gadai di syarikat kenderaan itu. 

Susulan itu, seorang pengurus eksekutif syarikat terbabit turut membuat laporan polis pada hari sama.