Eksekutif bertanggungjawab kebocoran data - InfoWatch
KUALA LUMPUR : Kecuaian eksekutif, pentadbir IT, pekerja dan kakitangan yang memiliki akses kepada data sensitif dan sulit menyumbang kepada kes kebocoran data di Asia Tenggara.
Menurut Pegawai Pembangunan Perniagaan Antarabangsa InfoWatch Group, Vladimir Shutemov, kajian Infowatch mendapati 56 peratus kes kebocoran disebabkan pelanggaran dalaman sementara 44 peratus disebabkan serangan luaran dan oleh bekas pekerja.
Beliau berkata pengguna yang mendapat kebenaran menyebabkan kebocoran kerana mereka merasa 'tidak gembira' dengan percubaan organisasi mereka mengawal komputer, laptop dan telefon bimbit mereka.
"Ia mendukacitakan apabila melihat peratusan tinggi kebocoran berpunca daripada pengurus atasan dan pentadbir sistem yang digolong sebagai pengguna istimewa," kata Shumetov yang juga Ketua Operasi Infowatch Asia Tenggara yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata kebocoran dilaporkan oleh kerajaan, pertubuhan komersial dan bukan komersial di Asia Tenggara, Korea Selatan, India dan Bangladesh.
Jenis kebocoran data di Asia Tenggara, Korea Selatan, India dan Bangladesh, laporan menyebut data peribadi melibatkan kebocoran 77 peratus, butiran bayaran (15 peratus, rahsia perdagangan (5 peratus) dan rahsia negara (hampir 3 peratus).
Dalam kategori industri, katanya kajian yang dilakukan syarikat berpangkalan di Rusia menunjukkan 43 peratus kebocoran di rantau ini dihasilkan dari institusi awam termasuk kerajaan, ketenteraan dan agensi penguat kuasa, berbanding 13 peratus di seluruh dunia.
Shumetov berkata negara Asia Tenggara dan negara Asia lain sedang berusaha keras untuk menambah baik aspek keselamatan siber dengan memperketat undang-undang data peribadi.
- BERNAMA
Post a Comment