Masyarakat Majmuk, Halal dan Haram yang perlu diketahui
Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)
Ayat ini termasuk dalam surah Madaniyyah (diwahyukan di Madinah) yang diturunkan ketika tegaknya negara Islam bermasyarakat majmuk.
Tujuannya sebagai petunjuk sepanjang zaman supaya menerima hakikat bermasyarakat Madani walaupun berbeza jantina, bangsa dan agama, serta wajib berdakwah menyampaikan Islam kepada seluruh manusia dengan sikap terbuka, aman damai dan tanpa paksaan beragama. Selain itu juga, hendaklah dijalinkan hubungan kemanusiaan dalam titik persamaan, bertaqwa dengan pegangan agama Islam dan beristiqamah dengan tidak melampau dan tidak hanyut.
Allah telah menetapkan dalam perkara halal dan haram mengikut sempadan hukum dan dilarang bermudah-mudah dalam menjatuhkan hukumnya. Allah berfirman:
وَلَا تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلۡسِنَتُكُمُ ٱلۡكَذِبَ هَٰذَا حَلَٰلٞ وَهَٰذَا حَرَامٞ لِّتَفۡتَرُواْ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَ لَا يُفۡلِحُونَ ١١٦ النحل
“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya”. (Surah An-Nahl: 116)
Sirah Rasulullah S.A.W telah menunjukkan pendekatan berhubung dengan manusia, disamping pegangan yang teguh kepada agama, hendaklah dengan cara tidak membebankan diri sendiri dan menarik pihak lain kepada Islam dengan terbuka.
Sabda Baginda S.A.W:
يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا، وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا. ( متفقٌ عَلَيْهِ)
“Mudahkan, jangan menyusahkan. Gembirakan, jangan meliarkan” (Muttafaqun ‘Alaih)
Dalam perkara pemakanan yang menjadi rukun hidup manusia, Allah S.W.T menetapkan makanan yang sama halal dan haram kepada penganut Islam di antara lelaki dan wanita dan kewajipan ibadat yang sama syarat dan rukunnya. Tetapi ada yang berbeza fitrah walaupun sama wajib, seperti sama konsep menutup aurat, tetapi berbeza sempadan auratnya.
Dalam menunaikan ibadat solat dipisahkan di antara lelaki dan wanita, tetapi ketika haji bertawaf dan bersa’ie dicampurkan semua dalam keadaan menutup aurat dan menjaga diri masing-masing.
Dalam hubungan dengan pihak lain yang berbeza agama, Allah memerintah supaya melakukan kebijaksanaan dengan mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam perkara agama.
Rasulullah S.A.W mempraktikkan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya menjadi petunjuk kepada umatnya, tentang bagaimana cara beramal dengan Al-Quran, khususnya dalam perkara bermasyarakat dan bermuamalat.
Apabila Allah S.W.T berfirman:
ٱلۡيَوۡمَ أُحِلَّ لَكُمُ ٱلطَّيِّبَٰتُۖ وَطَعَامُ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ حِلّٞ لَّكُمۡ وَطَعَامُكُمۡ حِلّٞ لَّهُمۡۖ وَٱلۡمُحۡصَنَٰتُ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ وَٱلۡمُحۡصَنَٰتُ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ إِذَآ ءَاتَيۡتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحۡصِنِينَ غَيۡرَ مُسَٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِيٓ أَخۡدَانٖۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلۡإِيمَٰنِ فَقَدۡ حَبِطَ عَمَلُهُۥ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٥ المائدة
“Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada Hari Akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi).” (Surah Al-Maidah: 5)
Ayat ini menunjukkan Allah S.W.T menetapkan ada titik persamaan dalam perkara halal dan haram dengan agama lain daripada kalangan ahli Kitab dan menolak adanya titik perbezaan, apabila mereka sendiri menyelewengkannya, seperti memakan babi, tidak menyembelih binatang, meminum arak dan berjudi.
Maka, Rasulullah S.A.W. memakan hidangan yang dihantar oleh orang Yahudi dan berwuduk dalam bekas kepunyaan orang Musyrik, bagi melaksanakan kelonggaran yang diizinkan oleh Allah dan mengadakan hubungan bermasyarakat kemanusiaan, serta melaksanakan konsep kebebasan beragama dengan beristiqamah mengikut sempadan halal dan haram mengikut titik persamaan yang tersebut di atas, tanpa menambah sehingga mengharamkan apa yang dihalal dan menghalalkan apa yang diharamkan. Siapakah lagi yang lebih warak daripada Rasulullah S.A.W.?
Ahli sejarah ekonomi Islam melaporkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersama isterinya, Khadijah binti Khuwailid R.A. melaksanakan muamalat Mudarabah dan Murabahah tanpa riba dalam masyarakat Makkah yang syirik menyembah berhala.
Di masa Hijrah, Baginda S.A.W menugaskan menantunya Ali bin Abi Talib R.A. memulangkan barang simpanan penduduk Makkah yang bermuamalat, tanpa melarikan harta yang diamanahkan kepadanya, walaupun dalam tekanan beragama dan kesibukan berhijrah.
Ini menunjukkan betapa sifat amanah Rasulullah S.A.W yang dilaksanakan terhadap bukan Islam walaupun bermusuh, sehingga Baginda lebih dipercayai oleh bukan Islam, sifat amanah Baginda ini sangat dihormati. Dalam masa yang sama, rumah Rasulullah S.A.W. menjadi bank yang pertama dalam sejarah ekonomi yang bermuamalat dan berhubungan dengan bukan Islam yang tidak diputuskan dalam kehidupan bermasyarakat.
Ketika di Madinah juga, Baginda berhutang dan bergadai dengan Yahudi bukan Islam tanpa riba, menunjukkan ketegasan dalam hukum tanpa memutuskan hubungan bermasyarakat.
Di sana ada perkara yang banyak yang tidak dinaskan halal dan haramnya, maka nyatalah halalnya, mengikut hukum asal sesuatu adalah halal selagi tidak ada nas mengharamkannya. Maka tidaklah perlu meletakkan tanda halal kepada buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, pakaian, kenderaan dan sebagainya, kecuali ternyata sudah dicampur dengan bahan-bahan yang diharamkan apabila memasak atau mengawitnya.
Dalam hal ini, ada tindakan tertentu mengikut keadaan tersendiri yang boleh diputuskan oleh pihak berkuasa bukannya individu, supaya tidak boleh membatalkan hubungan dilapangan umum bagi memperkenalkan Islam.
Islam juga mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa yang diizinkan oleh agama mereka, walaupun diharamkan oleh Islam dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam. Umat Islam juga disuruh menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara aqidah ketuhanan.
Firman Allah S.W.T:
وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨ الأنعام
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am: 108)
Ayat ini menunjukkan betapa hubungan hidup bermasyarakat majmuk yang wajib dipelihara sehingga membolehkan mesej Islam itu disampaikan hendaklah diutamakan. Jangan sekali-kali bertindak dengan cara melulu sehingga menutup pintu bermasyarakat dan menghalang dakwah dengan tindakan kononnya beragama tetapi melakukan kejahilan dengan menghalang Islam disampaikan melalui pergaulan masyarakat yang telah ditetapkan sempadannya oleh hukum Islam.
Di sini perlunya kesimbangan di antara ilmu Islam dan akal. Orang Islam yang tidak seimbang ilmu Islam dan akalnya laksana tidak seimbang di antara saiz kaki dan kasut. Kalau kakinya kecil, kasutnya besar maka tercabut. Kalau kakinya besar, kasutnya kecil maka kakinya melecet. Akhirnya berkaki ayam juga.
Maka, berwaspadalah dengan mereka yang tidak seimbang di antara ilmu agama dan akalnya, dan mereka yang jahil agama menggunakan akal tetapi buta Al-Quran. Kini ramai kalangan mereka yang menonjolkan diri sehingga mengelirukan masyarakat Islam (umat ijabah) dan menutup pintu hubungan dengan bukan Islam (umat dakwah).
Allah berfirman:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا ٣٦ الإسراء.
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra’: 36)
Para ulama menafsirkan ayat ini dengan maksud yang umum, termasuk juga bercakap, menulis, menjadi saksi dan lain-lain.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Safar 1439 / 24 Oktober 2017
Post a Comment